HEADLINES

Khazanah labur lebih RM6 bilion majukan Medini Iskandar dan Desaru Coast : MOF

Pelaburan berkenaan bertujuan menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia

8:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd telah melabur lebih RM6 bilion untuk memajukan pembangunan Medini Iskandar dan Desaru Coast di Johor setakat ini, demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut MOF, pelaburan berkenaan adalah bagi memajukan kedua-dua kawasan tersebut, bertujuan menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutama sektor pembangunan hartanah, perumahan, pendidikan dan pelancongan.

“Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), melalui anak-anak syarikat berkaitan, memainkan peranan penting sebagai pemaju induk (master developer) dan pelabur strategik utama, memberi pendekatan penting bagi projek dan dana dalam kedua-dua pembangunan Medini Iskandar dan Desaru Coast.

“Pelaburan Khazanah adalah berdasarkan mandat oleh kerajaan untuk membangunkan Iskandar Malaysia sebagai koridor ekonomi khas dan usaha ini telah diperluaskan ke Desaru Coast selaras dengan usaha pembangunan yang lebih menyeluruh di Johor,’’ kata MOF dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang ingin mengetahui status pembangunan kawasan Medini Iskandar dan Desaru Coast termasuk jumlah pelaburan dari Khazanah dan entiti kerajaan lain, pelaburan swasta yang ditarik, multiplier effect yang dijana dan lain-lain.

Mengulas lanjut, MOF memberitahu, pembangunan kawasan-kawasan seperti Medini Iskandar dan Desaru Coast memerlukan tempoh matang yang panjang (30 hingga 40 tahun) serta pelaburan pemangkin untuk berkembang secara optimum.

“Sehubungan itu, usaha-usaha akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kedua-dua destinasi ini terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan,’’ katanya.

Tambah MOF, sejak pelancaran pada 2008, Medini Iskandar berjaya menarik pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa untuk berpengkalan di situ dan mewujudkan sekitar 10,000 pekerjaan di Iskandar Puteri.

Antara rakan strategik di Medini Iskandar, katanya, ialah syarikat pelaburan dan kewangan seperti Kuwait Finance House, Mitsui & Co., Mubadala Investment Company serta Temasek Holdings, syarikat pembangunan hartanah dan pembinaan seperti CI Medini, E&O, Mah Sing, Sunway Group, UEM Sunrise serta UMLand.

Manakala Desaru Coast pula, kata MOF, telah memberi sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan sektor pelancongan Johor, dengan jumlah pengunjung seramai 700,000 setahun.

“Desaru Coast telah merangsang lebih 70 perniagaan baharu di sekitar destinasi, sekali gus mewujudkan rantaian ekonomi yang lebih meluas untuk komuniti sekitar.

“Setakat ini, Desaru Coast turut mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan, dengan 98% daripadanya terdiri daripada warganegara Malaysia.

“Melalui anak syarikat milik penuh Khazanah iaitu Destination Resorts and Hotels Sdn. Bhd. (DRH), Khazanah menerajui pembangunan Desaru Coast sebagai satu destinasi pelancongan terkemuka yang
merangkumi komponen hotel dan resort, taman tema air, padang golf, pusat persidangan serta fasiliti dan infrastruktur sokongan untuk mengukuhkan perkembangan destinasi pelancongan ini dan
meningkatkan lagi daya tarikan pelancong.

“Khazanah bersama DRH bertekad untuk memastikan pembangunan ini memberi manfaat inklusif kepada komuniti setempat serta menambah peluang pekerjaan di Desaru Coast pada masa depan,’’ katanya. – 29 Oktober, 2025

Topics

 

Popular

3 senior Telekom Malaysia officers charged in US over US$20m embezzlement scheme

US prosecutors expose a sophisticated, multi-year insider scam at TM’s US subsidiary involving data capacity manipulation, phantom employees, and the use of AI-assisted tools to siphon millions

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related