HEADLINES

‘Saya antara penyanyi yang bertuah dapat berduet dengan arwah M Daud Kilau’ – Ezlynn

Lagu duet Ezlynn bersama Allahyarham, Pening yang dilancarkan pada 2006 menjadi siulan sehingga kini

12:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penyanyi Ezlynn meluahkan rasa sedih atas pemergian ‘raja gelek’ Malaysia, Allahyarham Datuk M Daud Kilau yang meninggal dunia semalam.

Menurut Ezlynn, 42, yang pernah berduet bersama arwah menerusi lagu Pening pada tahun 2006, pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air.

“Datuk M Daud Kilau merupakan seorang legenda dan ikon. Tiada penyanyi sepertinya. Sebab itu bila beliau meninggal, seluruh industri merasakan kehilangannya.

“Saya bertuah kerana pernah diberikan kesempatan untuk berduet dengan Allahyarham sewaktu masih baru dalam industri muzik,” katanya kepada Scoop.

M Daud menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam akibat masalah komplikasi pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Allahyarham yang berusia 85 tahun, meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak.

Bercerita mengenai kenangannya bersama arwah sewaktu merakamkan lagu Pening, Ezlynn berkata, lirik lagu tersebut terpaksa ditulis dalam tulisan jawi kerana arwah tidak tahu membaca tulisan rumi.

“Sebenarnya lagu itu kami rakam secara berasingan kerana jadual masing-masing tak mengizinkan waktu itu.

“Tetapi kalau saya boleh kongsi kenangan bersama arwah sewaktu di atas pentas, beliau merupakan seorang yang serius dalam kerjayanya.

“Beliau kalau panggil kita mesti akan gunakan panggilan ‘yang’.

“Antara tips yang pernah dikongsikan kepada saya adalah sentiasa fokus di atas pentas sewaktu membuat persembahan terutama apabila berduet. Harus punya keserasian,” ujarnya.

Kongsi Ezlynn, arwah seorang yang sentiasa menjaga penampilannya dan tidak kisah untuk memakai banyak baju.

“Beliau sebenarnya orangnya kurus sahaja, tetapi kalau anda lihat, baju beliau nampak macam tebal. Kerana di dalam ada berlapis-lapis. Beliau akan buka satu persatu.

“Kalau ada lima lagu, maka ada lima baju yang akan dipakai. Itulah dia M Daud Kilau. Tak ada siapa yang boleh ganti,” kongsinya.

Kali terakhir Ezlynn bertemu arwah kira-kira 15 tahun lepas sewaktu mereka sama-sama terlibat dalam sebuah persembahan di karnival Jom Heboh.

“Itulah rasanya kali terakhir saya bertemu dan membuat persembahan dengan arwah. Selepas itu kami dah tak berjumpa. Arwah pun tinggal di Perak. Tetapi saya ada dengar selama ini beliau sakit,” jelasnya. – 19 Disember, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related