HEADLINES

Bank Dunia unjur ekonomi Malaysia berkembang 4.4% pada 2026 di sebalik risiko global

Prospek jangka pendek tertakluk kepada ketidaktentuan berikutan risiko cenderung ke arah penurunan

4:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 4.4 peratus pada tahun ini, dengan permintaan domestik terus menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi.

Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei Zafer Mustafaoglu berkata bagaimanapun, prospek jangka pendek tertakluk kepada ketidaktentuan berikutan risiko cenderung ke arah penurunan.

“Konflik geopolitik dan ketegangan perdagangan, pertumbuhan global yang lemah, turun naik pasaran kewangan dan ketidakpastian dasar dalam ekonomi utama, semuanya boleh menjejaskan perdagangan dan keyakinan,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia April 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai ekonomi terbuka, Malaysia terus terdedah terutamanya melalui saluran perdagangan dan kewangan.

Katanya pertumbuhan Malaysia mengatasi jangkaan pada separuh kedua 2025 walaupun dalam persekitaran global yang amat tidak menentu,

“Ini meningkatkan pertumbuhan bagi keseluruhan tahun kepada kadar kukuh sebanyak 5.2 peratus, didorong oleh permintaan domestik dan prestasi eksport yang memberangsangkan.

“Pencapaian luar biasa ini mencerminkan kekuatan asas dan daya tahan ekonomi,” katanya.

Pada masa yang sama, Mustafaoglu menekankan bahawa Malaysia sedang berdepan cabaran walaupun guna tenaga kekal kukuh, pertumbuhan produktiviti adalah sederhana.

“Impaknya ialah guna tenaga tidak penuh, dengan ramai graduan bekerja tidak memanfaatkan sepenuhnya kemahiran mereka. Ini bukan sahaja isu pasaran tenaga kerja, malah penggunaan modal insan yang tidak optimum merupakan isu dinamisme perniagaan.

“Apabila persekitaran perniagaan terjejas akibat tahap persaingan pasaran yang tidak mencukupi, peraturan tidak kompetitif dan proses kelulusan rumit, akses pembiayaan tidak seimbang dan proses insolvensi perlahan, inovasi perniagaan menjadi terhad, sekali gus menyebabkan pertumbuhan produktiviti dan gaji lembap,” katanya.

Beliau berkata cabaran pekerjaan Malaysia pada asasnya merupakan cabaran produktiviti dan jika pertumbuhan produktiviti tidak meningkat, upah tidak dapat meningkat secara mampan.

“Menangani cabaran ini memerlukan peralihan daripada kuantiti kerja kepada kualiti kerja. Laporan itu mengetengahkan tiga keutamaan, iaitu membuka ruang kepada persekitaran perniagaan yang lebih dinamik, memacu inovasi dan menyalurkan pembiayaan kepada produktiviti serta melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang sesuai dan membangunkan modal insan yang bersedia untuk masa depan,” katanya. – 14 Mei, 2026

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related