HEADLINES

Apabila reformasi dikalahkan oleh drama politik – Sivamalar Genapathy

Rakyat Malaysia sudah penat dengan drama politik, permainan strategi dan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen apabila melibatkan sesuatu keputusan besar untuk negara sedangkan reformasi institusi adalah soal masa depan negara dan generasi akan datang

5:24 PM MYT

 

Pembentangan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun di Dewan Rakyat pada Isnin, merupakan satu langkah signifikan dalam usaha memperkukuh reformasi institusi negara.

Cadangan pindaan ini mencerminkan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa pembaharuan yang menyentuh jawatan ketua kerajaan.

Menghadkan tempoh perkhidmatan bagi jawatan yang sedang disandang bukan keputusan mudah, namun langkah ini menunjukkan komitmen jelas untuk memperkukuh sistem tadbir urus negara melalui perubahan institusi yang konkrit.

Di banyak negara, had tempoh kepimpinan telah diperkenalkan bagi memastikan keseimbangan kuasa dalam sistem demokrasi.

Sebagai contoh, pindaan Perlembagaan Thailand pada tahun 2017 menetapkan bahawa seseorang Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan melebihi lapan tahun secara keseluruhan.

Namun, pindaan tersebut gagal diluluskan hanya kerana kekurangan dua undi. Dua undi telah memisahkan Malaysia daripada satu reformasi institusi yang penting.

Ia bukan gagal kerana idea itu lemah atau tidak mendapat sokongan rakyat, tetapi kerana terdapat Ahli Parlimen yang tidak hadir dengan alasan yang remeh dan ada yang memilih untuk mengutamakan percaturan politik berbanding kepentingan negara.

Saya ingin merakamkan penghargaan dan rasa bangga terhadap semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang memberikan sokongan penuh terhadap pindaan ini, khususnya wakil-wakil rakyat KEADILAN.

Sokongan 100 peratus yang ditunjukkan mencerminkan disiplin, komitmen serta kesepaduan dalam menjayakan agenda reformasi yang telah lama menjadi aspirasi perjuangan.

Dalam dinamika politik, perbezaan pandangan dan perbahasan yang lantang adalah lumrah dalam sebuah demokrasi yang matang.

Namun apabila menyentuh agenda reformasi yang melibatkan kepentingan rakyat dan masa depan institusi negara, wakil-wakil rakyat KEADILAN tetap berdiri bersama secara kolektif. Ini membuktikan bahawa kepentingan nasional sentiasa diletakkan mengatasi kepentingan peribadi atau pertimbangan politik jangka pendek.

Pada masa yang sama, saya amat kecewa bahawa selepas perbahasan panjang di Parlimen, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tidak memberikan sokongan terhadap reformasi institusi yang begitu penting ini.

Ahli Parlimen adalah suara rakyat di kawasan masing-masing. Undian mereka seharusnya mencerminkan aspirasi dan kehendak rakyat, bukan terikat kepada percaturan politik sempit atau kepentingan parti semata-mata.

Lebih mendukacitakan apabila terdapat Ahli Parlimen blok kerajaan sendiri yang gagal memberikan sokongan penuh terhadap pindaan ini. Reformasi ini adalah sebahagian daripada janji dan tanggungjawab bersama untuk memperkukuh institusi negara.

Memberikan alasan-alasan yang remeh untuk ketidakhadiran mereka sewaktu pengundian adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Rakyat Malaysia sudah penat dengan drama politik, permainan strategi dan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen apabila melibatkan sesuatu keputusan besar untuk negara. Reformasi institusi bukan isu partisan. Ia adalah soal masa depan negara dan generasi akan datang.

Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang matang, berprinsip dan benar-benar komited membina negara bukan pemimpin yang terus terperangkap dalam budaya politicking yang sempit. – 4 Mac, 2026

Sivamalar Genapathy adalah Timbalan Setiausaha Agung, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP)
Parti Keadilan Rakyat

Topics

 

Popular

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

[WATCH] GP fee hike may finally end clinic medicine markups: Dr Thirunavukarasu

Malaysian Medical Association president says decades of suppressed consultation rates forced clinics to rely on medicine sales — but warns patients will still bear rising healthcare costs despite long-overdue reforms

Right-wing commentator Ian Miles Cheong under police scrutiny

According to authorities, investigation focuses on alleged social media posts that could incite public unrest

Related