Sudirman bakal ‘muncul’, penonton dihiburkan dengan lagu popular penyanyi itu dalam konsert tribute

Konsert akan berlangsung pada 16 September itu, turut membabitkan empat penyanyi hebat negara

6:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) meneruskan keraian ulang tahun ke-25 pada tahun ini dengan penganjuran konsert penghargaan untuk penghibur kesayangan tanah air, Datuk Sudirman Arshad pada 16 September ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Konsert pada jam 8.30 malam itu dianjurkan sebagai penghormatan kepada Sudirman yang mula menempa nama dalam industri hiburan selepas dinobat juara Bintang RTM 1976.

Anak kelahiran Pahang itu kemudian berjaya meletakkan dirinya sebagai antara penghibur terkemuka dan dihormati di negara ini.

Buktinya, konsert terbuka beliau di Jalan Chow Kit pada tahun 1986 menjadi konsert paling berjaya di Malaysia, apabila menyaksikan kehadiran 100,000 orang.

Diberi jolokan ‘The Singing Lawyer’, kejayaan terbesar beliau adalah pada tahun 1989 apabila dinobatkan sebagai juara di Salem Asia Music Award di Royal Albert Hall, London.

Lebih menarik, pada malam konsert itu, Sudirman akan ‘hadir’ di atas pentas menerusi pancaran hologram yang buat pertama kalinya dilakukan di dewan berprestij berkenaan – Gambar ihsan DFP, 11 September, 2023

Sudirman bukan sahaja terkenal menerusi muziknya yang melangkau genre, bangsa dan umur, malah kemampuannya menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa, seperti Melayu, Inggeris, Mandarin serta Tamil, sekali gus menonjolkan lagi versatiliti beliau sebagai penghibur.

Bagi konsert itu, empat penyanyi dipilih untuk menjayakannya, iaitu Liza Aziz yang juga bekas penyanyi latar Sudirman, Hazama, Ernie Zakri dan Arish Mikael.

Pada konsert itu, bakat seni mereka yang bakal digabungkan dengan alunan muzik indah MPO, semestinya menjanjikan pengalaman tidak dapat dilupakan.

Lebih menarik, pada malam konsert itu, Sudirman akan ‘hadir’ di atas pentas menerusi pancaran hologram yang buat pertama kalinya dilakukan di dewan berprestij berkenaan.

Antara lagu bakal dipersembahkan adalah tradisional (Joget Kenangan Manis dan Apa Khabar Orang Kampung), balada (Merisik Khabar, Pelangi Petang dan Hujan), ‘Broadway’ (Big Spender dan Memories), lagu rakyat (Punch Card dan Basikal Tua) serta lagu patriotik seperti 31 Ogos dan Warisan sempena Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Menurut pengarah muzik konsert itu, Ahmad Muriz Che Rose, ia adalah pertama kali MPO mahu meraikan Hari Malaysia dan Sudirman menjadi ‘kandungan’ paling sesuai dengan tema dipilih.

“Sudirman adalah seorang daripada tokoh patriot yang kami mahu ketengahkan kali ini. Lagu beliau banyak menyentuh mengenai muhibah. Banyak lagu menceritakan mengenai masyarakat sebab itulah beliau begitu dekat dengan rakyat,” katanya.

Hazama (kiri) berkata, peluang diterimanya untuk turut sama terbabit dalam konsert itu tidak mungkin dilepaskannya – Gambar ihsan DFP, 11 September, 2023

Sementara itu, Hazama berkata, peluang diterimanya untuk turut sama terbabit dalam konsert itu tidak mungkin dilepaskannya.

“Ini adalah kali kedua saya akan membuat persembahan di DFP. Saya rasa sangat berbesar hati kerana bukan senang nak buat persembahan sambil diiringi pemuzik MPO.

“Sebagai penyanyi, konsert sempena Hari Malaysia ini antara sumbangan boleh diberikan kepada masyarakat mewakili penyanyi. Tambahan pula, Sudirman ikon paling dekat dengan masyarakat. Saya rasa bertuah dapat turut sama menjayakan konsert ini,” kongsinya.

Bagi pendatang baru, Arish Mikhael, 20, dia tidak pernah terbayang sama sekali akan beraksi di dewan berprestij seperti DFP kerana sebelum ini, dia hanya penyanyi jalanan.

“Saya sangat teruja dan berbesar hati dipilih pihak MPO untuk turut sama menjayakan konsert ini. Sudah tentu saya sangat gementar tambahan digandingkan dengan tiga penyanyi hebat,” katanya.

Mereka yang ingin membeli tiket untuk menonton konsert ini, boleh melayari laman sesawang www.mpo.com.my atau di kaunter ‘box office’.

Harga tiket bermula dari RM288, RM338, RM488, RM558, RM618 dan RM688, selain anda perlu menambah RM200 bagi setiap kategori jika mahu ke sesi ‘meet and greet’. – 11 September, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related