Semasa saya menjadi Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan enam tahun lalu, saya terpegun dengan cara (mantan) Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Gazali Abas menjawab soalan wartawan pada sidang media yang khusus diadakan untuk menjawab isu Projek 1BestariNet.
Isu yang memang panas dan hangat diperkatakan ketika itu, semasa pusingan pertama Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Sebagai Ketua Komunikasi Korporat, saya dan pasukan saya telah membuat persiapan rapi termasuk kemungkinan soalan-soalan yang akan ditanya oleh wartawan – daripada soalan-soalan berat sehinggalah soalan ringan, yang mungkin akan ditanya, dan menyediakan latihan bagaimana harus menjawab secara profesional.
Pun begitu di hujung hati saya, saya masih bimbang tentang sebarang bentuk krisis (damage control) yang perlu ditangani jika wujud silap langkah di akhir sidang media.
Sebagaimana telah dijangkakan memang ada satu soalan tajam diajukan pada hari itu oleh seorang editor kanan portal berita, dan menariknya, Datuk Dr Mohd Gazali berjaya menjawab dengan tenang dan beliau mula dengan berkata, “jawapan ada dalam soalan yang anda tanya”, sambil beliau senyum.
Soalan dikemukakan dalam bahasa Inggeris. Kemudian beliau menjelaskan dengan tenang dan terperinci. Tiada soalan susulan. Dalam tulisannya, wartawan portal terbabit membuat ulasan bagaimana Datuk Mohd Gazali telah mengendalikan sidang media dengan profesional dan penuh berisi.
Itulah! Kita memerlukan wartawan, dan wartawan memerlukan kita. Mengapa mahu beremosi? Mengapa nak ajar wartawan macam mana nak buat kerja?
Saya membawa kejadian enam tahun lalu itu susulan isu mutakhir membabitkan peranan dan tugas media (wartawan), dan kali ini membabitkan YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kementeriannya memaklumkan bahawa pihaknya menghormati kebebasan media, namun mempertahankan hak untuk membalas pertanyaan wartawan, susulan tindakan menterinya YB Nga Kor Ming menegur wartawan dengan keras ketika sidang media.
Menerusi unit korporatnya, KPKT berkata mereka amat menghargai peranan penting media dalam menyampaikan komunikasi.
“KPKT amat menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan, serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan sepanjang sidang media,” jelas kenyataan media KPKT.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan wartawan mempunyai hak untuk bertanya apa jua soalan dalam melaksanakan tugas dan kerja mereka, mengikut prinsip ketelusan dan saling menghormati antara media dan kerajaan.
Fahmi menjelaskan perkara itu telah dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lepas, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Saya telah bercakap dengan menteri berkenaan tentang isu ini, dan beliau telah memberikan penjelasan,” kata Fahmi.
Sebenarnya saya kasihan dengan YB Nga. Berdasarkan pengalaman saya sebagai editor, penulis dan penganalisis pilihan raya, saya difahamkan beliau antara menteri dan ahli politik DAP dan Kerajaan Madani yang profesional, terbuka dan mesra wartawan.
Beliau telah menunjukkan skil menguruskan sidang Dewan Rakyat ketika pernah menjadi timbalan pengerusi. Malangnya, perkembangan minggu lalu agak memeranjatkan, lagi menyakitkan saya sebagai anggota keluarga jurnalis.
Mengapa seorang YB yang profesional (bermaksud ada segala kualiti untuk berperanan sebagai wakil rakyat) macam YB Nga boleh berubah menjadi seorang yang memperlekehkan wartawan – tetamu yang diundang untuk membuat liputan.
Wartawan datang hanya untuk mendapatkan maklumat dan jawapan untuk dijadikan bahan berita.
Kita perlu tahu bahawa setiap media ada polisi editorial masing-masing. Dan, ia berkait rapat dengan nilai berita yang hendak dihasilkan. Kita kena faham perkara ini. Sebab itu, wartawan Utusan membawa soalan mengapa tagline tidak ada dalam bahasa kebangsaan. Prinsip mudah!
Sebagai perunding media yang menyediakan latihan pengurusan media, saya sering kali memetik prinsip ini: “Wartawan ada hak untuk mengemukakan apa sahaja soalan yang relevan, dan sumber (dalam kes ini YB Nga) pula berhak untuk sama ada menjawab atau sebaliknya.”
Menteri Nga mempunyai kesemua ruang (sebab platform sidang media milik beliau dan kementeriannya). Apa sudah sangat, jawablah dengan tenang.
Betul pandangan yang mengatakan YB Nga berhak untuk mempertahankan diri beliau dan program kementerian beliau. Itu, beliau boleh, harus dan wajar menjawab dengan berhemah.
Berdasarkan video rakaman sidang media, pada penilaian saya, beliau telah bertindak atau mengeluarkan kenyataan ‘keterlaluan’, iaitu: pertama bertanya anda dari media mana?, kedua, jangan rosakkan program ini, dan (iii) saya akan menghubungi ketua pengarang anda.
Sepatutnya pengacara majlis atau pegawai media boleh memaklumkan kepada media supaya memperkenalkan diri apabila hendak mengemukakan soalan. Selesai masalah dan Jangan sama sekali mengugut wartawan akan menghubungi editor untuk mengadu.
Itu bukan tugas sumber atau jurucakap sidang media. Ini semua tidak perlu diperkatakan oleh seorang wakil rakyat dan menteri kanan dalam Kabinet. Saya pasti YB Nga telah diberikan latihan menghadapi media dan pengurusan media semasa dilantik menjadi anggota Jemaah Menteri.
Saya telah melalui banyak menteri yang tidak boleh mengawal emosi meskipun diberikan latihan pengurusan media. Dari dahulu sehingga kini. Tindakan mereka bukan sahaja merosakkan imej wakil rakyat dan menteri terbabit, malah mencerminkan wajah kerajaan yang mereka anggotai. Dalam kes ini, kerajaan Madani.
Ketika saya menjadi wartawan dua dekad lalu, saya pernah ditegur oleh seorang menteri, di mana dia berkata: “Don’t try to give me trouble.” Dia kata dia tahu apa hendak dibuat. Saya dan rakan saya, Sarban Singah (masih wartawan) pernah dikawal ketat keluar dari Kompleks Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di ibu negara kerana tulisan saya mengenai kesilapan mengira formula bayaran pencen pada tahun 1990-an.
Tugas wartawan: menghibur, menyampaikan maklumat, membuat pencerahan (atau memberikan penerangan) dan pemerhati bagi pihak khalayak mereka. Hormati dan hargailah peranan mereka kerana mereka datang untuk mendapatkan maklumat daripada YB.
Sumber atau jurucakap perlu ada ilmu menjawab soalan yang diutarakan dengan berhemah. Jangan hanya menganggap wartawan sebagai kawan ketika pilihan raya untuk mempromosikan agenda politik masing-masing. Apabila menjadi wakil rakyat atau menteri menganggap mereka sebagai sampah.
Banyak nasihat telah diberikan oleh rakan-rakan saya dalam isu ini.
Selepas nasihat kepada YB Nga, saranan saya kepada para wartawan, jika ada sumber atau jurucakap sombong dan tidak memberikan layanan yang munasabah baiknya atau memperkelehkan kerjaya jurnalis, pulau atau boikot mereka. Anda berani lakukan?
Buat keputusan secara kolektif. Kita selalu menulis pandangan pelbagai supaya boikot itu, boikot ini, pulau sahaja wakil rakyat dan menteri yang sombong dan beremosi. – 2 November, 2025
Dr G Manimaran ialah perunding media dan penganalisis politik
