HEADLINES

Habsah Hassan sanggup terajui Tinta Karya demi martabat kebajikan, bela nasib penulis skrip

Selain menjadikannya pusat sehenti menghasilkan skrip bermutu, persatuan ditubuhkan untuk memayungi penulis skrip lama dan baharu itu, akan memulakan kesedaran mengenai kepentingan hak cipta mereka

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kalau diikutkan hati, beliau sememangnya sudah tidak mahu berpersatuan kerana penat dan muak berdepan dengan politik industri yang tiada kesudahan serta cukup memualkan.

Namun, selepas dipujuk beberapa kali Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Aris dan penulis skrip tersohor, Rozie Rashid, produser, penulis skrip dan penulis lirik, Datuk Habsah Hassan bersetuju menerajui Persatuan Tinta Karya Malaysia (Tinta Karya).

Habsah ketika ditemui Scoop berkata, Tinta Karya adalah persatuan yang ditubuhkan untuk memayungi penulis lama dan baharu, khususnya dalam penulisan skrip televisyen, filem atau digital.

Sesi pemilihan AJK Tinta Karya yang diterajui Habsah Hassan (tengah). – Gambar Tinta Karya, 22 November, 2023

“Matlamat kita adalah membantu penulis lama dan baru ini meningkatkan kualiti serta kemahiran mereka, menyediakan ruang dan peluang untuk berkarya, membantu melindungi hak cipta serta menjaga hak dan kebajikan mereka.

“Antara perkara kita harap sangat untuk buat adalah menjadikan persatuan ini sebagai pusat sehenti menghasilkan skrip bermutu dan mana-mana syarikat produksi yang perlukan skrip, boleh datang kepada kita.

“Sama ada mengambil skrip sudah sedia ada atau memberikan ‘commission’ kepada kita, skrip macam mana yang mereka mahukan, temanya bagaimana dan genrenya apa, itu kita mahu tawarkan. Saya kira itu lebih praktikal daripada syarikat produksi sibuk ke sana-sini mencari penulis skrip.

“Dengan kata lain, Tinta Karya mampu menjadi sumber skrip buat mereka dan itu adalah matlamat besar yang saya harap ia dapat dilaksanakan,” katanya sewaktu ditemui di restoran miliknya, Puteri di Taman Tun Dr Ismail di sini.

Menurut Habsah, satu lagi matlamat penting ingin dilaksanakan pihaknya adalah memulakan kesedaran mengenai kepentingan hak cipta kepada penulis skrip.

“Kalau kita lihat, penulis lirik ada hak cipta. Komposer ada hak cipta. Tapi, masih belum ada hak cipta untuk penulis skrip. Perkara ini memang sukar untuk dilakukan tapi pada masa sama, kita harus mula melakukannya.

“Satu idea bagus kita fikirkan adalah membantu penulis yang bernaung di bawah Tinta Karya untuk patenkan kerja mereka, sama ada dari sudut tajuk atau karakter yang diwujudkan dalam karya mereka.

“Mungkin, tajuk boleh diubah sesiapa tetapi tidak untuk karakter. Dengan cara ini, kita dapat membantu membela nasib penulis supaya menjaga kepentingan harta intelek mereka. Walaupun ia bukan perkara mudah, tapi kita akan cuba mencari kaedah sesuai untuk melakukannya,” katanya.

Habsah Hassan (tengah) bersama AJK dan Ahli Kehormat Tinta Karya. – Gambar Tinta Karya, 22 November, 2023

Mengulas lanjut, Habsah berkata, banyak lagi perkara akan mereka lakukan demi mengangkat imej, martabat, hasil kerja dan hak penulis.

“Penulis sebenarnya adalah dalam kalangan karyawan industri hiburan yang tidak dihargai. Mereka ini berada di belakang tabir dan betul-betul diletakkan di tempat paling belakang.

“Ramai memandang sinis hasil kerja penulis. Jadi kita harap kita dapat lakukan sesuatu untuk membela nasib mereka. Kalau tiada siapa perjuangkan, saya rasa tiada siapa akan bergerak,” katanya.

Dipertemuan itu juga, Habsah menandatangani pelantikan dua Ahli Kehormat, Zahrin Aris dan produser filem, Datuk Hasniza Nordin disaksikan beberapa Ahli Jawatankuasa Tinta Karya.

Tinta Karya juga satu daripada persatuan yang bergabung di dalam Gabungan Persatuan Filem Malaysia (GAFEMA) dan mendapat pengiktirafan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). – 22 November, 2023

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related