HEADLINES

Petronas tingkatkan jaminan keselamatan tenaga menerusi pengambilalihan pegangan Aramco – Zainul Arifin

Cadangan pengambilalihan pegangan Aramco dalam PRefChem oleh Petronas bukan sekadar langkah penstrukturan semula korporat — ia merupakan langkah strategik yang memperkukuh jaminan keselamatan tenaga Malaysia, sekali gus memberikan syarikat minyak nasional itu kawalan lebih besar terhadap bekalan bahan api, hasil penapisan, dan tindak balas krisis ketika ketidaktentuan geopolitik global semakin meningkat

2:44 PM MYT

 

DUA perkara jelas kelihatan susulan cadangan Petronas untuk mengambil alih pegangan Aramco dalam usaha sama penapisan dan petrokimia di Pengerang, Johor – pertama, ia akan mempunyai kawalan mutlak terhadap produk yang dihasilkan oleh kemudahan tersebut, dan kedua, ia akan terus menerima bekalan minyak mentah yang diperlukan daripada syarikat Arab Saudi itu biarpun kedua-duanya tidak lagi bergelar rakan kongsi.

Kedua-dua faktor ini amat penting dalam memastikan jaminan keselamatan tenaga negara, terutamanya pada waktu kebolehpercayaan bekalan bahan api global sering kali berdepan cabaran.

Faktor ketiga, sudah tentu, keupayaan untuk mengambil alih pegangan Aramco ini juga menjadi bukti kepada kekuatan kewangan Petronas serta kelincahannya untuk beralih arah dengan pantas ke strategi perniagaan baharu apabila peluang keemasan itu muncul.

Isnin lalu, Petronas mengumumkan pengambilalihan pegangan Aramco dalam Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd, yang secara kolektif dikenali sebagai PRefChem, iaitu aset paling bernilai di Kompleks Bersepadu Pengerang bernilai AS$27 bilion.
Laporan terdahulu membayangkan bahawa pegangan Aramco itu dinilai pada kadar AS$7 bilion (RM27.8 bilion).

PRefChem merupakan sebuah syarikat usaha sama berpegangan 50:50 antara kedua-dua syarikat minyak nasional berkenaan, yang terlibat dalam aktiviti penapisan dan perengkahan (cracking) minyak mentah, serta pengeluaran produk petrokimia.

Sebelum ini, Petronas dan Aramco berkongsi hak untuk membeli dan mengedar produk petroleum serta petrokimia yang ditapis secara samarata. Namun, sebaik sahaja cadangan pengambilalihan ini selesai, kesemuanya akan berada di bawah kawalan penuh syarikat minyak nasional itu.

Serangan terbaharu oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran telah mengakibatkan gangguan kepada industri dan infrastruktur minyak dan gas di Asia Barat. Ia turut menyebabkan penutupan Selat Hormuz, yang menjejaskan bekalan global dan seterusnya melonjakkan harga komoditi tersebut di seluruh dunia.

Rantai bekalan minyak mentah Malaysia turut terkesan akibat krisis ini. Sejak serangan tersebut berlaku, syarikat minyak nasional telah bekerja keras bagi memastikan stesen-stesen minyak kita terus membekalkan petrol dan diesel, dapur rumah kita terus mempunyai tong gas LPG, dan pesawat kita mempunyai bahan api untuk terbang.

Selain digalaskan dengan tanggungjawab membangunkan sumber minyak dan gas negara, Petronas juga dimandatkan untuk menjaga kepentingan tenaga Malaysia. Tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan amat baik, di mana syarikat itu secara progresif melanjutkan jaminan bekalan bahan api; bermula sehingga akhir Mei pada fasa awal peperangan, kemudian dilanjutkan ke Jun, dan kini dilanjutkan lagi sehingga akhir Julai.

