◉ HEADLINES

Kematian dalam tahanan: Anwar arah siasatan menyeluruh, telus tanpa kompromi

Perdana Menteri berkata beliau memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan justeru meminta perkembangan kes tersebut dimaklumkan oleh polis kepada keluarga Allahyarham

2:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan tanpa kompromi berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Perdana Menteri memberitahu beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

Sambil menyatakan beliau memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan, Anwar meminta perkembangan kes tersebut dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.

“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini, dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan.

“Saya dijadualkan menghadiri beberapa rencana di Melaka hari ini dan telah mewakilkan pegawai saya untuk menerima surat tersebut serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan keluarga,’’ katanya.

Noorizwan Zulkefly, 42, ditahan polis Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Allahyarham meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lepas.

Terdahulu, keluarga Noorizwan memohon bantuan Perdana Menteri bagi memastikan siasatan telus dijalankan berhubung kematiannya.

Mereka hadir di kediaman Anwar di Bandar Sungai Long, Kajang pagi ini untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Perdana Menteri.

Memorandum yang diserahkan oleh adik lelaki Noorizwan, Nooranis Zulkefly, bersama peguam daripada Lawyers for Liberty (LFL), menyatakan keluarga itu amat bimbang berhubung kecederaan yang ditemukan pada tubuh si mati ketika bedah siasat dijalankan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Aida Abdul Hamid dalam kenyataannya hari ini berkata bedah siasat yang dijalankan ke atas Noorizwan mendapati tiada sebarang kecederaan pada bahagian organ dalaman namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.

Menurutnya, punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal) dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Aida memberitahu, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS akan meneruskan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut.

Kes ini, katanya dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839). – 24 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related