HEADLINES

Ketua IRGC Iran, Hossein Salami dan dua saintis terkemuka terkorban dalam serangan Israel

11:23 AM MYT

 

TEHRAN – Ketua Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami merupakan pemimpin tertinggi tentera yang terbunuh dalam satu serangan udara oleh Israel di Tehran pada awal pagi Jumaat.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik laporan agensi berita Tasnim memberitahu, Salami terkorban dalam serangan yang disasarkan di Tehran.

Selain itu, dua veteran saintis nuklear Iran, Mohammad-Mehdi Tehranchi dan Fereydoun Abbas juga dilaporkan maut dalam serangan berasingan.

Mohammad-Mehdi merupakan presiden Universiti Azad Islamik manakala Fereydoun adalah bekas Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran.

Dalam serangan awal pagi Jumaat, beberapa lokasi seperti Tehran dan bandar-bandar lain menjadi sasaran serangan Israel.

Sementara agensi berita AP melaporkan serangan turut disasarkan ke atas bandar Kermanshah yang terletak di barat Iran, dengan penduduk di situ melaporkan mereka mendengar letupan dan melihat asap hitam menjulang di udara.

Letupan juga dilaporkan berlaku di sekitar bandar Tabriz di Iran, namun situasi sebenar di sana masih belum jelas.

Dalam pada itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan Israel akan menerima “hukuman yang berat” atas serangannya yang dilakukan terhadap negara itu.

Khamenei berkata demikian dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA. Ia turut mengesahkan pegawai tertinggi tentera dan saintis negara berkenaan terbunuh dalam serangan tersebut.

Khamenei turut mengecam Israel yang mendedahkan ‘sifat jahat’ dengan menyerang kawasan kediaman. – 13 Jun, 2025

Topics

 

Popular

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Best results since 2013: SPM 2024 shows improvement across the board

14,179 students scored straight A’s, significantly increasing from 11,713 last year and highest number in over a decade

RM4,000 grant to scrap old car, buy new Proton, Perodua

Under Budget 2026, government and national car makers to provide the grant to ensure better road safety

Related