HEADLINES

Keadaan Negara: Petronas ke mahkamah untuk penyelesaian isu di Sarawak kerana urusan perniagaan, bukan nak personal hak negeri – Zainul Arifin

Langkah Petronas mendapatkan kejelasan undang-undang mengenai operasinya di Sarawak mencetuskan kemarahan politik dan bantahan awam, sekali gus mendedahkan ketidakpuasan berhubung hak minyak dan gas, MA63 serta hubungan persekutuan-negeri, selain menimbulkan kebimbangan bahawa ketidakpastian berpanjangan boleh menjejaskan Sarawak, Petronas dan ekonomi negara

3:04 PM MYT

 

KEPUTUSAN Petronas untuk membawa isu ke mahkamah bagi mendapatkan kejelasan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam operasi di Sarawak telah disambut dengan permusuhan, sindiran dan rasa tidak puas hati sebahagian rakyat negeri itu.

Jika beberapa hantaran di media sosial boleh dipercayai, Petronas kini macam tidak diterima di negeri itu. Wujud seruan boikot stesen dan produk Petronas, untuk halang pekerjanya di sempadan, mengadakan protest di sekitar asetnya, merujuknya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, serta pelbagai cadangan lain yang berunsur “anda tidak dialu-alukan di sini”.

Mengapa wujud permusuhan terhadap pelabur terbesar yang telah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri itu selama lebih 50 tahun?

Sumber minyak dan gas mewakili hasil dan kekayaan, dan rakyat Sarawak merasakan mereka tidak mendapat bahagian yang adil daripada sumber yang dieksploitasi di negeri itu. Hal ini dilihat oleh ramai rakyat Sarawak sebagai contoh kepada masalah hasil dari pembentukan Malaysia.

Adakah kemarahan terhadap Petronas diasaskan dari ketidakpuasan hati penduduk negeri itu dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, yang ditandatangani oleh Sarawak, Sabah, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia?

Kemarahan ini memuncak apabila Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan beberapa minggu lalu untuk mendapatkan keputusan mengenai isu perlesenan bagi operasinya di Sarawak. Dengan membawa perkara itu ke mahkamah, ia dilihat cuba menidakkan undang-undang negeri dan usaha Sarawak untuk mendapatkan semula kawalan ke atas sumber minyak dan gasnya.

Secara tidak langsung, mahkamah tertinggi itu juga mungkin membuat keputusan mengenai isu perlembagaan – sama ada undang-undang negara, dalam hal ini Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang menyerahkan sumber minyak dan gas negara kepada Petronas, mempunyai keutamaan berbanding undang-undang negeri seperti Distribution of Gas Order 2006 atau Oil Mining Ordinance 1958 sebelum Malaysia.

Rasional Petronas membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan, serta menamakan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sebagai pihak berkepentingan, adalah untuk mendapatkan kejelasan apabila kedua-dua Putrajaya dan Kuching tidak mengeluarkan garis panduan jelas mengenai apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan syarikat itu di Sarawak. Sementara itu Ada juga beberapa kes lain di mahkamah Kuching melibatkan anak syarikat Petronas dan status perlesenan mereka.

Keperluan untuk Petronas dilesenkan di Sarawak, atau tidak, nampaknya ditafsir berbeza oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Jelas sekali kekaburan sebegini tidak baik untuk perniagaan, maka timbul keperluan untuk mendapatkan arahan mahkamah. Ia bukan nak personal hak Sarawak, ia mencari penjelasan demi urusan perniagaan.

Sebagai entiti perniagaan, Petronas barangkali bersikap neutral terhadap MA63 dan pelaksanaannya, dan hanya berminat bagaimana ia memberi kesan kepada perniagaan dan operasinya. MA63, yang merupakan “sijil kelahiran” negara adalah bidang kuasa ahli politik dan mungkin juga mahkamah.

Salah satu kesan jelas daripada keputusan Sarawak untuk mempunyai lebih banyak kuasa ke atas sumber minyak dan gas ialah jangkaan pendapatan Petronas berkurangan, dengan anggaran sekitar 30 peratus. Bermula tahun ini, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan mengambil alih daripada Petronas hak eksklusif untuk aktiviti pengagihan gas di negeri itu.

Walaupun pengurangan hasil itu sendiri sudah cukup serius, ketidaktentuan keputusan yang jelas antara kerajaan Persekutuan dan negeri tidak memberi manfaat kepada Petronas dan Malaysia, malah kepada Sarawak juga. Apabila Petronas terjejas, negara turut pincang.

Keputusan untuk pergi ke mahkamah tertinggi akhirnya adalah untuk mendapatkan kepastian, kerana ketidakpastian adalah musuh perniagaan. Putrajaya dan Kuching sebelum ini menyatakan mereka hanya perlu menyelesaikan perkara kecil, tetapi sudah setahun berlalu sejak konsensus sepatutnya dicapai, tetapi ia tidak berlaku. Ketidakpastian ini antara lain, menakutkan pelanggan dan pelabur Petronas.

Selain daripada keperluan perlesenan, kehendak  Sarawak bahawa Petros menjadi pengagregat tunggal gas juga boleh menjejaskan perniagaan Petronas – contohnya, adakah ia perlu membeli semula gas yang dihasilkan di Sarawak daripada syarikat milik negeri untuk memenuhi komitmen ekspot bernilai berbilion ringgit? Dengan lebih RM90 bilion dilaburkan di Sarawak dalam sedekad lalu, perlukah Petronas menyusun semula urusan perniagaannya?

Ia bukan nak persoal hak Sarawak, ia hanya perlu kepastian demi urusan perniagaan.

Bon Petronas dinilai tinggi, malah lebih tinggi daripada hutang kerajaan Malaysia, membolehkan syarikat itu meminjam di pasaran kewangan untuk pelaburan Dan sebagainya pada kadar lebih murah. Namun, dengan sebahagian besar pendapatan terjejas, Petronas dijangka berdepan kos pinjaman lebih tinggi selepas ini.

Secara logiknya, sukar untuk mengendalikan perniagaan tenaga global jika peraturan ditafsir berbeza setiap kali melintasi sempadan negeri. Ia bukan soal peribadi, is urusan perniagaan.

Dari jauh, ketika ini, kelihatan pihak berkuasa negeri sedang menguji keteguhan Petronas, dan mungkin juga ketegasan Putrajaya, dengan berkeras mengenai isu perlesenan.

Kita boleh menghormati usaha Sarawak untuk mendapatkan bahagian yang lebih adil. Ia adalah rungutan lama yang perlu diselesaikan. Hakikat bahawa MA63 tidak dilaksanakan sepenuhnya harus diakui dan diperbetulkan.

Kegagalan melaksanakan MA63 selamat ini boleh dikaitkan dengan kepimpinan baik dari kerajaan Persekutuan mahupun negeri. Kini, kerajaan mengakui kepentingan MA63 dan sedang mencari jalan untuk melaksanakannya, walaupun tidak pada kadar yang diinginkan oleh Sarawak dan Sabah. Tetapi itu cerita di masa lain.

Kita semua memerlukan penyelesaian menang-menang bagi isu Petronas di Sarawak. Buat masa ini ia hampir menjadi situasi sama-sama rugi bagi negara tanpa mengira siapa yang menang di mahkamah. Pasti ada cara yang lebih baik untuk menyelesaikannya. Jika tidak berhati-hati, kita mungkin membunuh “angsa yang bertelur emas”. – 29 Januari 2026

Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop.my

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related