Menjelang hari penamaan calon, seorang pemimpin parti politik tempatan apabila diminta mengulas mengenai status saingan di antara parti-parti yang mesra dalam kalangan mereka sejak setahun lalu, berkongsi pandangannya dengan berkata begini:
‘(Kami) lawan sampai kawan, lawan sampai hidup’.
Pemimpin itu turut bertanding dan menang kerusi dalam pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) Sabah, yang berakhir semalam.
Parti itu dilaporkan menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu yang dibentuk awal pagi ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah awal pagi, tidak sampai enam jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi, dan ketika ramai masih berada di atas katil. Mereka bangun dengan menerima Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri, untuk penggal kedua.
Dipercayai ini kali pertama seorang Ketua Menteri selesai angkat sumpah sekitar 3 pagi. Beberapa dekad lalu ada seorang pemimpin menunggu lama di luar pagar Istana Seri Kinabalu untuk bertemu Yang di-Pertua Negeri bagi mendapatkan restu membentuk kerajaan.
Harapan pemimpin ketika itu tidak menjadi kenyataan. Awal hari ini, Hajiji mengangkat sumpah sekitar 3 pagi selepas bergerak ke kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri sejak 1 pagi tadi. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai beliau menguasai 29 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Beliau menerima sokongan daripada wakil rakyat Bebas, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH).
PH hanya memperoleh satu kerusi kali ini, penurunan ketara berbanding lima tahun lalu. UPKO pernah berada dalam ikatan PH tetapi memutuskan untuk keluar dan bertanding menggunakan logo sendiri di PRN17 Sabah – satu keputusan saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon.
Kerusi UPKO pula meningkat kali ini. PH dan UPKO bertembung di beberapa kawasan. Begitu juga GRS yang ditentang calon dari parti-parti yang pernah sealiran dan sehaluan dengan mereka, terutama Barisan Nasional (BN), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta Perikatan Nasional (PN).
Kemungkinan itu yang menyebabkan pemimpin parti politik tersebut berkata demikian, iaitu “lawan menjadi kawan”.
Mereka yang bersaing dalam pilihan raya akhirnya berjabat tangan malam tadi untuk membentuk kerajaan baharu di Sabah pagi ini. Parti yang membentuk kerajaan boleh membawa masuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan.
Mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah, Yang di-Pertua Negeri boleh melantik sehingga enam Adun tambahan. Mereka tidak dipilih melalui undi, tetapi dilantik untuk mewakili kepentingan tertentu atau menambah kepelbagaian suara dalam DUN.
Ini senario politik di Sabah. Ia menjadi kukuh dan ketara dalam pilihan raya kali ini, dan telah diterjemahkan semalam. Sangat jelas. Apabila perundingan kerusi gagal, mereka bertanding dan menjadi anggota kerajaan baharu.

Keputusan di banyak kerusi menunjukkan bahawa sesetengah parti gabungan gagal menang kerusi disebabkan oleh persaingan sesama sendiri. Keputusan kemungkinan telah berubah jika mereka bertanding dalam satu nada.
Sekali lagi situasi berbeza di Sabah. Mereka memutuskan untuk ‘kita lawan dulu, kerjasama pakatan politik membentuk kerajaan dibincang kemudian’.
Dari awal tidak ada jangkaan jelas siapa akan menang besar secara ‘individu’ dan akan membentuk kerajaan. Berdasarkan pemerhatian, perkongsian data dan hasil kajian juga telah menunjukkan bahawa tiada parti yang bakal menang atau memperoleh kerusi mutlak dalam pilihan raya kali ini.
Perkara ini turut diakui oleh kajian kendalian ILHAM Centre yang menyentuh “soalan siapa yang diletak harapan untuk jadi ketua menteri kali ini: “Daripada nama-nama tersebut, calon paling popular adalah Hajiji, diikuti Datuk Seri Shafie Apdal.”
