HEADLINES

Bekas orang kuat DAP, Ronnie Liu kembali ke pentas politik

Veteran politik itu menegaskan keperluan kepada platform yang tidak berasaskan kaum dan lebih inklusif. Butiran lanjut akan diumumkan pada Julai ini

8:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Veteran politik, Ronnie Liu, mengesahkan hasratnya untuk kembali aktif dalam dunia politik namun menerusi parti lamanya DAP sebaliknya sebuah platform baharu yang menurutnya akan membawa konsep ‘politik baharu tidak berasaskan kaum’.

Bercakap dalam podcast Scoop Insight, Liu berkata desakan berterusan daripada rakan-rakan dan penyokongnya, serta rasa kecewa terhadap cara kerajaan Selangor mengendalikan isu seperti larangan penternakan babi, mendorong beliau untuk kembali ke pentas politik.

“Saya pada mulanya enggan kembali kepada politik kepartian selepas meletakkan jawatan, tetapi ramai yang terus meminta saya bersuara. Selepas tiga setengah tahun, saya fikir Pakatan Harapan gagal memenuhi harapan rakyat,” kata Liu kepada hos Scoop Insight, pengarang berita Azim Idris. Turut serta dalam podcast itu ialah Ketua Pengarang, Terence Fernandez.

“Mereka (PH) tidak mampu melakukannya dan gagal menunaikan manifesto. Banyak reformasi yang dijanjikan tidak dilaksanakan.

“Mereka mengekalkan undang-undang yang bersifat drakonian, gagal melaksanakan reformasi yang dijanjikan, dan memperkenalkan cukai baharu yang tidak perlu. Dasar seperti larangan penternakan babi dan sekatan terhadap rumah ibadat di Selangor adalah tidak baik.

“Secara umumnya, rakyat tidak begitu berpuas hati dengan kerajaan. Jadi saya bukan seorang sahaja yang merasakan perkara ini,’’ katanya.

Podcast penuh itu akan disiarkan melalui platform Podaboom pada Ahad ini.

Kerjaya politik Liu menjangkau lebih empat dekad, dengan beliau dikenali sebagai tokoh kanan DAP serta pemimpin akar umbi yang lantang di Selangor.

Beliau mula memasuki Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 2008 sebagai wakil kawasan Pandamaran.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan di bawah pentadbiran Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

Liu kembali ke DUN Selangor pada tahun 2018 sebagai wakil Sungai Pelek sebelum meletakkan jawatan daripada DAP pada tahun 2023 berikutan perbezaan pendapat dengan kepimpinan parti.

Ronnie Liu oernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan di bawah pentadbiran Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim. – Gambar Scoop, 6 Jun, 2026

Dikenali dengan gaya lantang dan terus terang, beliau sering memperjuangkan isu tadbir urus, kebebasan beragama dan kebajikan petani, selain terlibat dalam beberapa kontroversi — yang terbaru berkaitan larangan penternakan babi di Selangor yang membawa kepada teguran pihak istana.

Kenyataan Liu dibuat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengarahkan supaya aktiviti penternakan babi di Selangor dihentikan sepenuhnya, melibatkan penutupan 114 ladang ternakan.

Liu mempersoalkan sama ada kaedah penternakan moden secara sistem tertutup telah diberikan peluang yang adil.

Beliau kemudian ditegur oleh pihak istana dan diarahkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk melawat Monumen Rukun Negara di Shah Alam bagi menghayati lima prinsip Rukun Negara.

Insiden itu menjadi titik perubahan dalam perjalanan politik beliau. 

Daripada persaraan kepada “Second Strike”

Liu berkata beliau pada mulanya bersara daripada politik kepartian tetapi terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan.

Pada Disember tahun lalu, beliau mula mendokumentasikan pemikirannya dalam sebuah buku bertajuk Second Strike, yang menandakan hasratnya untuk kembali aktif dalam politik.

“Saya telah membuat keputusan untuk kembali. Saya sedang mencari platform baharu — bukan sebarang platform, tetapi yang membawa tenaga positif, politik tidak berasaskan kaum, dan mengucapkan selamat tinggal kepada parti-parti lama yang sudah ketinggalan zaman,” katanya.

Walaupun terdapat spekulasi yang mengaitkannya dengan Bersama atau Warisan, Liu menegaskan beliau masih sedang membentuk naratif politik yang sesuai sebelum mengumumkan platform rasmi.

“Ia mestilah platform yang saya selesa dengan prinsipnya. Mereka perlu bersetuju dengan saya, bukan saya yang perlu bersetuju dengan mereka.”

Liu menjelaskan visinya mengenai “politik tanpa kaum”, dengan menegaskan bahawa Malaysia perlu bergerak melangkaui konsep politik pelbagai kaum yang masih menilai dasar berdasarkan pertimbangan etnik.

“Politik pelbagai kaum tidak akan berjaya. Ia mesti menjadi politik tanpa kaum. Dasar-dasar tidak seharusnya dilihat dari sudut Melayu, Cina atau India. Generasi Z dan pengundi muda sudah pun berfikir seperti ini,” katanya.

Visi politik tanpa kaum

Beliau turut mengkritik pelaksanaan Undi18 dengan mendakwa golongan muda Malaysia kurang mendapat pendidikan politik berbanding rakan sebaya mereka di negara-negara Scandinavia.

“Anda benarkan mereka mengundi pada usia 18 tahun, tetapi mereka tidak tahu apa-apa tentang politik. Sebab itu kesannya tidak begitu positif kepada Malaysia,” katanya sambil merujuk kepada sokongan ramai pengundi muda di Tambun terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Perikatan Nasional berbanding Anwar.

Liu turut mencadangkan pendekatan baharu dalam penyediaan manifesto politik dengan melibatkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang — termasuk kumpulan belia, Majlis Peguam dan pemain industri — untuk bersama-sama merangka dasar negara.

“Ia bukan datang daripada parti saya semata-mata. Saya akan mengajak semua pihak memberi pandangan, kemudian sebuah jawatankuasa akan merangka dokumen tersebut, dan rakyat Malaysia akan menilainya. Akhirnya, platform kami akan menerima pakai manifesto itu,” jelas beliau.

Kembalinya Liu ke arena politik berpotensi mengubah landskap politik Selangor, khususnya ketika perdebatan mengenai pertanian, kebebasan beragama dan pengundian golongan muda semakin hangat.

Kritikan beliau terhadap Pakatan Harapan menunjukkan wujudnya jurang yang semakin melebar antara harapan reformasi dan prestasi penyampaian kerajaan. Walaupun beliau masih menyokong Anwar secara peribadi, penegasan Liu mengenai keperluan sebuah platform baharu mencerminkan keyakinannya bahawa Malaysia memerlukan tenaga politik yang segar.

Seperti yang disindir oleh Terence Fernandez dalam wawancara tersebut, Liu mungkin dianggap sebagai “Rafizi versi Cina”. Namun Liu menolak label itu dan menegaskan bahawa perjuangannya bukan berasaskan etnik, sebaliknya bersifat inklusif.

“Kami akan bercakap tentang politik baharu. Politik tanpa kaum. Inklusif. Dan bukan pemikiran lama yang sama,” katanya. – 6 Jun, 2026.

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related