◉ HEADLINES

Pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya: Kajian empirikal dalam tempoh setahun

Kedaulatan Malaysia perlu dilindungi dan tidak boleh dipandang remeh seperti yang berlaku dalam kes penipuan membabitkan kumpulan Sulu

8:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menjalankan kajian empirikal yang komprehensif dalam tempoh setahun, sebelum memuktamadkan cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, kira-kira 19 undang-undang sedia ada serta Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi melaksanakan pengasingan kuasa itu.

“Bagaimanapun, perkara ini juga membabitkan kos yang memerlukan perbelanjaan tambahan kerajaan,” katanya ketika menyampaikan syarahan dalam Syarahan Parlimen Siri 3.0: Membina Semula Negara Melalui Pembaharuan di Bangunan Parlimen di sini, malam tadi.

Turut hadir, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan bekas Speaker Dewan Rakyat merangkap bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Azalina berkata, beberapa undang-undang sudah dipinda apabila perlu bagi menangani dan memperbaiki tadbir urus di Malaysia dalam tempoh sembilan bulan lepas.

Menurutnya, kerajaan kini dalam proses untuk menggubal Rang Undang-Undang Kekebalan Negara yang akan menggambarkan prinsip undang-undang antarabangsa.

Prinsip itu, katanya, seperti kekebalan dan kedaulatan negara, status kedaulatan mutlak, kepastian dalam proses perkhidmatan bagi dokumen mahkamah di negara asing serta pengecualian kepada pemberian kekebalan itu.

Ujarnya, dengan adanya undang-undang sedemikian, negara berdaulat lain diharap dapat menjamin kekebalan kepada Malaysia berdasarkan prinsip timbal balik.

“Kedaulatan Malaysia perlu dilindungi dan tidak boleh dipandang remeh seperti yang berlaku dalam kes penipuan oleh kumpulan Sulu,” katanya.

Pada masa sama, Azalina berkata, Kerajaan Perpaduan sedang memperinci Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, bagi meningkatkan kepercayaan orang ramai serta keyakinan pelabur asing.

Beliau berkata, pendekatan seluruh Malaysia, menyatupadukan rakyat, kerajaan dan masyarakat sivil diperlukan dalam usaha mencapai visi untuk membina Malaysia yang lebih baik dengan ekonomi teguh, termasuk kemampanan fiskal, pertumbuhan inklusif, pekerjaan berkualiti serta pembaharuan institusi. “Kerajaan Perpaduan mempunyai tanggungjawab moral dan perundangan kepada rakyat untuk memastikan pembaharuan ini ditangani dalam tempoh lima tahun,” katanya. – Bernama, 19 Ogos, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Inside the Bandar Utama school tragedy: a timeline of the shocking fatal stabbing

A look at the events surrounding the stabbing of a 16-year-old student, with ongoing investigations into the suspect's motives and the role of online violence

Batu Pahat, Kuala Lumpur, Nilai, Putrajaya antara 35 kawasan catat IPU tidak sihat

Semua sekolah, tadika dan taska di seluruh daerah Batu Pahat diarahkan tutup bermula hari ini

54 Malaysians still missing in Nepal, what’s their legal status now?

MASFIH wants answers as Nepal considers a 45-day timeframe

◉ Related