Konsert Sound Spirit: Zainal Abidin berhibur sambil kongsi ilmu, pengalaman 45 tahun dengan pelajar

Konsert berkonsepkan 'edutainment' itu membabitkan empat pillar, iaitu pembelajaran, perkongsian, pendidikan dan keghairahan

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengalaman selama lebih 45 tahun sebagai penyanyi rakaman dan penghibur kelab membuatkan, Datuk Zainal Abidin Mohamed, 64, atau Zainal Hijau terpanggil mencetuskan penganjuran Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit) yang menggabungkan elemen hiburan muzik dengan pendidikan.

Konsert ‘edutainment’ bakal mengetengahkan gabungan pemuzik profesional dengan pemuzik generasi baru itu, mensasarkan penonton dalam golongan pelajar jurusan muzik di institusi pengajian tinggi awam dan swasta daripada latar belakang kurang berkemampuan (B40) yang berpeluang menontonnya tanpa sebarang bayaran.

Dianjurkan Afrozapin Network Sdn Bhd (ANSB) milik Zainal dengan sokongan MyCreative Ventures serta rakan rasmi CIMB Artober, Sound Spirit, konsert itu bakal diadakan di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts (KLPAC), Sentul di sini pada 20 Januari 2024.

Zainal berkata, sudah lama beliau menyimpan hasrat mengadakan konsert edutainment yang dapat mengetengahkan bakat, memberikan bimbingan dan perkongsian serta kuasa keajaiban muzik kepada pelajar.

“Saya banyak melakukan kerja amal tetapi yang membabitkan pelajar, ini adalah pertama kali. Dengan pengalaman cukup lama dan luas di dalam bidang ini, saya kira saya mampu berkongsi banyak perkara dengan pelajar ini, mahu pun dengan pendatang baharu.

“Saya mahu dedahkan kepada mereka bagaimana cara untuk membabitkan diri dalam industri ini dan memberitahu mereka perkara salah yang mereka tidak boleh lakukan, selain bagaimana tanpa pendidikan muzik secara formal, ia akan memberikan anda banyak halangan.

“Saya mahu membuat perkongsian ini agar mereka tidak membuat kesilapan sama pernah saya lakukan, malah mereka perlu mendapatkan pendidikan muzik secara formal serta mengejar kejayaan dengan cara betul.

“Kita tidak banyak pemuzik yang berpendidikan tinggi dalam bidang muzik. Rata-rata bermain mengikut jiwa. Tapi kita perlukan sesuatu yang lebih baik untuk menyokong masa depan pelajar muzik ini.

“Disebabkan itu, konsert edutainment Sound Spirit ini dibahagikan kepada empat pillar yang bersandarkan kepada pembelajaran (learning), perkongsian (sharing), pendidikan (education) dan keghairahan (passion),” katanya.

Datuk Zainal Abidin (dua, kanan) akan dibantu tiga legenda muzik, Michael Veerappan (kanan), Steve Hassan Thornton (dua, kiri) dan Sunil Kumar untuk menjayakan konsert di KLPAC, Sentul Kuala Lumpur pada 20 Januari 2024. – Gambar ANSB, 10 Disember, 2023

Bagi memastikan pelajar muzik dari latar belakang B40 itu berpeluang menonton konsert berkenaan tanpa bayaran, Zainal serta pasukan pengurusan dan produksi Sound Spirit, mendapatkan penaja untuk membeli tiket ini untuk mereka.

Bahkan, Zainal berkata, dia turut membabitkan pelajar dalam persiapan pre-produksi konsert terbabit.

“Kita libatkan mereka kerana kita mahu mereka meraih pengalaman dan ilmu mengenai kerja produksi dalam penerbitan sesebuah konsert dan mereka akan mendapat sijil.

“Yang mana, ia juga akan membantu mereka membuat laporan tugasan dalam jurusan muzik diikuti. Begitu juga dengan pelajar yang berpeluang menyaksikan konsert ini tanpa bayaran,” katanya.

Jelas Zainal, konsert itu adalah bukti muzik sebagai satu kuasa yang mampu memberi perubahan positif serta menyatukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat, dalam meraikan seni dan budaya.

“Ia bukan sekadar platform untuk pembelajaran, malah dapat dijadikan tapak dalam menjalinkan hubungan dalam industri muzik.

“Dengan membabitkan individu berbakat dan memberi tumpuan kepada pelajar muzik kurang berkemampuan, saya berharap Sound Spirit dapat menyumbang kepada generasi seterusnya dalam bidang muzik dan seni,” katanya.

Pengalaman selama lebih 45 tahun akan digunakan oleh Datuk Zainal Abidin untuk mengadakan Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit) yang menggabungkan elemen hiburan muzik dengan pendidikan. – Gambar ANSB, 10 Disember, 2023

Sementara itu, berdasarkan kepada empat pillar disebutkannya, Zainal akan ditemani rakan industri yang cukup berpengalaman, iaitu Michael Veerappan, Steve Hassan Thornton dan Sunil Kumar untuk berkongsi ilmu serta pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

Malah, Zainal akan menyanyikan tiga lagu dan berkongsi pengalamannya sebagai pemuzik serta penyanyi, Michael Veerapan mengenai kerja-kerja komposisi dan susunan muzik, Steve Hassan Thornton (rhythm sesuai dengan sesutau stail atau genre muzik dibawakan) dan Sunil Kumar (sistem bunyi dan tata cahaya).

Konsert itu juga menampilkan persembahan Pija Yasin, iaitu pemenang program ‘Mentor’ yang menjadi protege kepada Zainal serta penyanyi baharu, One Juicy, iaitu seorang daripada penari B-Boy terbaik Asia dan juara program realiti, The Band’.

Demi memastikan objektif utama konsert itu dicapai, Zainal turut bekerjasama dengan lima universiti tempatan terkemuka, iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, UCSI, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Universiti Limkokwing.

Walaupun konsert Sound Spirititu disasarkan kepada pelajar muzik kurang berkemampuan, penonton luar dialu-alukan datang menyaksikan acara berkenaan.

Bagi penonton luar, tiket sudah mula dijual pada harga RM110 dan RM210 di platform atas talian, https://www.cloudjoi.com/shows/zainalabidin-sound-spirit-concert.

Sebarang maklumat lanjut mengenai konsert Sound Spirit, boleh diperoleh dengan mengikuti @soundspirit.zainalabidin di Facebook dan Instagram. – 10 Disember, 2023

Topics

Popular

Closure of Bandar Sri Damansara post office worries local community – Ravindran Raman Kutty

BANDAR Sri Damansara is a unique township that is equipped with almost every amenity, including a dynamic post office. We, through the resident’s association, managed to secure this post office in the late 1990s, and our residents have been enjoying the services to date. 

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related