PENAMAAN calon Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah berlangsung hari ini, di sebalik persoalan siapa bakal peroleh mandat untuk menerajui untuk tempoh lima tahun akan datang. Proses penamaan calon dibuka di antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi.
Hanya satu jam khusus untuk mengemukakan borang penamaan calon. Jika kesemuanya teratur, menjelang 11.30 pagi, kita sudah boleh tahu senarai calon yang sah diterima untuk bertanding.
Sekali lagi Sabah menarik perhatian.
Negeri Di Bawah Bayu ini sudah pun berada di bawah radar tumpuan politik sejak setahun lalu. Keputusan melibatkan 73 kerusi bukan sahaja bakal menentukan parti atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan, malah ia juga dilihat akan mencerminkan keputusan di peringkat pusat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), diramalkan akan diadakan tahun depan, lebih awal daripada sepatutnya.
Lima tahun lalu, Sabah digegarkan dengan PRN mengejut atau snap election ekoran tindakan sejumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (Warisan) keluar parti, dua tahun selepas PRU14. Ketika itu pandemik COVID-19, masalah kesihatan global, juga telah membadai negara dan seluruh dunia.
Kempen dijalankan di sebalik wabak itu meskipun ada pandangan ketika itu supaya menangguhkan PRN16. Di akhir PRN, bukan sahaja kerajaan Sabah berubah tangan, malah telah membawa kepada cetusan pandemik gelombang baharu, dari Sabah.
Kes meningkat dengan mendadak. Ketika itu, kerajaan baharu juga terbentuk di Sabah. Kerajaan Warisan digantikan oleh Perikatan Nasional (PN) dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS), daripada ikatan tidak formal kemudian muncul sebagai pakatan formal sehingga hari ini.
Hubungan dalam kerjasama pakatan poliitk GRS juga mengalami garis turun naik.
Kali ini, PRN tidak bersifat mengejut kerana Dewan Undangan dibubarkan di akhir mandat lima tahun. Ini bukan kali pertama dalam sejarah pilihan raya umum Sabah mandat lima tahun digunakan sepenuhnya. Pada kali ini banyak sebab dan faktor telah mempengaruhi Ketua Menteri dalam membuat keputusan pembubaran, sekali gus memanggil pilihan raya.
Pada hari ini, proses penamaan calon berlangsung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyediakan tempoh berkempen selama 14 hari – pengundian akan diadakan pada 29 November.
Sebanyak 3,334 borang telah dijual hingga semalam. Menurut kenyataan SPR, daripada jumlah itu, 2,414 set borang dijual melalui Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sabah, manakala 920 set lagi dijual melalui Pejabat Pegawai Pengurus (RO).
Mengikut statistik SPR, seramai 1,784,843 pengundi layak untuk mengundi. Mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Setakat semalam, PKR telah mengumumkan 10 calon dan DAP (tujuh) yang kesemuanya bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH). Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan seorang calon langsung pula bertanding di 45 kerusi.
GRS pula telah memutuskan akan bertanding di 55 kawasan – terdiri daripada calon-calon dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).
Warisan, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 kerusi, PN (41) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 40 kawasan.
Parti Kerjasama Anak Negeri akan meletakkan 26 calon, Parti Maju Sabah (SAPP) (enam) dan 17 lagi calon Bebas yang bergerak atas nama ‘Gelombang Hitam’ (Black Wave).
Lima tahun lalu, PCS telah bertanding sendiri di kesemua 73 kerusi, Warisan (53), USNO (47), Parti Demokratik Liberal (LDP) (46), BN (41), PN (29), Parti Gagasan Rkyat Sabah (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (23), PBS (22), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (12), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah (lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (dua), Parti Amanah Negara (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (satu).
Daripada 29 kerusi ditanding oleh PN, 20 membabitkan calon Bersatu Sabah, Star (tujuh) manakala dua kerusi ditandingi oleh SAPP. Warisan Plus, melibatkan PKR, Amanah, UPKO dan DAP, tanding di kesemua 73 kerusi.
Kesemua 447 calon telah turun gelanggang dalam pilihan raya yang diadakan di penghujung September 2020.
Warisan Plus menang di 32 kerusi (Warisan 23, DAP enam, PKR dua dan UPKO satu) manakala GRS, yang ketika itu pakatan tidak rasmi, megah dengan penguasaan di 38 kawasan, iaitu UMNO 14, PBS tujuh, Star enam, Bersatu 11 dan Bebas pula tiga. Ikatan politik itu membentuk kerajaan, seiring dengan kerajaan di peringkat pusat yang dipimpin oleh PN.
Kali ini, PRN17 diadakan dengan beberapa perkembangan yang berkait rapat di antara satu sama lain, sekali gus mewarnai perjalanan pilihan raya.
Pertama: Pilihan raya peringkat negeri pertama menyaksikan kehadiran pengundi-pengundi berusia 18 tahun. PRU15 telah membawa penyertaan pengundi muda yang dikatakan telah mengubah gelombang politik negara di peringkat nasional dan di beberapa negeri tiga tahun yang lalu.
