◉ HEADLINES

PAS sudah serah 3 nama calon PRK DUN Pelangai

Namun difahamkan nama Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah tiada dalam senarai berkenaan.

6:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS Pahang sudah menyerahkan tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Antara nama terbabit, termasuk bekas calon DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Kasim Samat dan dua lagi pemimpin PAS Bahagian Bentong.

Namun difahamkan nama Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah tiada dalam senarai berkenaan.

Mengesahkan namanya antara disenaraikan, Kasim yang juga Naib Yang Dipertua PAS berkata, beliau sedia memikul amanah diberikan sekiranya sekali lagi terpilih sebagai calon.

Ujarnya, PAS juga sudah belajar dari kesilapan dan kekurangan ketika kekalahan pada PRU-15 dengan memperkemaskan serta mempersiap siaga jentera lebih awal.

“Waktu PRU-15, jentera Perikatan Nasional (PN) agak lemah kerana gabungan baru terbentuk, jadi kerjasama kuat itu belum betul-betul wujud.

“Tapi kali ini, PN lebih yakin berdasarkan gelombang ketika ini yang mana kita akan gerakkan seluruh jentera negeri dan nasional, (malah) semua ada komitmen masing-masing dan sudah siap siaga,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau juga sedar PN berdepan cabaran sengit untuk merampas kembali DUN Pelangai daripada Barisan Nasional (BN)

“Arwah (Datuk Seri Johari Harun) ini sahabat saya juga, dia memang baik orangnya, masyarakat di DUN Pelangai rasa kehilangan.

“Walau dia lawan saya (ketika PRU-15), strategi politiknya lebih awal dimulakan, malah kawasan itu juga sinonim dengan bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu memaklumkan, nama calon mewakili PN akan diumumkan kepimpinan.

“Kita tak dapat nak dedahkan lagi tiga nama itu, cuma mereka adalah pemimpin PAS di kawasan berkenaan, sangat aktif dan calon yang boleh diterima serta disenangi di kawasan itu, selain berupaya membawa kemenangan kepada PN.

“Mereka memenuhi semua kelayakan diperlukan untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam tragedi pesawat terhempas di Bandar Elmina, 17 Ogos lalu.

Johari memenangi kerusi DUN Pelangai pada PRU-15 dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi di bawah tiket PN; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi). – 28 Ogos, 2023

Topics

 

◉ Hangat

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

◉ Related