WAJARKAH kita mula melonggarkan usaha penjimatan bahan api memandangkan konflik di Iran dikatakan semakin reda?
Pertamanya, gencatan senjata yang sekejap ada sekejap tiada kesan daripada serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran menunjukkan bahawa kita belum boleh mengharapkan penghentian permusuhan yang berkekalan buat masa ini.
Keduanya, kesan konflik terhadap pasaran bahan api global, meskipun terdapat pengumuman mengenai “sinar di hujung terowong”, adalah meragukan. Kekalutan di Selat Hormuz, misalnya—laluan bagi 20 peratus bekalan bahan api global—masih berterusan, manakala banyak infrastruktur minyak sama ada musnah, rosak, atau ditutup.
Bekalan global telah terjejas dan harga bahan api turun naik seperti yo-yo sejak sebulan lalu apabila berita baik disusuli pula dengan ketidaktentuan dalam masa beberapa hari sahaja.
Pada masa yang sama, persaingan untuk sumber lain seperti baja, polimer, aluminium, dan helium juga dijangka sengit di peringkat global, yang akan memberi impak besar kepada ekonomi dunia. Keadaan kelihatan kurang memberangsangkan sekarang dan dalam masa terdekat, berbanding ketika Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran hampir dua bulan lalu.
Di tanah air, syarikat minyak nasional Petronas aktif mencari bekalan di pasaran global untuk minyak mentah dan telah melanjutkan jaminan bekalan selama sebulan lagi sehingga akhir Jun. Walaupun sebelum krisis Petronas membekalkan 50 peratus keperluan petrol, diesel, gas memasak, dan bahan api jet, kini ia perlu menampung kekurangan daripada Shell, Petron, Caltex, dan BHp seperti yang dilihat melalui bilangan stesen yang kering (kehabisan bekalan) pada minggu lalu.
Keinginan rakyat Malaysia terhadap bahan api kekal tinggi, kini pada tahap gabungan 2.3 bilion liter petrol dan diesel sebulan, antara yang tertinggi bagi setiap kapita di dunia. Sepertiga daripada jumlah itu perlu diimport, di mana 40 peratus daripadanya melalui Selat Hormuz.
Kos untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat bahan api, yang juga bersubsidi, dalam waktu yang sukar ini telah meningkat dengan ketara. Setakat ini, Petronas membelanjakan RM650 juta sebulan untuk mendapatkan bekalan bagi menjamin keselamatan tenaga. Malah, harga penghantaran sebenar minyak mentah boleh menjadi lebih tinggi dengan kos tambang meningkat tiga kali ganda dan insurans meningkat 16 kali ganda.
“Demi keselamatan tenaga, Petronas perlu melakukannya,” kata Tan Sri Hassan Merican, pengerusi Pasukan Tugasan Pengurusan Krisis di bawah Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang bertanggungjawab menyemak setiap hari tindakan yang perlu diambil susulan konflik di Timur Tengah.
Ini adalah tambahan kepada sehingga RM6 bilion yang dibelanjakan setiap bulan oleh Kerajaan untuk menyubsidi petrol dan diesel, melonjak daripada RM700 juta sebulan sebelum konflik.
Spekulasi menyatakan jumlah keseluruhan yang akan dibelanjakan oleh Petronas dan kerajaan untuk memastikan bahan api murah jika harga minyak mentah mencecah AS$100 atau lebih setong, boleh mencecah RM60 bilion untuk tahun ini.
Sebagai perbandingan, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM46.5 bilion untuk sektor kesihatan, termasuk RM1.2 bilion untuk menaik taraf hospital dan klinik, dan RM32.9 bilion untuk pertahanan dan keselamatan. Pendidikan pula diperuntukkan RM84.8 bilion, termasuk RM2 bilion untuk membaiki 520 sekolah daif.
Wang sebanyak itu yang dibelanjakan untuk mengekalkan harga bahan api yang rendah jelas menimbulkan persoalan tentang keperluan untuk menggalakkan sifat berjimat cermat dalam penggunaan bahan api dan mengelakkan pembaziran. Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia menghargai bahan api yang lebih murah, bayangkan berapa banyak sekolah yang boleh diperbaiki setiap bulan dengan berbilion ringgit yang dibelanjakan untuk mengekalkan RON95 pada harga RM1.99.
Inilah mungkin persoalan falsafah yang perlu kita tanya kepada diri sendiri — adakah petrol atau diesel yang lebih murah lebih penting daripada sekolah dan hospital kita?
Sudah tentu, kita tidak diminta untuk memilih salah satu, tetapi kita harus melihat kepada mengimbangi keperluan-keperluan yang bersaing ini.
Sebanyak 15 juta tong minyak mentah harian telah dikeluarkan daripada pasaran akibat konflik tersebut. Pakar berpendapat walaupun perang tamat hari ini, perkhidmatan normal dalam bentuk bekalan bahan api global hanya akan dicapai menjelang suku pertama tahun depan. Sehingga itu, kita berkemungkinan berada dalam persekitaran bekalan yang tidak menentu dan rejim harga minyak mentah yang lebih tinggi.
Dengan publisiti yang meluas, dikongsikan bahawa kapal Ocean Thunder tiba beberapa hari lalu dengan membawa sejuta tong minyak mentah dari Iraq sebagai sebahagian daripada usaha Petronas memastikan kita mempunyai bahan api yang diperlukan. Ia mengambil masa enam hari untuk menapis minyak mentah itu menjadi diesel, petrol, gas memasak, dan bahan api jet. Syabas kepada Petronas, tetapi dengan cara kita menggunakan bahan api sekarang, kita bertuah jika produk yang diproses daripada penghantaran itu dapat bertahan selama tiga hari.
“Penggunaan bahan api yang berhemah dan mengelakkan pembaziran adalah kritikal,” kata Hassan, dan sifat berhemah ini harus melangkaui tempoh konflik kerana mengekalkan keselamatan tenaga adalah mahal. Ia amat mahal jika kita tidak menghargainya.
Kita tidak seharusnya membiarkan krisis ini berlalu begitu sahaja tanpa belajar daripadanya. Ada sesuatu yang boleh kita pelajari. Mungkin penilaian semula strategi kita dalam menyubsidi dan mengekalkan harga pam yang rendah yang tidak mendorong pengguna untuk merenung tabiat penggunaan bahan api mereka. Itu mendatangkan kos yang besar kepada negara dan boleh menjejaskan keupayaannya untuk membiayai keperluan lain.
Jadi, jawapan kepada persoalan falsafah di permulaan tadi adalah, tidak. Kita tidak seharusnya “melonggarkan brek tangan” (bersikap leka) dalam menguruskan penggunaan bahan api kita. Tambahan pula, konflik ini mempunyai kesan ekonomi global yang luas yang menurut pakar, ia baru sahaja bermula. – 22 April, 2026
Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop.my

