Corat-coret Konsert A Night With Aina Abdul 3.0: 6 busana mewah, 3 mikrofon mahal, 3 penyanyi undangan dan 34 lagu

Tanggal 18 November 2023 menjadi detik bersejarah buat Aina Abdul apabila berjaya memukau hampir 10,000 penonton di Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil

6:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Meskipun sebelum ini ada yang mengkritik Aina Abdul sebagai bercita-cita tinggi kerana mahu mengadakan konsert mega di Axiata Arena walaupun belum memiliki album, namun A Night With Aina Abdul 3.0, telah membuka mata semua pihak.

Malah konsert yang diadakan pada Sabtu lalu, menjadi saksi bahawa usaha keras serta percaya pada diri sendiri menjadi kunci kejayaan kepada Aina.

Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 berjaya menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung. – Gambar @brstmode, 20 November, 2023

Tidak harus dilupakan walaupun baharu memiliki satu album sahaja namun Aina bukan calang-calang orang sebaliknya telah beberapa kali menjulang hadiah di Anugerah Juara Lagu.

Seramai 10,000 orang hadir pada Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 dan menariknya banyak perkara menarik berlaku sepanjang konsert itu berlangsung.

Sosok ‘Aina Abdul’ berada di merata ceruk stadium pada malam itu di mana masing-masing tidak mahu kalah dalam bergaya. Ada peminatnya yang memakai bunga di kepala, ada yang membaluti tubuh dengan kapas ada juga yang meniru busana-busana yang pernah dipakai Aina.

Biarpun tiket tidak ‘sold out’, tetapi 98% berjaya dijual dan ia merupakan satu kejayaan kepada Aina.

Sebahagian pengunjung dan peminat setia Aina Abdul kelihatan terhibur dengan persembahan malam itu. – Gambar @brstmode, 20 November, 2023

Acara pada malam itu dibuka dengan bacaan doa untuk rakyat Palestin serta semoga majlis berjalan dengan lancar pada malam itu.

Aina membuka persembahannya dengan lagu Inggeris ‘Ghost’ diikuti dengan ‘Fool’ dan kemudian diselitkan dengan lagu Melayu berjudul Kelip-kelip dan Kamu sebelum disambung dengan tiga lagi lagu Inggeris berjudul ‘Bleed’, ‘Blue’ dan ‘Shadow’.

Sewaktu menyampaikan lagu ‘Blue’, Aina tiba-tiba menghentikan persembahan dan meminta untuk menyanyikan semula kerana dia mengalami masalah tidak mendengar bunyi di ‘ear monitor’.

“Maaf. Boleh ke kalau saya minta nak nyanyikan semula lagu ini kerana saya tak dapat dengar apa-apa di telinga saya. Saya tak mahu kecewakan anda semua dengan nyanyian yang tak bagus,” katanya saat menghentikan persembahan tersebut.

Aina tidak pernah gagal mengagumkan peminat bukan saja menerusi vokal tetapi juga gaya ekstravaganzanya. – Gambar @brstmode, 20 November, 2023

Persembahan pada malam itu dibahagikan kepada empat segmen. Segmen kedua menyaksikan Aina menyampaikan rangkaian lagu yang lebih bersifat galau. Antara lagu yang didendangkan adalah Bilang, Bukan Untukku, Sedia Terluka, Sepi serta sebuah lagu yang ditujukan khas buat Palestin iaitu Kasih Palestina.

Untuk segmen ketiga, Aina menyampaikan lagu-lagu Korea popular seperti ‘Beautiful’, ‘I Will Go To You Like The First Snow’ dan ‘How You Like That’. Dalam segmen yang sama, Aina memilih untuk menyanyikan lagu-lagu berentak tradisional yang didedikasikan khas buat Allahyarham biduanita negara, Datuk Sharifah Aini. Antara lagu yang didendangkan adalah Fatwa Pujangga, Bunga Tanjung dan Empat Dara.

Haziq Rosebi turut bersama menggegarkan stadium malam itu dengan lagu Lemak Manis dan Joget Cinta Sakti. – Gambar @brstmode, 20 November, 2023

Aina turut membuat kejutan pada malam itu dengan menjemput penyanyi Haziq Rosebi menyanyikan lagu duet bersamanya menerusi lagu Lemak Manis dan Joget Cinta Sakti. Selain Haziq, Aina turut menjemput dua lagi rakan duetnya iaitu Khai Bahar dan Lah Ahmad.

Untuk segmen terakhir, Aina mempersembahkan lagu-lagu dari album terbarunya seperti Kejam, Puas Sudah dan Jangan Mati Rasa Itu. Turut dinyanyikan pada segmen ini adalah lagu Semalam dan Terus Hidup yang banyak mengangkat kerjayanya ke peringkat yang lebih tinggi.

Aina bangga dapat berkongsi pentas bersama Lah Ahmad. – Gambar @brstmode, 20 November, 2023

Selain vokalnya yang hebat, perkara yang pastinya mencuri tumpuan setiap kali Aina muncul di atas pentas tentunya busana-busana yang diperagakannya.

Pada malam itu Aina muncul dengan enam persalinan yang direka oleh enam pereka fesyen terkenal negara termasuk Rizman Ruzaini, Melinda Looi, Zaimi Zulkefli dan Ezuwan Ismail.

Zaimi Zulkafli tidak pernah mengecewakan ‘glam squad’ Aina Abdul apabila kali ini salah satu gaun yang digayakan turut mengeluarkan asap. – Gambar @brstmode, 20 November, 2023

Paling menarik perhatian ramai tentunya gaun biru rekaan Zaimi Zulkafli yang menggabungkan elemen kejuruteraan apabila baju yang dipakai mampu mengeluarkan asap yang terhasil daripada ais kering, juga kelopak bunga yang boleh bergerak.

Semua busana yang digayakan itu mencecah RM400,000.

Pujian harus diberikan kepada ‘glam squad’ Aina Abdul yang diketuai penata gaya, Abu Shaef Hamza yang berjaya menyiapkan setiap ‘look’ Aina pada malam itu dengan tempoh waktu yang sangat singkat untuk setiap persalinan.

Pada malam itu juga Aina menggunakan tiga mikrofon berbeza warna yang dipadankan dengan warna busana bagi setiap persembahan.

Aina menggunakan tiga mikrofon berbeza sepanjang konsertnya pada malam itu. – Gambar @brstmode, 20 November, 2023

Namun satu daripada mikrofon yang digunakannya pada malam itu mengalami masalah teknikal apabila suara Aina tidak kedengaran sehingga memaksa dia menukar mikrofon yang lain. Kesemua mikrofon tersebut bernilai RM120,000.

Di akhir persembahan, Aina mengumumkan konsert A Night With Aina Abdul akan dibawa ke Singapura pada awal tahun hadapan. Konsert ini akan menjadi konsert pertamanya di seberang tambak itu.

Sebahagian jualan tiket konsert akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin, yang bakal memberikan manfaat kepada pelajar, golongan B40 dan mereka yang ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya. – 20 November, 2023

Topics

Popular

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related