HEADLINES

Shamsul Iskandar, Albert Tei mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah RM64,924

Shamsul Iskandar didakwa menerima jumlah berkenaan dalam bentuk bayaran sewa daripada Tei di sebuah rumah di Bukit Bandaraya

10:07 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas satu pertuduhan rasuah masing-masing melibatkan RM64,924 sebagai suapan.

Kedua-duanya, Shamsul Iskandar, 49, dan Tei, 37, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Nasir Nordin, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Shamsul Iskandar didakwa menerima jumlah berkenaan dalam bentuk bayaran sewa daripada Tei di sebuah rumah di Bukit Bandaraya, di sini, pada 2023 dan tahun lepas.

Wang itu didakwa dimasukkan ke dalam akaun atas nama seorang wanita, Rahmalidya Buyong, antara 28 November 2023 dan 23 September 2024 di sebuah bank di Country Heights, Kajang.

“Faham (pertuduhan), tidak (mengaku bersalah dan mohon dibicarakan),” kata Shamsul Iskandar dengan nada tenang.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Shamsul Iskandar diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Joshua Tay.

Terdahulu, Farah Ezlin memohon mahkamah agar terma dan syarat jaminan yang sama digunakan terhadap Shamsul Iskandar berhubung empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

“Semalam, Shamsul Iskandar telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak kami mencadangkan jaminan, yang telah dibenarkan sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia. Syarat tambahan termasuk melaporkan diri sekali sebulan di Pejabat SPRM terdekat serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

“Kami turut memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 14 Kuala Lumpur dan tarikh sebutan ditetapkan pada 8 Jan 2026,” katanya.

Hakim Datuk Mohd Nasir kemudiannya membenarkan penggunaan terma dan syarat jaminan sama seperti di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, serta memerintahkan kes berkenaan dipindahkan untuk dibicarakan secara bersekali di mahkamah tersebut.

Tei pula didakwa memberikan suapan itu kepada Shamsul Iskandar di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran penyewaan rumah di Kuala Lumpur dan didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat Tei yang mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Pendakwaan ke atas Shamsul Iskandar dikemukakan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan ei didakwa di bawah Seksyen 17(b) akta yang sama.

Tuduhan terbaru hari ini adalah tuduhan kelima, selepas kedua-duanya didakwa dengan empat pertuduhan melibatkan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis.

Semalam, Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Sementara Albert Tei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen yang sama atas empat pertuduhan memberi suapan berjumlah RM176,829.03 kepada Shamsul Iskandar membantu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Tei mmengaku tidak bersalah selepas atas keempat-empat pertuduhan itu. – 5 Disember, 2025

Topics

 

Popular

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

More than 100 Foodpanda riders protest over low wages at company headquarters

New Google Maps-based system forces riders to make more deliveries to make ends meet

Related