Kedua: Tindakan Star dan SAPP memutuskan untuk keluar GRS dan akan bertanding secara solo, dengan menggunakan lambang parti sendiri. Mereka memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi yang akan dimuktamadkan antara GRS dan PH. Bermakna kedua-dua berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan yang juga bakal ditandingi calon-calon dari PH. Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi GRS menegaskan semua parti komponen perlu menghormati persetujuan kerjasama dengan PH sebelum ini.
Ketiga: UPKO pula memutuskan untuk keluar PH dan bertanding solo menggunakan logo sendiri. Dari awal mereka mahu menggunakan logo sendiri, sebagaimana lima tahun lalu, dan sebagaimana dilakukan oleh PKR semasa PRN Johor pada tahun 2022. UPKO tidak mengadakan sebarang majlis khas untuk mengumumkan senarai calon parti itu, sebaliknya akan diketahui hari ini. Parti itu bertanding tidak kurang daripada 20 kerusi berbanding ramalan awal sekitar enam hingga lapan kerusi.
Keempat: Selain keluar PH, UPKO juga mengejutkan banyak pihak apabila Presidennya, Datuk Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan atas dasar prinsip dan pendirian berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Beliau yang memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS). Beliau menyatakan rasa tidak bersetuju terhadap pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara dalam kes berkenaan, yang menurutnya “mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia seperti termaktub dalam dokumen-dokumen asas Perlembagaan.”
Kelima: Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan selama hampir lima dekad. Ketika menyampaikan keputusannya, hakim mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Keenam: PRN17 merupakan yang pertama sejak Kerajaan Madani, peringkat pusat, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dibentuk tiga tahun lalu, yang akan genap pada minggu depan, 19 November. Lima tahun lalu parti komponen PH pimpinan beliau menggunakan logo sendiri, tetapi kali ini dilaporkan akan menggunakan lambang PH. Salah satu sebab UPKO dikatakan keluar ialah ketiadaan kata sepakat bagi membolehkan penggunaan logo sendiri seperti lima tahun lalu.
Ketujuh: PRN17 pertama diadakan ketika Tun Musa Aman menjadi Yang Dipertua Negeri Sabah. Lima tahun lalu beliau menjadi antara fokus gelanggang pilihan raya mengejut meskipun tidak mengetuai mana-mana parti. Pada tahun 2018, beliau, Ketua Menteri paling lama di Sabah, memimpin BN Sabah dalam PRU15, tetapi hilang kuasa pentadbiran apabila sejumlah anggota komponen meninggalkan BN Sabah, termasuk wakil rakyat yang menang atas tiket BN.
Kelapan: Sentimen “Sabah Untuk Sabah” semakin lantang berbanding lima tahun lalu. Walaupun isu-isu berkaitan MA63 menjadi perhatian sejak beberapa pilihan raya, di kedua-dua peringkat nasional dan negeri, tetapi tuntutan berlandaskan platform “Sabah First”, “Sabah Untuk Sabah”, “Keadilan Untuk Sabah”, “Tunaikan Janji MA63” dan sebagainya bertambah tebal kali ini, sekali gus mengubah kedinamikan politik kali ini.
Kesembilan: Gelanggang PRN17 dibuka, sejak beberapa bulan lalu, tanpa ramalan kukuh parti atau gabungan yang bakal berpeluang untuk menang besar lalu membentuk kerajaan. Ramai menjangkakan Sabah bakal menyaksikan kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan.
Kesepuluh: PRN17 berlangsung dengan lebih 20 parti politik mencuba nasib mereka, untuk meraih sokongan dan undi. Ada banyak parti baharu tetapi tiada gabungan atau pakatan baharu pada kali ini. Ia dilihat akan membawa kepada pertarungan minimum lima penjuru, dan akan ada kerusi yang bakal menyaksikan saingan di antara 10 hingga 13 penjuru. Pilihan raya lepas menyaksikan tiga hingga 10 penjuru, yang disaingi 14 buah parti.
Dari segi kedinamikan politik dan saingan politik, Sabah dilihat sebagai unik, dan ia kekal unik sehingga kini. Banyak parti individu dan gabungan telah mengepalai kerajaan. Ini termasuklah Perikatan (kemudian BN), Berjaya, USNO, PBS, Warisan Plus, dan PN (GRS). Tiada parti politik individu baharu yang padu dan popular kali ini. Tetapi rakyat Sabah akan gabungan yang telah diuji.
Penamaan calon akan memberikan kita gambaran lebih jelas awal mengenai tahap persaingan, dan siapa bakal memperoleh mandat baharu.
Sebagaimana telah dihuraikan, gelanggang terbuka luas untuk setiap parti untuk memenangi sejumlah kerusi yang diperlukan, tetapi bakal peneraju kerajaan negeri masih belum jelas setakat ini. Yang jelas kedinamikan yang mewarnai Sabah telah berubah berbanding pertengahan tahun ini.
Dr G Manimaran ialah penganalisis pilihan raya dan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir
