KUALA LUMPUR – Seorang pesara berusia 73 tahun mengalami kerugian hampir RM6 juta akibat diperdaya oleh sindiket penipuan phone scam dengan modus operandi menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa yang juga pesara sebuah syarikat swasta telah menerima panggilan daripada NFCC kononnya terlibat dengan kes penggubahan wang haram, pada Mei lalu.
Beliau berkata, pesara itu kononnya disambungkan kepada pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan memaklumkan mangsa perlu mengisytiharkan harta dan simpanan milik mangsa.
“Pada sekitar Jun 2025, mangsa diarahkan membuka empat akaun bank dari bank yang berbeza iaitu Affin Bank, Alliance Bank, Ambank dan Bank Simpanan Nasional.
“Setelah itu, mangsa diarahkan memasukkan wang simpanan mangsa ke dalam semua akaun tersebut dan mangsa juga diminta memasukkan semua kad ATM miliknya ke dalam satu sampul surat dan meninggalkannya di padang permainan di USJ 22/1.
“Mangsa juga diarahkan memberikan maklumat perbankan kepada suspek,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shazeli memberitahu, mangsa yang curiga akhirnya memaklumkan perkara terbabit kepada anaknya dan membuat laporan polis.
Mangsa mengalami kerugian dengan jumlah keseluruhan RM5,996,586.51 dan kertas siasatan dibuka di bawah 420 kanun keseksaan.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan menyamar sebagai penjawat awam secara atas talian.
Selain itu, katanya, jangan mudah percaya kepada panggilan yang tidak dikenali kerana pihak berkuasa tidak pernah berurusan melalui panggilan telefon dan sebarang transaksi melibatkan polis hanya secara fizikal sama ada di balai polis atau pejabat kerajaan berkaitan sahaja.
“Jangan dedahkan maklumat peribadi seperti nombor kat pengenalan, TAC atau OTP atau kata laluan melalui panggilan telefon atau mesej dan tidak melakukan sebarang pindahan wang kepada pihak tidak dikenali.
“Sentiasa membuat semakan dan pengesahan dahulu tentang kewujudakn panggilan engan menghubungi NSRC di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,’’ katanya. – 9 Oktober, 2025
