HEADLINES

‘Saya tiada kuasa atau keistimewaan tentukan siapa peserta, juara Pentas Marhaban setiap minggu’: Tilmiz

Memberi penjelasan mengenai perkara itu, dia berkata, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Al Maqari

4:00 PM MYT

 

Kuala Lumpur – Pengacara program realiti Pentas Marhaban terbitan TV AlHijrah, Tilmiz Fahmi menafikan dia mempunyai kuasa dalam menentukan senarai peserta program realiti terbabit, susulan pembabitan kumpulannya, Al Maqari pada konsert minggu kelima yang berlangsung esok.

Fahmi atau nama sebenarnya, Muhamad Nurfahmi Zainal, 23, berkata, biarpun dia bertindak sebagai pengacara program terbabit, dia tidak mendapat sebarang keistimewaan daripada pihak produksi stesen televisyen berkenaan.

“Memandangkan masih ada lagi persoalan mengenai isu status saya dengan kumpulan Al Maqari di Pentas Marhaban, di sini saya nak jelaskan saya hanya bertindak sebagai hos, manakala Al Maqari pula adalah peserta program ini.

“Saya tidak diberikan sebarang kuasa atau keistimewaan untuk menentukan siapa juara pada minggu akan datang atau minggu ini.

“Sebenarnya pemarkahan 100 peratus diadili juri tetap dan juri jemputan,” katanya menerusi hantaran di Instagram, sebentar tadi.

Terdahulu, Fahmi mendedahkan dirinya menerima mesej peribadi di Instagram daripada pengikut yang mempertikaikan pembabitan kumpulannya, Al Maqari di Pentas Marhaban, selepas dia bertindak sebagai pengacara program itu.

Konsert minggu kelima Pentas Marhaban bakal menyaksikan pertembungan di antara kumpulan Al Maqari dan Qalbun Hadi.

Dalam masa sama, Fahmi menepis dakwaan orang ramai yang mengatakan Al Maqari tidak memberi peluang kepada pendatang baharu untuk mencuba nasib dalam mana-mana program realiti televisyen.

“Ini adalah satu tohmahan salah serta tuduhan berat sebab Al Maqari sendiri baru nak menapak dan kami juga mahu menguatkan lagi jenama kumpulan kami ini, khususnya di platform televisyen.

“Jika anda rasa layak untuk menyertai mana-mana program, kita bersaing secara sihat. Kita tunjukkan usaha dan komitmen serta jangan ada perbalahan,” katanya.

Tilmiz Fahmi turut menepis dakwaan yang mengatakan Al Maqari tidak memberi peluang kepada pendatang baharu untuk mencuba nasib dalam mana-mana program realiti televisyen. – Gambar Tilmiz Fahmi, 15 Disember, 2023

Selain Fahmi, Pentas Marhaban dihoskan pelakon dan pengacara popular, Shamsul Ghau Ghau.

Pentas Marhaban bersiaran selama lapan minggu pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

Dua dua kumpulan akan berentap setiap minggu pada program bersiaran secara langsung itu.

Program itu diadili dua juri tetap, iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis (Along Gambus) bersama seorang juri jemputan, Marhaban. – 15 Disember, 2023

Topics

 

Popular

Malaysia tightens social media rules with eKYC: Fahmi

MCMC set to enforce minimum age of 16 for new accounts; enforcement date to be announced soon

Selangor 80% ready for Sukma 2026, key venues must be ready by April: Najwan

The Selangor youth, sports and entrepreneurship committee chairman says the state is targeting full readiness by April

SPA targets 30,000 civil service appointments in 2026

Chairman Ahmad Jailani says new target exceeds last year’s 25,000, ensuring continuity in public service delivery

Related