Pencipta kandungan perlu merancang lima tahun ke depan untuk sentiasa ‘up-to-date’: Khairul Aming

Seorang pencipta kandungan tidak akan dapat lari dari aspek penjenamaan dan pemasaran. Kita perlu sentiasa buat persediaan awal’: Khairul

5:41 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — “Pencipta kandungan bukan hanya setakat buat video dan ikut trend semata-mata sebaliknya kita harus berfikir dan merancang bentuk kandungan kita untuk lima hingga enam tahun ke depan,’’ kata Khairul Aming.

Beliau berkata demikian bagi menjawab mengenai kaedah yang digunakan bagi memastikan kandungan masakannya di media sosial sentiasa up-to-date.

“Macam saya sendiri, saya perbanyakkan kajian, banyak belajar tengok video luar negara dan belajar mengenai pergerakan seterusnya dalam industri pemasaran digital serta bisnes secara keseluruhan.

“Sebab seorang pencipta kandungan sebenarnya tidak akan dapat lari daripada aspek penjenamaan dan pemasaran. Jadi, kita pun kena sentiasa buat persediaan dan bersedia awal-awal. Jangan tunggu trend dah nak habis baru nak kejar. Kita kena buat stail kita sendiri,” katanya.

Khairul atau nama sebenar, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, yang baru sahaja dinobatkan sebagai Creator Of The Year, TikTok Awards Malaysia 2023 ini juga mengakui dia sering didatangi pencipta kandungan muda yang meminta tip daripadanya.

“Bukan setakat minta tip buat konten, yang datang minta tip untuk jual sambal pun ada. Saya sendiri ada membuat beberapa perkongsian coffee talk.

“Sebelum ini, kita memang buat dengan pencipta kandungan tetapi sekarang ini kita cuba pula melakukan perkongsian dengan peniaga-peniaga kecil.

“Melalui gabungan ini, kita tidak hanya berkongsi ilmu buat konten semata-mata tetapi berkongsi ilmu berniaga,” katanya lagi.

Khairul Aming berharap lebih banyak pencipta kandungan boleh tampil ke hadapan dan berkongsi ilmu untuk bantu masyarakat – Gambar Scoop, 29 Ogos, 2023

Menyentuh mengenai ucapannya yang penuh inspirasi dan meminta supaya pencipta kandungan muda menghabiskan pengajian sebelum menceburkan diri dalam bidang tersebut, Khairul berkata, dia juga mempunyai ramai pengikut dalam kalangan ibu-ibu.

“Mereka mesej saya meminta saya memberikan nasihat kepada anak-anak yang masih bersekolah tetapi enggan menyambung pelajaran disebabkan mereka merasakan sudah memadai menjadi pencipta kandungan.

“Mereka buat ulasan berbayar, dapat duit dan rasa sudah boleh berjaya sampai tua. Mereka tak salah sebetulnya, cuma saya bimbang mereka tidak nampak realiti dunia pencipta kandungan yang sebenar.

“Jika hendak bertahan lama dalam industri ini, anda perlu bekerja keras, kena belajar kemahiran pembawaan diri, perlu mengasah cara berkomunikasi dan sebagainya.

“Perkara itu adalah penting kerana kita tidak mahu melahirkan generasi pencipta kandungan muda yang hanya mampu membuat konten merapu semata-mata meraih tontonan.

“Apatah lagi, perkara itu bukan mendatangkan kebaikan tapi lebih membawa keburukan buat masyarakat kita secara amnya.

“Jadi saya harap, banyak lagi pencipta kandungan yang boleh tampil ke hadapan dan boleh kongsi ilmu untuk bantu masyarakat kita,” katanya.

Pada malam kemuncak TikTok Awards Malaysia 2023, Khairul berjaya menewaskan lima pencabar lain iaitu Boss James yang mengendalikan akaun TikTok @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).

TikTok Awards Malaysia 2023 dipancarkan secara langsung oleh TV3 dan akaun TikTok Malaysia dari Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dianjurkan platform TikTok, ia merupakan acara anugerah terbesar yang diwujudkan untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan hebat yang merangkumi pelbagai topik, latar belakang dan bidang. – 29 Ogos, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related