PEDi bantu tingkatkan sosioekonomi komuniti tempatan – Fahmi Fadzil

Setiap PEDi dilengkapi dengan capaian internet serta menawarkan latihan ICT, keusahawanan digital dan e-pembelajaran

9:26 PM MYT

 

PEDi (Pusat Ekonomi Digital) yang pada mulanya menawarkan akses internet secara kolektif di kawasan luar bandar bagi golongan kurang berkemampuan, kini berfungsi sebagai pemangkin ekonomi digital yang membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti tempatan.

Setiap PEDi dilengkapi dengan capaian internet serta menawarkan latihan ICT, keusahawanan digital dan e-pembelajaran, bagi manfaat komuniti setempat khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), golongan belia dan pelajar.

PEDi turut menawarkan perkhidmatan nilai tambah merangkumi perkhidmatan kesihatan digital, transaksi tanpa tunai, serta perkhidmatan sehenti seperti pembayaran bil dalam talian dan sebagainya.

Kemudahan PEDi tidak lengkap tanpa wira dan wirawati iaitu Pengurus dan Penolong Pengurus yang kita raikan pada hari ini.

Mereka adalah individu yang menyumbang kepada komuniti secara langsung dan memainkan peranan penting dalam menyokong agenda nasional termasuk mendukung dasar-dasar kerajaan.

Saya telah turun padang dari Utara ke Selatan, Sarawak ke Sabah, dan melihat sendiri segala usaha yang dilaksanakan oleh kakitangan PEDi untuk membantu komuniti setempat sehabis baik, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa usia dan latar belakang.

MCMC bersama-sama rakan strategik, kolaborator digital, organisasi swasta serta badan-badan bukan kerajaan bekerjasama merancang dan melaksanakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk memperkasa masyarakat di peringkat akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bergambar bersama penerima Anugerah Penolong Pengurus PEDi Terbaik pada Persidangan PEDi Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (empat dari kiri). – Gambar Abdul Razak Latif/Scoop, 29 November, 2023

Dalam perkara ini, turut ditawarkan di PEDi ialah Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Menerusi PUPUK, program-program latihan dilaksana untuk mendorong penglibatan komuniti setempat dalam ekonomi digital.

Kami turut berbesar hati kerana buat julung kali pihak JAKIM turut menggembleng tenaga bagi membolehkan para usahawan mendapat pensijilan halal.

Usaha ini bermula di negeri Melaka. Kelak, usaha ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain agar usahawan makanan PEDi turut mendapat pensijilan halal.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada MCMC, Shopee dan kakitangan PEDi yang telah berjaya mencapai sasaran bagi tahun 2023 untuk mendigitalisasikan seramai 7,000 usahawan menerusi platform e-dagang Shopee dengan nilai jualan sebanyak RM15.7 juta.

Untuk makluman, sehingga kini, sejumlah RM55.4 juta nilai jualan telah dicapai melalui inisiatif digitalisasi usahawan sejak 2021.

PEDi juga mendapat sokongan daripada penyedia perkhidmatan seperti Telekom Malaysia, CelcomDigi, Maxis dan Redtone melalui penyediaan program e-pembelajaran bagi para pelajar yang kurang berkemampuan.

Usaha ini telah membantu mereka meningkatkan prestasi pembelajaran.

Orang ramai bersorak kegembiraan selepas mendengar pengumuman dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Persidangan PEDi Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Gambar Abdul Razak Latif/Scoop, 29 November, 2023

Terlalu banyak kisah kejayaan hasil daripada program dan latihan yang ditawarkan di PEDi. The list is too long! So I was told to choose only two.

Puan Eri Dusun yang merupakan usahawan bimbingan PEDi Pekan Putera Jaya, Sabah memulakan perniagaan Sambal Tuhau sejak 2015.

Wanita cekal ini juga pernah dinobatkan sebagai Usahawan Terbaik PEDi Wilayah Sabah 2017 dan pernah memenangi Anugerah Usahawan Terbaik Negeri Sabah 2019.

Bermula dengan sebuah perusahaan kecil, kini beliau berjaya memiliki kilang sendiri dan produk beliau bukan sahaja mendapat sambutan dalam pasaran tempatan malah turut mendapat permintaan luar negara.

Selain itu, kisah kejayaan Puan Haleda Aqila Nasis yang berasal dari Pontian, Johor juga wajar dijadikan inspirasi.

Beliau yang mengusahakan produk kraftangan dan membekalkan cenderahati telah menggunakan sehabis baik platform e-dagang sebagai medium memperoleh tempahan pelanggan dari seluruh negara.

Pencapaian beliau adalah berkat latihan keusahawanan yang disertai di PEDi.

Kisah kejayaan mereka amat membanggakan dan menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memupuk gaya hidup digital, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi komuniti setempat.

Bagi menilai keberkesanan PEDi sebagai pusat sehenti yang memacu sosioekonomi komuniti setempat dan memantapkan pembangunan modal insan, MCMC menjalankan satu kajian impak PEDi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melawat ruang pameran dan jualan pada Persidangan PEDi Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Gambar Abdul Razak Latif/Scoop, 29 November, 2023

Antara dapatan yang diperoleh ialah:

  1. Kadar penggunaan aktif sebanyak 94 peratus, ini menunjukkan kesetiaan pengguna terhadap PEDi;
  2. Tahap kesedaran masyarakat terhadap PEDi adalah tinggi dan 89 peratus responden memberi maklum balas positif terhadap perkhidmatan serta program yang ditawarkan; dan
  3. Net Promoter Score menunjukkan 70 peratus daripada responden yang menggunakan PEDi akan menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke PEDi.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana meluluskan peruntukan RM25 juta dalam Belanjawan 2024 bagi memperkasa PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

InsyaAllah ianya dapat meningkatkan penjanaan pendapatan dan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Akhir kata, saya berharap agar Persidangan PEDi Madani 2023 ini dapat mencapai objektif utamanya untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan kakitangan PEDi, rakan strategik dan penyedia perkhidmatan yang telah bertungkus-lumus menjayakan PEDi.

Petikan teks ucapan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semasa persidangan PEDi Madani 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Topics

Popular

Masked assailant kills two cops, injures one in attack on Ulu Tiram police station

Suspect shot dead at scene of early-morning assault, pistol and sub-machine gun seized

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Related