Dua calon ini yang mendominasi sokongan, jauh meninggalkan nama-nama lain. Malah, kajian itu juga menunjukkan bahawa antara faktor populariti Hajiji adalah kerana secara umumnya sekitar 63 peratus pengundi yang dikaji berpuas hati terhadap prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh beliau, dalam masa sama, 62 peratus turut berpuas hati terhadap prestasi beliau sebagai Ketua Menteri.
Watak tenang Hajiji berjaya mengatasi gelora yang menguji kepimpinan kerajaan negeri dan membawa kestabilan sehingga tamat penggal pentadbiran. Shafie pula mempunyai kelebihan karisma dan orator yang baik serta berjaya memimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menggugat kubu lawan sepanjang kempen berlangsung.
“Watak kontras dua figura ini mewarnai sebahagian besar penilaian pengundi terhadap calon Ketua Menteri. Hajiji dilihat lebih berpeluang menyatukan ketua-ketua parti pasca keputusan nanti,” rumus dapatan kajian ILHAM Centre.
Pendirian itu jelas dan ketara semalam.
Peluang seimbang dan terbuka. Sepanjang tempoh berkempen, Warisan dan GRS dilihat mempunyai peluang yang baik, dengan gelombang sokongan kepada Warisan mula mengalami kemajuan sejak awal minggu pertama tempoh berkempen.
Keputusan PRN Negeri Di Bawah Bayu kali ini membawa mesej tersendiri berbanding lima tahun lalu, antaranya:
Pertama, sentimen keutamaan parti lokal sahaja perlu memerintah menguasai kempen pilihan raya dan ia telah berjaya disemai dalam jiwa rakyat Sabah, terutama mereka yang melangkah ke pusat mengundi semalam. Ini jajaran baharu politik. Sentimen Sabah Untuk Sabah, Sabah Diutamakan, Keadilan Untuk Sabah dan beberapa slogan lain yang membayangi sokongan ke arah sentimen tempatan atau lokal, sekali gus mengubah arah aliran sokongan kali ini. Ia telah membawa kepada kehilangan undi bagi banyak parti dan gabungan yang pernah memerintah dan duduk bersama dengan parti-parti nasional.
Kedua, impak sentimen itu telah membawa kepada landskap politik baharu di Sabah sebagaimana dilihat dan diamalkan di Sarawak. Rakyat Sabah dilihat mula memberi keutamaan kepada keperluan parti-parti lokal untuk membawa suara mereka, sekali gus membangunkan Sabah. Ia juga dikaitkan dengan kehadiran pengundi-pengundi muda buat kali pertama dalam pilihan raya peringkat negeri.
Ketiga, tsunami Cina yang pernah dikaitkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2013 di peringkat nasional, mula bertapak kuat di Sabah kali ini. Pengundi etnik Cina yang kebanyakannya tinggal di kawasan bandar telah berubah angin. Mereka mengambil haluan berbeza. Mereka mahukan angin baharu. Perubahan pendirian ini ketara dengan kekalahan DAP di kesemua kerusi yang mereka tandingi. Ia mengejutkan parti itu. DAP tidak sama sekali menjangkakan bahawa mereka akan kalah teruk. Malah sentimen itu turut memberi kesan besar ke atas calon-calon yang diturunkan oleh PH. PH hanya memperoleh satu kerusi. Selain DAP, PH dianggotai oleh PKR dan Amanah. Kedua-dua parti itu merekodkan prestasi terburuk mereka.
Keempat, prestasi amat buruk dan mengecewakan bagi DAP dalam era ketika ia menjadi sebahagian daripada komponen kerajaan pusat yang memerintah di peringkat pusat. DAP dijangkakan kekalkan jumlah kerusi dimenangi pada tahun 2020. Tetapi sebaliknya yang telah dialami. Di mana kesilapan DAP? Atau ia petanda kegagalan PH di peringkat nasional? Apakah ia indikator buruk bakal muncul dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan dalam tempoh satu tahun dari sekarang.
