HEADLINES

Hayati pesan kesederhanaan dalam ibadah haji — Anwar Ibrahim

Tonggak kekuatan ibadah haji tidak tertandingkan. Terpancar menerusi penghayatan dan amalan, dari mengenakan ihram hingga ke mengerjakan ibadah korban

8:57 PM MYT

 

PELUANG mengembara ke Makkah buat menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Ilahi kepada hamba-Nya. Kita mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam. Namun seyogia diingat, haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla.

Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan. Atas iktibar ini saya mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara. Jangan kita terpesong dari tujuan. Dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi.

Sementara kita meraikan kemeriahan Aidiladha bersama keluarga, jangan dilupakan saudara asnaf di kota dan desa. Kongsilah nikmat Tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati mukmin, iaitu melepaskan dia dari kesedihan, atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan.” (Hadith riwayat al-Bayhaqi).

Akhirul kalam, saya turut mendoakan agar para jemaah yang kini berada di Tanah Suci beroleh haji yang mabrur dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar wa lillahil hamd. – 17 Jun, 2024

Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Perdana Menteri Malaysia

Topics

 

Popular

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

10 filem patriotik pasukan beruniform tanah air ini wajib ditonton!

Harus diakui bahawa Malaysia masih lagi kekurangan filem-filem bergenre kenegaraan yang mampu membangkitkan semangat nasionalisme dan jiwa patriostisme rakyat terhadap negara yang berjaya bebas dari cengkaman penjajah sejak 66 tahun lalu

Related