KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, membidas kritikan yang menyifatkan usaha kebajikan yang dilakukannya dan dipaparkan kepada umum sebagai “eksploitasi kemiskinan” (poverty porn).
Sebaliknya, kata Sim, perkongsian kisah rakyat Malaysia yang berdepan kesusahan dapat menyemai rasa belas kasihan serta menggalakkan orang lain untuk turut membantu.
Tegas Sim, beliau berdepan kritikan berulang kali berhubung pendekatannya dalam membantu keluarga dan individu yang memerlukan, namun menegaskan niatnya itu bukan untuk mengeksploitasi kesusahan mereka demi meraih keuntungan politik.
Bercakap dalam episod terkini podcast Trick Lama terbitan Big Boom Media Group, Sim menjelaskan beliau mahu memanfaatkan platform yang ada bagi membuktikan rakyat biasa juga mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan orang lain.
Podcast berkenaan dikendalikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media Group Datuk Zainul Arifin, Ketua Pengarang Kumpulan Terence Fernandez, dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Datuk Ahiruddin Attan (Rocky Bru).
“Saya mahu menunjukkan bahawa kita semua, bukan hanya Ahli Parlimen, tetapi rakyat Malaysia, boleh melakukan sesuatu untuk membantu sesama rakyat.
“Pertama, saya mahu menunjukkan masih ada rasa belas kasihan dalam dunia dan masyarakat kita. Masih ada harapan.
“Kedua, saya mahu memberi semangat kepada mereka yang sedang menghadapi kesusahan supaya jangan bimbang, jangan berputus asa. Ada orang di sekeliling anda.”
“Dan yang ketiga, saya juga mahu menggalakkan dan mendorong orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Jadi, pada saya, inilah yang ingin saya sampaikan melalui kisah saya.
“Saya mahu mengetengahkan sesuatu yang positif. Kerana apabila anda membuka media sosial hari ini, apa yang dipaparkan ialah kemarahan, sikap sinis, pesimisme, rasa putus asa — segala kandungan yang sengaja mencetuskan kemarahan,” katanya.

Sim berkata beliau sedia maklum dengan dakwaan yang menyifatkan video serta hantaran media sosialnya mengenai kes kebajikan sebagai ‘sandiwara’ atau ‘eksploitasi kemiskinan’ (poverty porn).
Namun, Sim menegaskan beliau lebih rela melihat ramai orang menonjolkan nilai ihsan secara terbuka daripada membiarkan sikap sinis membendung amalan murni itu.
“Saya boleh tegaskan, pasti ada yang akan kata, ‘semua ini sekadar drama. buat sekali, itu drama; buat seratus kali pun, tetap dianggap drama.’
“Tetapi walaupun ia sekadar drama, saya berharap lebih ramai orang di dunia ini akan terus berbuat demikian jika ia bermakna kita dapat membantu orang lain dan menunjukkan rasa ihsan.
“Hasil akhirnya mengatasi segala pertikaian (the end justifies the means),” katanya.
Sim menambah, pihak yang mempertikaikan niat di sebalik usaha itu sepatutnya mempertimbangkan impak positif dalam menggalakkan masyarakat saling membantu antara satu sama lain.
“Walaupun anda menuduh saya bersandiwara, saya katakan, teruskan.
“Mari kita semua bersandiwara untuk menjadi rakyat Malaysia yang baik. Mari kita semua bersandiwara untuk saling menyayangi. Mari kita semua bersandiwara untuk menunjukkan nilai ihsan.”
“Ayuh kita lakukannya.”
Sim menegaskan bahawa amalan berbuat baik yang dilakukan secara berterusan — tanpa menghiraukan pandangan sinis para pengkritik — akhirnya mampu membawa perubahan bermakna dalam masyarakat.
“Jika semua orang ‘bersandiwara’ seperti ini setiap hari dalam hidup kita, percayalah, ia pasti akan membawa perbezaan (move the needle). Sesuatu dalam masyarakat kita akan berubah,” tambahnya.
Beliau turut menambah bahawa kritikan terhadap usaha kebajikan mencerminkan cabaran lebih besar yang dihadapi oleh ahli politik, di mana mereka sering dituntut untuk merangka reformasi dasar jangka panjang namun pada masa sama perlu menangani keperluan mendesak rakyat dengan kadar segera.
Kedua-dua pendekatan berkenaan, katanya, adalah penting dan perlu berjalan seiringan.
“Terdapat juga kritikan lain yang menyuarakan, ‘Anda seorang ahli politik. Malah sewaktu anda menjadi pembangkang dahulu, mengapa perlu mengendalikan kes-kes kebajikan begini? Anda sepatutnya gubal dasar. Anda sepatutnya ubah sistem.’
“Saya setuju. Saya sangat setuju. Namun insan yang kelaparan atau gelandangan yang tiada tempat berteduh tidak boleh menunggu,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu mengimbas pengalaman menemui sebuah keluarga yang terdiri daripada lima atau enam ahli, termasuk bayi, yang terpaksa tinggal di dalam sebuah kereta.
Beliau menegaskan ahli politik tidak boleh hanya menunggu proses penggubalan dasar yang memakan masa sebelum menghulurkan bantuan segera kepada rakyat yang dihimpit kesusahan.
“Adakah kita perlu menunggu jawatankuasa bersidang? Adakah kita perlu menunggu undang-undang diluluskan di Parlimen?
“Bolehkah golongan ini menunggu semua proses ini selesai, dan setelah undang-undang dilaksanakan, barulah mereka mendapat bantuan? Jawapannya tidak,” katanya.
“Orang yang sedang kelaparan memerlukan bantuan serta-merta.”
Peranan beliau sebagai wakil rakyat, katanya, memberikannya tahap keterlihatan (visibility) awam yang tinggi, yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu orang lain dan bukannya digunakan semata-mata demi kepentingan politik.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen, keterlihatan (visibility) saya sangat tinggi. Jadi, untuk apa saya gunakan keterlihatan itu? Adakah sekadar untuk meraih undi semata-mata? Atau sekadar bersembang mengenai nilai-nilai hebat saya yang mungkin tidak memberi sebarang impak kepada gelandangan tersebut?
“Tidak. Saya mahu keterlihatan saya memberi tempat berteduh kepada insan berkenaan, biarpun secara sementara, demi mengubah hidupnya.”
Pada masa sama, Sim menegaskan bantuan kebajikan serta-merta perlu seiring dengan reformasi jangka panjang bagi menangani punca sebenar kesusahan masyarakat.
“Anda perlu selamatkan rumah yang sedang terbakar terlebih dahulu sebelum memastikan pili bomba beroperasi dengan baik.
“Orang yang sedang kelaparan memerlukan bantuan serta-merta,” katanya. — 28 Ogos 2026

