HEADLINES

Pelantikan ejen kutipan zakat perlu diseragam ‘kita tidak mahu terma asnaf disalahguna buat duit’: MCW

'Kita tidak mahu pengutip zakat menyalahguna terma asnaf, sabil dan lain-lain akibat ketamakan dan jika berlaku pecah amanah, ia adalah sesuatu yang sangat serius serta memerlukan perhatian,' kata Jais

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan supaya pelantikan amil atau ejen kutipan zakat diseragamkan di setiap jabatan agama negeri-negeri bagi memudahkan pemantauan ke atas pungutan zakat.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kutipan zakat adalah di bawah bidang kuasa setiap kerajaan negeri dan mereka mempunyai prosedur yang berbeza.

“Kita nak pantau amil ini tetapi kita tidak mempunyai satu sistem yang betul-betul untuk pantau kutipan zakat.

“Mereka ini diberikan upah untuk mengutip zakat dan ia adalah berkaitan dengan soal amanah.

“Kita tidak mahu pengutip zakat menyalahguna terma asnaf, sabil dan lain-lain akibat ketamakan dan jika berlaku pecah amanah, ia adalah sesuatu yang sangat serius serta memerlukan perhatian,’’ katanya ketika menjadi tetamu dalam program Podcast Scoop Insight baru-baru ini.

Podcast bertajuk ‘RM230 juta: Amanah atau Khianat’ itu akan diterbitkan esok.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kes penyelewengan dana RM230 juta melibatkan sumbangan yang diberikan pelbagai pihak dan sumber kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dari kiri Habibah Omar, Suzan Ahmad dan tetamu Podcast Scoop Insight, Jais Abdul Karim yang membincangkan mengenai isu penyelewengan dana sumbangan oleh NGO. – Gambar Scoop, 17 Mei, 2026

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebahagian sumbangan yang diseleweng itu juga termasuk kutipan yang seharusnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri.

Jais dalam pada itu berkata, institusi zakat juga perlu mempunyai papan pemuka masa nyata (real-time dashboard) bagi membolehkan penyumbang zakat melihat berapa banyak kutipan dibuat.

“Ia adalah tapisan pertama, yang bila orang tengok sistem itu, tak berani untuk melakukannya (seleweng), takut ditangkap.

“Tetapi jika orang tengok ada ruang untuk manipulasi, ada ketirisan sudah pasti akan berlaku penyelewengan,’’ katanya.

Yang terakhir, katanya adalah melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah jika berlaku penyelewengan atau melanggar sistem dengan laporan dibuat kepada pihak berkenaan jika melibatkan pecah amanah.

“Kalau kita sayang individu tersebut, kita kena laporkan dia. Itu yang kita kena ada berlapis-lapis (tapisan) ini dan bagi penyumbang zakat pula mereka berhak mendapatkan laporan yang cukup jelas tentang kutipan itu.

“Ejen-ejen atau amil ini pula tidak seharusnya dibiarkan menjadi broker agama, mereka hanya pemudah cara dan bukan pemilik dana tersebut,” tegasnya.

Jais turut memuji bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang agresif dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan institusi agama di negara ini bersih.

“Benda ini berlaku 30 tahun lepas. Bukan baru berlaku. Inilah hasilkan (penguatkuasaan agreseif) maka terkeluarlah sisa-sisa benda-benda yang tidak elok ini dan kita perlu ambil pengajaran serta pastikan ia tidak berlaku lagi,’’ katanya. – 17 Mei, 2026

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related