HEADLINES

DNB percepat liputan 5G dalam bangunan di premis komersial utama, meningkatkan prestasi rangkaian dan pengalaman pengguna

5G dalam bangunan kini tersedia untuk pelanggan CelcomDigi, Maxis dan Yes di salah satu pusat beli-belah paling sibuk di Malaysia

6:59 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Pengunjung Pavilion Kuala Lumpur kini boleh menikmati pengalaman 5G yang lebih lancar dan stabil susulan pengaktifan In-Building Solutions (IBS) oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Liputan dalaman yang dipertingkatkan ini memastikan pengguna mudah alih CelcomDigi, Maxis dan Yes (YTL Communications) menikmati sambungan berkelajuan tinggi yang konsisten di seluruh pusat beli-belah, termasuk pada waktu puncak.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen DNB dalam melengkapkan liputan 5G luar bangunan bertaraf dunia yang kini melebihi 80% kawasan berpenduduk dengan sambungan dalaman yang kukuh di lokasi-lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah, hab pengangkutan, hospital, pejabat dan lokasi acara, sekali gus meningkatkan pengalaman digital harian bagi pengguna dan perniagaan, DNB berkata dalam satu kenyataan media hari ini.

Melalui kerjasama erat dengan pemegang sahamnya, pemilik bangunan dan rakan-rakan lain,
DNB menyasarkan pelaksanaan IBS secara pesat di kemudahan komersial utama di seluruh
negara.

Selain Pavilion Kuala Lumpur, beberapa pusat beli-belah lain turut berada dalam perancangan pelaksanaan sebagai sebahagian daripada inisiatif penting ini.

Pavilion Kuala Lumpur ini merupakan lokasi terbaru yang dilengkapkan 5G dalaman oleh DNB.
Sebelum ini,72 lokasi utama telahpun dilengkapi IBS, termasuk KLIA, KLIA2, Lapangan Terbang
Antarabangsa Senai dan Pulau Pinang, KL Sentral, Setia Spice Arena, KOMTAR, hospital utama
seperti IJN dan PPUM, serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

Liputan 5G dalam bangunan meningkatkan pengalaman pengguna dengan ketara melalui
kelajuan yang lebih konsisten, latensi lebih rendah dan kebolehpercayaan lebih tinggi.

Hal ini membolehkan pembayaran mudah alih yang lancar, pengalaman runcit digital imersif seperti
realiti terimbuh (AR), serta sambungan stabil walaupun pada waktu puncak.

Di samping manfaat kepada pengguna, liputan 5G dalam bangunan juga merupakan pemacu
penting kepada transformasi perusahaan. Ia membolehkan organisasi melaksanakan

penyelesaian IoT, sistem automasi berskala besar serta teknologi generasi baharu, sekali gus
membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan melalui robotik, sensor pintar
dan penyelesaian berasaskan AI terutamanya dalam sektor seperti runcit, logistik, penjagaan
kesihatan, pembuatan dan bangunan pintar.

Sebagai penyedia rangkaian 5G borong utama Malaysia, DNB kini mengendalikan lebih 80%
daripada keseluruhan trafik 5G negara.

Prestasi rangkaiannya turut mendapat pengiktirafan global daripada platform seperti Ookla, OpenSignal, Glotel, FutureNet dan TM Forum.

Datuk Azman Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DNB berkata, “Pengaktifan 5G dalam bangunan di
Pavilion Kuala Lumpur menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memastikan rakyat
Malaysia menikmati pengalaman 5G yang benar-benar lancar—di luar dan di dalam bangunan.

Apabila ketersambungan menjadi semakin penting dalam kehidupan, pekerjaan dan perniagaan,
adalah kritikal untuk memastikan 5G berkualiti tinggi tersedia di lokasi yang paling penting.

“Kerjasama erat dengan rakan MNO, penyedia infrastruktur dan pemilik bangunan telah menjadi
kunci kepada kemajuan ini. Kami juga menghargai sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) dalam peruntukan spektrum, yang membolehkan kami terus
mengoptimumkan prestasi rangkaian dan menyampaikan perkhidmatan 5G bertaraf dunia yang
menyokong inovasi, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.” – 29 Mei, 2026

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related