HEADLINES

Nahas Elmina: Pakar Singapura gagal dapatkan semula data ‘memory puck’, Malaysia minta bantuan AS

Terdapat isu teknikal dan sekatan tertentu yang menghalang pasukan TSIB daripada mendapatkan semula data tersebut

12:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura (TSIB) tidak berjaya mendapatkan semula data daripada kotak perakam suara kokpit (CVR) yang ditemui daripada serpihan pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam minggu lalu.

Justeru, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, peranti rakaman itu kini akan dihantar kepada pasukan di Florida, Amerika Syarikat (AS) di mana pengeluar peralatan asal (OEM) pesawat itu berada.

“Dalam laporan awal pagi ini daripada BSKU (Biro Keselamatan Kemalangan Udara), saya diberitahu bahawa TSIB tidak berjaya mendapatkan data daripada ‘memory puck’ tersebut.

“Terdapat isu teknikal dan sekatan tertentu yang menghalang pasukan TSIB daripada mendapatkan semula data tersebut,” kata Loke pada sidang media di sini, selepas merasmikan Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2023.

Beliau menambah, Ketua BSKU, Brigadier Jeneral Tan Chee Kee dari Tentera Udara Diraja Malaysia akan kembali dari Singapura lewat hari ini, dan selepas itu proses seterusnya akan diatur untuk menghantar ‘memory puck’ tersebut ke Florida.

“Kami sedang menunggu kepulangan (Tan). Komponen itu harus dihantar ke Florida sama ada lewat malam ini atau esok,” katanya.

Beliau juga berkata, AAIB dan TSIB telah menjalankan sesi telesidang dengan OEM pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Florida.

Bagaimanapun katanya, percubaan penyelesaian masalah tidak membuahkan hasil, mendorong keputusan untuk menghantar peranti itu ke AS.

Menegaskan bahawa kos bukan satu isu bagi kerajaan kerana ia menjalankan usaha untuk mendapatkan jawapan mengenai nahas mengejut itu, Loke berkata, adalah menjadi tanggungjawab BSKU dan kementerian tersebut untuk memastikan keluarga mangsa dan orang ramai mendapat jawapan mengenai punca nahas berkenaan.

“Untuk mendapatkan jawapan mengenai apa yang berlaku (berkaitan dengan nahas), kami perlu menerima bantuan yang ditawarkan pihak berkuasa asing.

“Ia bukan soal ego kita sebagai sebuah negara. Jika boleh, sudah tentu kami ingin menjalankan analisis (memory puck) di Malaysia, tetapi ini adalah situasi kecemasan.

“Sekiranya kami cuba mendapatkan alat yang diperlukan (untuk analisis), ia akan mengambil masa berbulan-bulan,” katanya ketika disoal pemberita mengenai ketidakupayaan Malaysia untuk menjalankan analisisnya sendiri terhadap komponen tersebut.

Nahas pada Khamis lalu mengorbankan 10 individu membabitkan dua kru pesawat dan enam penumpang manakala dua lagi adalah seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Pesawat itu terhempas dua minit sebelum dijangka mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum kemalangan itu. – 22 Ogos 2023

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related