HEADLINES

Merdeka ke-68: Kibar bendera, hindari api – Terence Fernandez

Pada usia 68 tahun, Malaysia masih mengibarkan Jalur Gemilang dengan megah — tetapi patriotisme kini lebih terasa dipantau daripada dihayati. Cinta sejati kepada negara bukan terletak pada kibaran bendera, tetapi kepada pemegang kuasa supaya bertanggungjawab dan menjaga sesama kita

8:06 PM MYT

 

Dahulu, saya akan menggantung Jalur Gemilang dengan penuh bangga. Bukan kerana kewajipan atau patriotisme yang dibuat-buat — ia sudah jadi kebiasaan. Satu tradisi yang bermakna: kita berjaya, kita masih berdiri.

Namun tahun ini, pada Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68, tiang bendera saya kosong.

Bukan kerana tidak hormat — jauh sekali. Tetapi bagi melindungi diri.

Dengan iklim sekarang, cukup dengan ribut secara tiba-tiba, tiupan angin ‘nakal’, atau sekumpulan budak nakal kampung menjadikan bendera sebagai sebahagian permainan lanun mereka — tiba-tiba Jalur Gemilang sudah terbalik atau koyak. Sebelum sempat saya jelaskan kepada jiran, Akmal Nasir sudah berdiri di pagar rumah saya, tangan kanan pegang minyak tanah, tangan kiri bawa patung untuk dibakar.

Begitulah rapuhnya patriotisme hari ini. Ia tidak lagi bernafas dari hati, tetapi dikawal dari kumpulan WhatsApp dan suapan TikTok.

Terus terang — bagi ramai rakyat Malaysia, Merdeka tahun ini lebih terasa sebagai kewajipan daripada perayaan. Tidak kira pentadbiran mana — 1Malaysia, Mahathir 2.0, Abah, Keluarga Malaysia atau Madani — semua ucapan sama sahaja, perarakan tetap mewah, dan ahli politik sibuk menepuk bahu sendiri atas perkara yang rakyat tidak pernah pinta.

Sementara itu, rakyat marhaen berhempas pulas mengatur belanja agar ringgit cukup hingga hujung bulan. Namun, sekurang-kurangnya ada RM100 dalam e-dompet, tanda penghargaan kerajaan.

Kita tetap berterima kasih atas kebebasan yang diperjuangkan pejuang kemerdekaan. Tetapi selepas 68 tahun “merdeka”, bolehkah kita benar-benar menyatakan bebas sedangkan kita masih terikat dengan keletihan politik dan keresahan ekonomi dan tidak tahu sama ada nasib anak-anak kita lebih baik daripada kita?

Inflasi menari sesuka hati dalam dompet kita. Pertandingan subsidi pula belum jelas siapa pemenangnya — dengan golongan kelas menengah yang membayar cukai terbanyak hanya mampu bernafas dengan petrol murah. Malangnya, kawan baik kita Ron (95) mungkin menjadi beban cinta yang mahal ntuk ditanggung.

Tidak mengapa, ada pas perjalanan tanpa had My50 untuk pengangkutan awam Lembah Klang. Yang lain di seluruh negara? Nampaknya masih kena bergantung pada basikal dan kapcai.

Namun papan iklan terus menyala, menjanjikan Malaysia sedang “di landasan yang betul.”

Politik dalam krisis pertengahan umur

Merdeka sepatutnya tentang perpaduan, ketahanan dan harapan. Tetapi bila Parlimen berperangai seperti drama murahan dengan plot basi dan watak kitar semula, rakyat memilih untuk tidak ambil peduli. Sikap apati pengundi bukan kerana rakyat tidak ambil peduli — tetapi kerana mereka terlalu ambil peduli, lalu dikecewakan.

Setiap gabungan baru menjanjikan reformasi, tetapi akhirnya mewarisi tabiat lama. Lebih ketara dalam kerajaan perpaduan — gabungan ganjil antara “pasangan katil yang janggal.”

Slogan anti-rasuah hilang dan senyap bila kawan dan sekutu sendiri terpalit. Semuanya kerana kompromi perlu dibuat.

Sementara itu, isu perkauman dan agama kekal sebagai mata wang politik yang paling berharga.

Beberapa hari sebelum Merdeka, Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar — yang kononnya untuk menjamin keseimbangan demografi di bandar dan pekan — sebaliknya dituduh sebagai “enakmen Cina” untuk menyingkirkan orang Melayu dan India. (Bukan selalu kita dengar PAS membela masyarakat India, tetapi Tuan Ibrahim Tuan Man tampil mempertahankan kumpulan minoriti itu, yang masih menunggu kerusi dalam kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim.)

Dalam masa sama, naratif sekitar Rang Undang-Undang Pekerja Gig pula menakut-nakutkan kononnya komuniti majoriti akan berakhir sekadar penunggang penghantar makanan — sekali lagi meniup jurang kelas.

Kita tidak letih dengan negara ini. Kita letih dengan apa yang dilakukan terhadapnya.

Bendera bukan masalahnya

Jadi tidak, saya tidak menaikkan bendera tahun ini. Bukan kerana saya sudah hilang cinta pada negara ini — tetapi kerana saya letih mempertahankan cinta itu daripada orang yang mempergunakan patriotisme sebagai senjata.

Patriotisme sejati bukan diukur pada berapa banyak bendera anda kibarkan. Ia ditunjukkan pada cara anda melayan jiran, cara anda membesarkan anak supaya berjiwa baik dan buta warna kulit, serta cara anda meminta kuasa supaya bertanggungjawab — walaupun ia menyakitkan.

Saya enggan dibuli untuk berpura-pura. Jika mencintai Malaysia kini memerlukan ikrar taat setia harian kepada parti mana pun yang merampas makna Merdeka bulan ini, maka kita benar-benar sudah hilang arah.

Negara ini masih indah. Rakyatnya tetap kekuatan terbesar.

Daripada makcik nasi lemak yang menambah sambal bila anda nampak sugul, hinggalah pelajar universiti yang bekerja sambilan sebagai barista yang menambah satu shot espresso kerana “nampak macam anda perlukan,” Malaysia tetap bertahan — sebagaimana enam dekad lalu.

Selamat Hari Merdeka, Malaysia. Semoga Jalur Gemilang terus berkibar megah — cuma jangan terbalik. Ada antara kita yang tak sanggup lagi dikunjungi “polis bendera.” — 31 Ogos 2025

Terence Fernandez, anak Kelantan yang juga Ketua Pengarang Big Boom Media, akan sentiasa menganggap Malaysia sebagai rumahnya — dengan segala cacat cela. Ia cinta yang tetap wajar diperjuangkan.

Topics

 

Popular

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related