HEADLINES

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2.0: membina masa depan kewangan yang kukuh – Wan Ahmad Ikram

Kaji selidik FCI oleh BNM mendapati 31% rakyat tidak mempunyai wang mencukupi untuk keperluan asas, 61% tidak mempunyai simpanan kecemasan RM1,000

2:19 PM MYT

 

Bayangkan jika anda tidak mampu menyediakan RM1,000 ketika kecemasan, tetapi itulah realiti bagi
lebih separuh rakyat Malaysia.

Dalam dunia kewangan yang semakin kompleks, literasi kewangan kini menjadi keperluan asas. Cabaran seperti penipuan kewangan, pengurusan hutang, kekurangan simpanan kecemasan dan penggunaan teknologi kewangan secara selamat menuntut pendekatan menyeluruh dan inklusif.

Menurut Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan (Financial Capability and Inclusion – FCI)
yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia, 31% rakyat tidak mempunyai wang mencukupi untuk
memenuhi keperluan asas, manakala 61% tidak mempunyai simpanan kecemasan sebanyak
RM1,000.

Data juga menunjukkan 26% rakyat terbeban dengan hutang berlebihan, manakala 40% warga emas bergantung kepada sokongan keluarga selepas persaraan.

Ini menyerlahkan keperluan untuk mengarusperdanakan literasi kewangan dan menekankan perancangan awal serta pengukuhan celik kewangan di semua peringkat umur.

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang pertama (2019-2023) telah meletakkan asas kukuh
melalui kerjasama pelbagai pihak. Namun, landskap kewangan yang berubah pantas menuntut
pendekatan baharu.

Maka, Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang kedua (2026 – 2030) yang baru-baru ini diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memantapkan lagi usaha yang menyeluruh dan strategik bagi membina masa depan kewangan yang kukuh untuk rakyat Malaysia.

Dirangka oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network – FEN), NS2.0
mengamalkan pendekatan ‘whole-of-nation’ yang melibatkan kementerian, agensi kerajaan, industri
kewangan, NGO, institusi pendidikan dan masyarakat umum.

Lima strategi utama menjadi teras NS 2.0: merancang kewangan dan persaraan, mengurus hutang secara bertanggungjawab, melindungi kewangan daripada risiko tidak dijangka, menggunakan perkhidmatan kewangan digital secara selamat dan melabur secara berhemah.

Sebagai salah satu ahli pengasas FEN, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menyokong
penuh pelaksanaan NS2.0.

PIDM ialah agensi kerajaan yang melindungi pendeposit serta pemilik polisi insurans dan takaful secara automatik, dan mempunyai kuasa resolusi untuk menangani institusi kewangan bermasalah tanpa menggunakan dana awam.

Peranan ini penting dalam memastikan kestabilan sistem kewangan negara dan perlindungan konsumer kewangan.

PIDM turut melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran awam seperti kempen Sedia Payung
Kewangan dan FinFit Challenge 2025: Edisi IPT Wilayah Selatan, FinFit Challenge 2025: Crack the Code di Facebook and Instagram PIDM, program bersama guru, wartawan dan komuniti perniagaan,
serta kandungan mesra pengguna melalui media sosial dan laman web rasmi.

Sempena pelancaran NS2.0 dan Bulan Literasi Kewangan 2025, PIDM bersama rakan strategik FEN giat melaksanakan aktiviti libat urus untuk memperluas capaian pendidikan kewangan.

Namun, segala usaha dan sistem sokongan yang disediakan oleh pelbagai pihak tidak akan memberi
impak sepenuhnya jika tidak dimanfaatkan oleh konsumer kewangan itu sendiri.

Pada akhirnya, adalah menjadi tanggungjawab individu untuk mengambil peluang yang ada, meningkatkan pengetahuan mereka dan mengamalkan tabiat kewangan yang baik secara berterusan.

Akhir kata, literasi kewangan adalah hak semua. Kejayaan NS2.0 bergantung kepada pelaksanaan
yang berkesan dan penglibatan aktif rakyat Malaysia.

PIDM kekal komited untuk terus memainkan peranan penting membina masa depan kewangan yang lebih celik, berdaya tahan dan terjamin untuk semua. – 30 Oktober, 2025

Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi ialah Naib Presiden Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit
Malaysia (PIDM)

Topics

 

Popular

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

More than 100 Foodpanda riders protest over low wages at company headquarters

New Google Maps-based system forces riders to make more deliveries to make ends meet

Related