HEADLINES

Pemuda Perpaduan ajak rakyat Malaysia sertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza esok

Himpunan itu bertujuan menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat

3:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemuda Perpaduan mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza’ bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin di perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat, esok.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, himpunan itu bertujuan menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat.

Malah katanya, ia juga bagi menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan dalam konflik perang Palestin-Israel dan menggesa agar ianya dinokhtahkan segera setelah mengambil kira kesengsaraan dan kehilangan nyawa orang awam yang tidak terkira dari kedua-dua belah pihak.

“Ayuh semua rakyat Malaysia tidak kira agama,bangsa mahupun fahaman politik kita bersatu untuk menyatakan solidariti kita bersama saudara kita di bumi Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Pemuda Perpaduan merupakan gabungan dianggotai oleh Dr Akmal, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Mohd Hasbie Muda.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, pelanggaran perjanjian oleh rejim Israel serta penindasan berterusan terhadap hak asasi rakyat Palestin menjadi jenayah yang tidak disemak dan diadili di muka pengadilan sejak sekian lama, sekali gus menyerlahkan sikap ‘double standard’ badan antarabangsa.

“Masyarakat dunia sedia maklum sejak beberapa minggu lalu ketegangan yang semakin memuncak akibat sikap tirani rejim Israel memaksa Hamas melancarkan serangan terbesar Operasi Taufan Al Aqsa, semalam untuk menamatkan kependudukan Israel yang tidak sah selama ini.

“Masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia perlu sedar peperangan yang berlarutan ini melangkaui kaca mata agama tetapi ianya adalah jenayah kemanusiaan. Bantahan terbuka perlu dizahirkan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Akmal berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersatu hati menunjukkan solidariti kepada Palestin yang mempertahankan kedaulatan dan hak rakyatnya demi menamatkan konflik peperangan yang tidak menguntungkan.

“Kami sekali lagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin. Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas Palestin wajar dibela dan diberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

“Kami juga berhimpun atas dasar dan semangat kemanusiaan, kepekaan, kecaknaan dan kepedulian kepada apa yang menimpa terhadap Palestin,” katanya.

Selain Pemuda Perpaduan, beberapa pihak termasuk parti politik dijangka mengadakan himpunan aman bersoladariti bersama rakyat Palestin di masjid terpilih di ibu negara, esok.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu surat mengarahkan kehadiran semua ahli parti, penyokong, pendokong serta seluruh umat Islam dalam Himpunan Soladariti Aman bersama rakyat Palestin selepas solat Jumaat. – 12 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

FAM dismisses talk of Nacho Mendez joining Harimau Malaya

FAM says it is not pursuing any process involving Mendez and has dismissed speculation linking the Spanish-born player to Harimau Malaya

Jaya Grocer invests RM100 million in Malaysia’s first automated grocery warehouse

Jaya Grocer announces its largest investment yet, a state-of-the-art automated warehouse in Selangor, set to revolutionize supply chain efficiency, create high-skilled tech roles, and support Malaysia's digital economy

Related