Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia

Isteri Badrul cuba mengejutnya dari tidur, tetapi sebenarnya dia sudah meninggal dunia

Rakan artisnya, Anne Abdullah memberitahu, Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur - Gambar Facebook, 28 Oktober, 2023

Oleh : Helmi Anuar

KUALA LUMPUR — Pelakon Badrul Muhayat, 55, telah meninggal dunia di sebuah inap desa di Pulau Pinang hari ini.

Berita mengenai kematiannya telah dikongsikan oleh rakan artis Anne Abdullah di akaun Facebook.

Menerusi perkongsian mesej suara daripada Anne, dia memberitahu bahawa Badrul meninggal dunia di dalam tidur.

Difahamkan, Badrul berada di Pulau Pinang atas urusan kerja – Tangkapan layar Facebook Anne Abdullah, 28 Oktober, 2023

“Assalamualaikum. Saya nak beritahu bahawa Badrul Muhayat telah meninggal dunia. Isterinya cuba kejutkan dari tidur. Tapi dia tak bangun kerana telah meninggal dunia,” katanya dalam nada sebak.

Difahamkan, Badrul berada di Pulau Pinang atas urusan kerja. Ketika ini jenazah berada di hospital untuk dibedah siasat. – 28 Oktober, 2023