Kelima, Warisan memperoleh 288,703 daripada 1.13 juta undi, diikuti oleh GRS dengan 286,389 dan BN dengan 144,584 undi. Baki undi diagihkan kepada parti-parti kecil dan calon Bebas. Seramai 64 peratus pemilih yang layak keluar mengundi kali ini. Walaupun undi popular diperoleh Warisan lebih tetapi ia tidak diterjemahkan dalam jumlah kerusi dikuasai. Ini sama seperti di peringkat nasional semasa PRU 2013.
Keenam, PN yang muncul gah ketika PRN lima tahun lalu juga menghadapi persembahan terburuk kali ini, dan juga selepas PRU15 pada November 2022. PN hanya menang satu kerusi. Ia dimenangi oleh calon PAS. PAS juga dilaporkan melahirkan ‘anak sulung’ di DUN. Ini rekod bagi PAS, tetapi prestasi buruk bagi PN secara keseluruhannya. PAS bertanding di bawah lambang PN. Adakah ia kemenangan secara kebetulan ataupun sebaliknya. Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan kemenangan tersebut bukan sahaja penting kepada PAS, malah membawa mesej jelas tentang masa hadapan kerjasama politik dalam blok pembangkang dan Kerajaan Perpaduan.
Ketujuh, daripada 596 calon yang turun gelanggang seramai 389 calon atau 65 peratus (lebih dua pertiga) telah kehilangan deposit mereka selepas memperoleh kurang daripada satu perlapan daripada jumlah undi yang dikira untuk kerusi mereka. Mengikut pecahan parti, Parti Impian Sabah (PIS) mencatatkan bilangan calon tertinggi yang kehilangan deposit mereka dengan 72 calon, diikuti oleh calon Bebas (60), Star Sabah dan PN, masing-masing dengan 36 calon. Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyaksikan 30 calon kehilangan deposit mereka, Warisan (23), UPKO (15), BN (12) dan PH dua calon.
Kelapan, keputusan PRN17 Sabah juga dilihat mempunyai impak ke atas PRU16 peringkat Parlimen, termasuk di kerusi-kerusi Dewan Rakyat peringkat Sabah. Persoalan yang diletakkan di atas meja pada hari ini ialah sama ada PH akan mencatatkan keputusan lebih baik atau bakal berhadapan dengan ‘pembersihan ketara’ sekiranya tsunami Sabah semalam tidak diberikan fokus sewajarnya dan mengambil langkah-langkah pembetulan.
Kesembilan, keputusan semalam juga meletakkan Sabah di kedudukan lebih kuat untuk membuat tuntutan yang berkaitan dengan hak dan jaminan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Tuntutan dan desakan Sabah kepada kerajaan pusat dijangka meningkat dengan mendadak selepas ini, dan kerajaan pusat perlu bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan, sebagaimana diperjuangkan oleh Sarawak sejak lima tahun lalu.
Kesepuluh, adakah kestabilan politik di Sabah yang sebenar akan dirasai susulan pilihan raya semalam. Berbanding di Sarawak, kestabilan politik di Sabah seringkali menjadi persoalan dan perdebatan. Tanggapan ramai selama ini ialah Sabah tidak stabil dari segi politik; menjadi antara faktor yang menyebabkan pembangunan tidak rancak dan tidak menyeluruh dengan bekalan elektrik dan air yang stabil masih belum menjadi kenyetaan; malah menjadi bahan kempen dan isi manifesto kesemua parti yang bertanding.
Pemerhatian di sebahagian bahagian yang dipertandingkan menunjukkan senario kali ini jauh berbeza berbanding lima tahun lalu. Beberapa parti atau gabungan yang bertanding yang gah dengan poster dan bendera sepanjang tempoh berkempen pada September 2020 dilihat berhadapan dengan sumber dan sokongan di akar umbi. Malah, senario turut diterjemahkan dalam keputusan akhir malam tadi.
Keputusan PRU17 Sabah sebenarnya menjadi pengajaran penting kepada Sabah sendiri dan juga di peringkat nasional. Jajaran baharu politik mula muncul. Ini juga norma baharu kuasa politik negara. Menarik untuk disaksikan. – 30 November, 2025
Dr G Manimaran ialah penganalisis pilihan raya
