HEADLINES

Pujian untuk pengundi Malaysia: The Jakarta Post

‘Kami berharap kuasa pemerintahan sah diberikan rakyat kepada Anwar, akan membawa perpaduan kepada negara berbilang kaum ini dan kemakmuran untuk semua’: The Jakarta Post

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia berhak mendapatkan pujian dan penghormatan dalam kalangan masyarakat negara jiran, di atas kematangan politik mereka memilih kerajaan yang mampu menentukan hala tuju negara secara aman dan adil, seperti ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Situasi itu menerima reaksi positif susulan kebanyakan rakyat negara jiran masih berjuang supaya suara mereka didengari kerajaan sendiri.

Menurut laporan The Jakarta Post, keputusan PRN itu secara tidak langsung, menyaksikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat kepercayaan rakyat untuk merealisasikan janji kempennya dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi, merapatkan jurang kaya dan miskin serta menambah baik taraf hidup rakyat.

“Masyarakat di rantau ini, termasuk rakyat Malaysia, mungkin tidak menyedari atau terlepas pandang fakta bahawa Malaysia berbanding sembilan negara ASEAN lain, menjadi contoh terbaik dalam aspek kebebasan daripada pengaruh atau dominasi ketenteraan, sekali gus dianggap sebagai simbol kestabilan, disiplin dan prasyarat untuk pembangunan.

“Kestabilan kerajaan Anwar adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN, lebih-lebih lagi negara jiran Indonesia dan Singapura akan memilih pemimpin baharu dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Laporan itu mengatakan, di sebalik ketidaksempurnaannya, demokrasi Malaysia menunjukkan contoh baik kepada anggota ASEAN lain yang mengekalkan pemerintahan diktator tentera atau menentang kebebasan awam.

Pada PRN 12 Ogos lalu, pengundi Malaysia memilih untuk mengekalkan status quo kerajaan campuran Anwar dan pembangkang di tiga negeri, dengan ia dilihat sebagai referendum terhadap Perdana Menteri yang mengambil alih kuasa pentadbiran negara pada November tahun lalu.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Anwar menang di tiga kubu kuatnya, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, walaupun pembangkang dapat menawan lebih banyak kerusi pada pilihan raya berkenaan, manakala gabungan Perikatan Nasional (PN), mengekalkan penguasaannya di Kedah, Kelantan serta Terengganu.

Keputusan PRN itu juga membolehkan Anwar menarik nafas lega kerana kerajaannya kini boleh melengkapkan penggal lima tahun sehingga 2027, malah kestabilan politik Malaysia di bawah pimpinan beliau sudah tentu mampu menarik pelabur dan meyakinkan komuniti perniagaan.

Anwar memenangi jawatan Perdana Menteri atas ikrar untuk memberi tumpuan kepada pembaharuan ekonomi dan institusi, meningkatkan cukai untuk golongan kaya serta menjadikan penyenaraian syarikat lebih mudah diakses.

“Kini adalah masa untuk semua pihak, sama ada menang atau kalah, bekerjasama menjaga keamanan negara, mengangkat martabat negara dan memberi tumpuan untuk membangunkan Malaysia,” kata Anwar selepas keputusan PRN diumumkan.

PH pimpinan Anwar memenangi kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu, namun tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Justeru, di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Anwar membentuk kerajaannya selepas bergabung dengan Umno dan beberapa parti lain.

“Kami berharap kuasa pemerintahan sah diberikan rakyat Malaysia kepada Anwar sekurang-kurangnya sehingga 2027, akan membawa perpaduan kepada negara berkenaan yang berbilang kaum dan kemakmuran untuk semua, seperti dijanjikannya semasa kempen pilihan raya tahun lalu,” kata laporan berita negara seberang itu. – 16 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related