HEADLINES

Krisis pelarian Malaysia: Michelle Yesudas kecam sikap pilih bulu, pengusiran dan peluk tubuh ahli politik

Peguam hak asasi manusia gesa perubahan dalam layanan Malaysia terhadap pelarian, dakwa kerajaan tidak konsisten dan mengabaikan mereka

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pendekatan Malaysia terhadap pelarian telah dicap sebagai pilih bulu, sekali gus mendedahkan sikap berat sebelah masyarakat dan pengabaian institusi, demikian menurut Peguam dan Aktivis Hak Asasi Manusia, Michelle Yesudas.

Bercakap ketika podcast Scoop Insight – kendalian wartawan Scoop, Sandru Narayanan dan Penolong Pengarang Berita, Maya Zaharudin – Michelle menggariskan ketidakselarasan dalam layanan Malaysia terhadap pelarian, yang sering berbeza berdasarkan kaum, agama, dan pertimbangan geopolitik.

“Kita menyayangi orang Bosnia. Kita mengambil berat tentang orang Palestin. Tetapi apabila melibatkan Rohingya atau orang dari Myanmar, ada penolakan sepenuhnya,” katanya.

“Sikapnya seperti: ‘Kenapa awak masih di sini? Baliklah.’ Tiada siapa pun yang bertanya mengapa mereka datang ke sini pada mulanya.”

Beliau turut mengkritik pandangan masyarakat umum terhadap pelarian seringkali sehaluan dengan tindakan ahli politik yang tidak berbuat apa-apa. Ini mengakibatkan pelarian semakin dipandang serong dan dilayan seperti bukan manusia dalam perbincangan awam.

“Ada satu persepsi bahawa pelarian adalah penjenayah atau beban kepada negara. Tetapi hakikatnya, mereka berada di sini kerana kita telah membiarkan sistem yang tidak mempunyai tadbir urus migrasi yang betul berterusan.”

Keengganan Malaysia untuk menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 menyebabkan pelarian tidak mempunyai status undang-undang, secara efektif menafikan akses mereka terhadap pendidikan formal, penjagaan kesihatan, dan pekerjaan yang sah. Ramai yang hidup dalam ketakutan bimbang ditangkap, dieksploitasi dan ditahan.

Michelle menonjolkan perbezaan yang ketara dalam layanan terhadap pelarian dari pelbagai latar belakang. Walaupun pelarian Afghanistan kadangkala diterima, komuniti Rohingya terus berdepan diskriminasi dan didesak untuk dihantar pulang.

(Dari kiri) Wartawan Scoop, Sandru Narayanan, Penolong Pengarang Berita, Maya Zaharudin, dan Peguam Hak Asasi Manusia, Michelle Yesudas, di podcast Scoop Insight, membincangkan krisis pelarian Malaysia dan perlunya lebih banyak empati serta kebertanggungjawaban politik. – 10 Ogos 2025

“Kita sangat tidak konsisten. Sekejap kita ingin menunjukkan belas kasihan. Sekejap lagi, kita menolak bot kembali ke laut,” katanya. “Dan apa yang lebih teruk adalah kita menggunakan agama untuk membenarkan empati kita — dan bukannya berdasarkan prinsip kemanusiaan sejagat.”

Michelle turut mengutuk kegagalan kerajaan dalam menyediakan sokongan yang mencukupi kepada pelarian, sambil menunjukkan bahawa tanggungjawab tersebut telah dialihkan kepada masyarakat sivil dan agensi antarabangsa.

“Tanggungjawab ini terletak di bahu UNHCR, kumpulan penerajui hal ehwal pelarian, dan dapur komuniti. Bukannya kerajaan. Kita telah mengabaikan tanggungjawab, dan kemudian kita berpura-pura terkejut apabila keadaan menjadi bertambah buruk.”

Tambahnya, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari pengabaian institusi ini, perbincangan di peringkat kebangsaan tentang isu pelarian selalunya tidak mendalam atau tidak serius.

Sebaliknya, ia dipengaruhi atau didorong oleh sentimen menakut-nakutkan atau menyebarkan kebimbangan yang tidak berasas kepada orang awam.

“Seluruh retorik politik kita adalah mengenai siapa yang berhak dan siapa yang tidak. Dan pelarian? Mereka tidak berhak — jadi mereka dibiarkan begitu sahaja.”

Michelle menyeru agar rakyat Malaysia dan pemimpin negara mengubah sikap mereka secara menyeluruh terhadap pelarian. Beliau mahu mereka tidak hanya menunjukkan simpati secara luaran, tetapi sebaliknya mengamalkan tindakan yang lebih berterusan, adil, dan berperikemanusiaan.

“Jika kita ingin bercakap tentang solidariti, ia tidak boleh hanya untuk rakyat Palestin atau Bosnia. Ia harus untuk semua — termasuk mereka yang kita pilih untuk abaikan.” – 10 Ogos 2025

Topics

 

Popular

RM1.3bil raised, but MEX II left incomplete with only RM30mil in the bank

With construction stalled, government mulls takeover as MACC probes RM416 million in alleged false claims 

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Related