Kita sebenarnya agak bertuah kerana tidak begitu merasai cabaran bekalan bahan api yang dihadapi oleh negara lain, dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa hasil usaha gigih Petronas serta pihak kerajaan. Inilah maksud sebenar jaminan keselamatan tenaga.

Di bawah usaha sama sebelum ini, Aramco bertanggungjawab membekalkan antara 50 peratus hingga 70 peratus bahan mentah (feedstock) yang diperlukan untuk kompleks penapisan berkenaan, dan komitmen ini akan tetap kekal walaupun selepas PRefChem menjadi milik penuh Petronas. – Gambar Aramco, 27 Mei, 2026

Malah, ketersediaan tenaga yang konsisten dan berpatutan mempunyai hubungan langsung dengan kadar inflasi, kemampuan sara hidup, serta kualiti hidup kita.

Dengan mengambil alih kawalan penuh PRefChem, Petronas akan mempunyai kuasa mutlak terhadap hasil penapisan dan pengeluaran petroleum, tanpa perlu lagi terikat dengan peruntukan kuota seperti dalam perjanjian perkongsian sekiranya Aramco masih ada bersama.

Sebagai contoh, separuh daripada bekalan petrol Euro 5, diesel, dan bahan api Jet A1 yang dihasilkan oleh penapis berkapasiti 300,000 tong sehari itu secara teknikalnya telah diperuntukkan kepada Aramco. Bagaimanapun, sebaik sahaja PRefChem menjadi syarikat milik penuhnya, Petronas mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju keseluruhan hasil pengeluaran tersebut.

Pemilikan penuh pada saat ini akan menghapuskan potensi halangan, termasuk perbezaan keutamaan antara kedua-dua gergasi minyak ini. Jika Petronas mahu keseluruhan produk PRefChem digunakan untuk pasaran domestik, ia kini boleh berbuat demikian tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada rakan kongsi.

Sekiranya berlaku gangguan geopolitik global atau krisis rantaian bekalan, sebagai contoh, Petronas boleh mengalihkan 100 peratus output PRefChem secara serta-merta terus ke dalam pasaran domestik. Langkah ini akan melindungi pengguna, industri, dan sektor perdagangan Malaysia daripada isu gangguan bekalan, tanpa perlu melalui proses kelulusan ahli lembaga pengarah yang mungkin mempunyai kepentingan berbeza. Apa yang perlu dipertimbangkan hanyalah kepentingan negara.

Ia juga penting bagi Petronas untuk memastikan bekalan minyak mentah untuk kilang penapisan itu kekal dilindungi walaupun selepas PRefChem diswastakan (di bawah milikan tunggal). Di bawah usaha sama sebelum ini, Aramco bertanggungjawab membekalkan antara 50 peratus hingga 70 peratus bahan mentah (feedstock) yang diperlukan untuk kompleks penapisan berkenaan, dan komitmen ini akan tetap kekal walaupun selepas PRefChem menjadi milik penuh Petronas.

Difahamkan bahawa pengunduran Aramco adalah lebih berkait rapat dengan pelan masa hadapan mereka sendiri, dan bukannya disebabkan oleh isu pelaburan atau persekitaran perniagaan di sini. Pelan pelupusan saham ini dilakukan secara tertib, harmoni, dan pragmatik, bukannya disebabkan oleh sebarang keretakan dalam hubungan kedua-dua pihak. Arab Saudi khususnya sedang membayar harga yang tinggi akibat ketidakstabilan serantau, dan wujud keperluan jelas untuk mereka menyusun semula strategi perniagaan mereka.

Ia merupakan satu langkah ‘perpisahan yang pragmatik’ (pragmatic de-coupling) – Aramco mencairkan pelaburannya untuk membiayai matlamat ekonomi baharu mereka, manakala Petronas pula memperolehi 100 peratus kedaulatan ke atas jaminan keselamatan tenaga domestik negara. – 29 Mei, 2026

Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop.my

Topics

 

Popular

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related