HEADLINES

Ringgit terus mengukuh, didorong dasar tegas kerajaan dalam pembaharuan subsidi RON95

Pada jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1885/2085 berbanding dolar AS daripada 4.1945/2040 ketika ditutup pada Isnin

10:05 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong oleh keyakinan pasaran susulan pengumuman kerajaan mengenai subsidi bersasar bahan api menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95).

Pada jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1885/2085 berbanding dolar AS daripada 4.1945/2040 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05, berkuat kuasa 30 September 2025, menunjukkan pendekatan pragmatik dan berdisiplin dalam kewangan awam.

“Rasionalisasi subsidi RON95 menunjukkan pihak berkuasa mengambil pendekatan pragmatik untuk mengekalkan disiplin fiskal. Pada masa yang sama, usaha sedang dilakukan bagi memastikan risiko kenaikan kos sara hidup tidak menjejaskan kuasa beli pengguna,” katanya.

“Diharapkan akan ada penambahbaikan lebih terperinci mengenai cara subsidi boleh dirasionalisasikan lagi, dengan memberi tumpuan kepada tahap pendapatan.

“Dalam konteks ini, langkah sedemikian boleh memberi kesan yang bermanfaat kepada ringgit dalam jangka masa sederhana hingga panjang,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata, langkah ini boleh dianggap sebagai positif dari segi kredit kerana membolehkan teknologi terbenam dalam MyKad digunakan sepenuhnya sebagai sebahagian alat dasar.

Mohd Afzanizam juga berkata, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.31 peratus kepada 97.34 mata berikutan pandangan berbeza dalam kalangan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah.

“Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic, Presiden Fed St. Louis Alberto Musalem dan Presiden Fed Cleveland Beth Hammack cenderung kepada kadar faedah tinggi.

“Sementara itu, ahli lembaga Fed Stephen Miran, yang mengundi bagi pengurangan sebanyak 50 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang lepas, menyatakan kadar neutral adalah pada 2.0 peratus, menunjukkan pendirian dasar monetari semasa adalah sangat ketat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes menyifatkan subsidi bahan api RON95 oleh kerajaan, yang menyediakan 300 liter sebulan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira pendapatan, secara efektif telah meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.

“Memandangkan kurang wang dibelanjakan untuk bahan api, pengguna mempunyai lebih banyak untuk dibelanjakan bagi perkara lain, sekali gus memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau memberitahu, kelemahan dolar AS di peringkat global telah meletakkan ringgit untuk terus didagangkan pada trajektori yang menggalakkan hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8352/8488 daripada 2.8364/8430 ketika ditutup pada Isnin dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.6595/6865 daripada 5.6630/6758.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding euro kepada 4.9420/9656 daripada 4.9390/9502.

Ringgit juga lebih kukuh berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2672/2830 daripada 3.2688/2764 semalam, dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.1822/2518 daripada 13.1890/2243.

Ringgit juga naik berbanding peso Filipina kepada 7.34/7.38 daripada 7.35/7.37 dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 252.1/253.4 daripada 252.5/253.1. – 23 September, 2025

Topics

 

Popular

3 senior Telekom Malaysia officers charged in US over US$20m embezzlement scheme

US prosecutors expose a sophisticated, multi-year insider scam at TM’s US subsidiary involving data capacity manipulation, phantom employees, and the use of AI-assisted tools to siphon millions

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related