Faktor Roesdi, Olimpik mampu lonjak semangat pemain negara di Terbuka Malaysia – Norzie Khasbi

Terbuka Malaysia 2024 lebih istimewa kerana diadakan pada tahun Olimpik dan kejohanan itu sebahagian pentas untuk mengutip mata kelayakan

9:00 PM MYT

 

SUDAH terlalu lama badminton negara tidak memiliki juara dalam Terbuka Malaysia iaitu sejak kali terakhir Datuk Lee Chong Wei memenanginya pada 2018.

Sebagai negara besar badminton, memiliki kelompok penyokong yang ramai dan sentiasa memenangi hati penaja, statistik itu sesuatu yang agak mengecewakan.

Biarpun sudah ramai pemain tempatan memenangi kejohanan tersebut, Chong Wei sahaja pernah muncul juara 12 kali, namun Terbuka Malaysia tetap istimewa buat peminat tempatan kerana ia pertandingan terbesar diadakan di negara ini.

Setiap kali kejohanan berlangsung, tiket laku macam pisang goreng panas dan yang tidak dapat pergi ke stadium akan setia menunggu di depan kaca televisyen.

Terbuka Malaysia istimewa buat peminat badminton tempatan kerana ia pertandingan terbesar diadakan di negara ini dan hanya Lee Chong Wei yang pernah muncul juara sebanyak 12 kali – Alif Omar/Scoop, 8 Januari, 2024

Terbuka Malaysia 2024 yang akan berlangsung di Axiata Arena dari 9 hingga 14 Januari lebih istimewa kerana diadakan pada tahun Olimpik dan kejohanan itu sebahagian pentas untuk mengutip mata kelayakan ke temasya Paris 2024.

Memulakan tahun baharu dengan kejuaraan pastinya menaikkan keyakinan mana-mana pemain, apatah lagi Terbuka Malaysia menawarkan mata yang banyak kerana statusnya sebagai pertandingan Jelajah Dunia Super 1000.

Begitupun, soalan yang sering dilontarkan peminat, siapa pemain kita yang benar-benar meyakinkan untuk menamatkan penantian enam tahun?

Apakah Lee Zii Jia akhirnya akan muncul juara, atau Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu memenuhi harapan peminat?

Begitupun, sebaik sahaja mendapat tahu Ng Tze Yong telah mendapat sentuhan jurulatih fizikal disegani, Roesdi Abdul Ghani sejak dua bulan lalu, amat mengujakan untuk melihat penampilan pemain muda negara itu minggu ini.

Selain pernah menjaga Chong Wei, Roesdi yang amat dikenali di ‘Jungle’, iaitu gim yang ditempatkan di Institut Sukan Negara, dia juga membentuk fizikal ramai atlet lain termasuk bekas beregu handalan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong hingga membantu mereka bergelar juara Sukan Asia dan All England.

Jurulatih boleh menyusun tiga, empat atau 10 strategi sekali pun, namun pada akhirnya, selain kegagalan menahan tekanan serta cepat ‘pancit’, masalah agility atau ketangkasan juga faktor yang sering menyebabkan pemain gagal di dalam gelanggang.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky pernah mengeluh, dia dan barisan jurulatih sentiasa menyediakan pelan A, B atau C untuk pemain tapi kadangkala mereka tidak mampu mengikut kesemua rancangan yang diarahkan.

Contohnya, selepas menganalisis permainan lawan, jurulatih sudah menemui cara terbaik untuk mengalahkan mereka, malangnya sering berlaku pemain gagal mengikuti apa yang diarahkan kerana kemampuan fizikal yang terbatas.

Rexy Mainaky pernah mengeluh, dia dan barisan jurulatih sentiasa menyediakan pelan A, B atau C untuk pemain tapi kadangkala mereka tidak mampu mengikut kesemua rancangan yang diarahkan – Azim Rahman/Scoop, 8 Januari, 2024

Bulu tangkis yang laju tidak boleh dikejar kerana kaki tidak cukup cepat, bola jatuh sedikit rendah tidak boleh diangkat kerana tidak dapat membongkokkan badan, itu antara isu berkaitan agility yang sangat membataskan pemain.

Sebab itu, penting untuk atlet dilatih oleh pakar yang tahu membentuk fizikal mereka mengikut tuntutan sukan disertai. Sebagai contoh, membentuk fizikal pelumba basikal berbeza dengan badminton, otot paha kena kuat sebab nak mengayuh tapi berbasikal dan olahraga pecut ada persamaan.

Kira-kira 10 tahun lalu, Roesdi pernah menawar diri untuk membantu membentuk fizikal seorang bintang badminton remaja yang dianggap jaguh dunia dalam pembikinan.

Kejayaannya merangkul beberapa kejuaraan besar di peringkat umur memberi sinar buat badminton negara, malangnya transisi atau peralihan pemain itu sebaik sahaja memasuki pentas senior tidak berjalan lancar kerana kakinya agak lembik, selain badan tidak berotot.

Pemain itu bagaimanapun hanya bertahan sekejap bersama Roesdi kerana tidak mampu mengikuti latihannya yang keras, selain dimanjakan oleh jurulatih. Akhirnya, hari ini pemain yang pernah dianggap permata badminton negara hilang dari radar.

Sebab itulah, apabila Tze Yong memilih untuk mengikuti latihan keras Roesdi, ia mengujakan untuk melihat sejauh mana sentuhan tersebut akan menaikkan permainannya.

Melihat senario badminton hari ini yang sangat terbuka, sesiapa sahaja boleh muncul juara. Tiada yang mendominasi seperti dahulu. Apakah mungkin tahun ini, giliran Tang Jie-Ee Wei bersinar? – Gambar Scoop, 8 Januari, 2024

Walaupun pemain nombor 15 dunia itu menunjukkan peningkatan dalam Jelajah Dunia tahun lalu, terutama muncul naib juara Terbuka Artik di Finland pada Oktober, dia kadangkala bergelut untuk mengekalkan kecergasan.

Pada Terbuka Malaysia, Tze Yong berdepan laluan berliku. Dia bakal menentang pemain nombor 23 dunia yang mengalahkannya pada Terbuka Jepun 2023, Koki Watanabe seawal pusingan pertama.

Jika menang, dia akan berdepan sama ada pemain nombor 8 dunia dari India, H.S. Prannoy atau pemain nombor 9 dunia, Anders Antonsen dari Denmark.

Begitupun, melihat senario badminton hari ini yang sangat terbuka, sesiapa sahaja boleh muncul juara, sama ada pada kejohanan dunia, Sukan Olimpik mahupun pertandingan seperti Terbuka Malaysia.

Tiada yang benar-benar mendominasi seperti era Chong Wei-Lin Dan, jadi sama ada Tze Yong, Zii Jia, Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah atau Tang Jie-Ee Wei boleh bergelar juara tapi boleh juga tersingkir awal.

Harap-harap tiadalah yang terkeluar di pusingan pembukaan kerana itu pastinya akan mengecewakan ribuan peminat badminton tanah air. – 8 Januari, 2024

Norzie Khasbi ialah sub-editor kanan untuk Scoop

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related