GAFEMA bukan GAFIM: Fungsinya bantu Finas tetapkan dasar-dasar berkaitan industri filem Malaysia

GAFEMA juga sedang melaksanakan sebuah modul online yang mampu bertindak sebagai one stop centre dengan kemudahan Direktori Online dan Jobstreet

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Selepas Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia atau ringkasnya GAFIM yang tidak diketahui entah kemana menghilang, kini muncul pula Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).

Kedua-duanya mempunyai nama yang hampir sama namun mempunyai fungsi dan hala tuju yang berbeza meskipun ia turut dinaungi beberapa persatuan utama industri.

GAFIM telah ditubuhkan pada 11 September 1985 untuk mengendalikan dan menyelaraskan penganjuran Festival Filem Malaysia manakala GAFEMA, yang diwujudkan secara rasmi pada 21 Ogos lalu, terlibat dengan penetapan dasar-dasar berkaitan industri perfileman Malaysia.

Jika dibandingkan fungsi kedua-duanya, GAFEMA memang dilihat sebagai instrumen yang sangat penting kerana mereka perlu bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk membantu menetapkan dasar-dasar industri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris. – Gambar Ellyna Ali, 26 Disember, 2023

Mengulas mengenainya, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris berkata, apa sahaja yang berkaitan dengan dasar yang melibatkan industri perfileman tanah air, ia akan turut melibatkan GAFEMA yang ketika ini dinaungi 11 gabungan persatuan utama.

“Bila kerajaan melalui kementerian dan Finas mahu menetapkan sesuatu dasar atau polisi industri, mereka mahukan ‘input’ daripada orang-orang dalam kalangan industri.

“Input’ inilah yang diperlukan daripada GAFEMA kerana gabungan ini mewakili setiap persatuan utama yang ada di dalam industri perfileman sama ada daripada pihak penerbit, pelakon, pekerja filem, penulis skrip dan lain-lain lagi.

“Selain memberikan fokus kepada pembangunan dasar-dasar industri, terdapat beberapa perkara lain yang turut menjadi keutamaan GAFEMA. Salah satunya berkaitan dengan kebajikan penggiat seni melalui program PELINDUNG yang mendapat kerjasama Perkeso dan KWSP.

“Persatuan seni yang berdaftar di bawah naungan GAFEMA dilantik sebagai agen PELINDUNG untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua penggiat seni dan memenuhi objektif PELINDUNG melalui persatuan berkaitan.

“Bahkan, GAFEMA turut membantu melalui program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) dalam Pembangunan Modal Insan serta membantu proses Akreditasi dan Pensijilan Industri,” katanya.

Selain itu, Zahrin berkata, GAFEMA juga sedang melaksanakan sebuah modul online yang mampu bertindak sebagai one stop centre melalui pautan www.gafema.org.my.

“Melalui one stop centre ini, kita cadangkan kepada Finas, sesiapa sahaja yang ingin melibatkan diri dalam industri perfileman, perlu mendaftar masuk, memilih persatuan dan berdaftar sebagai agen PELINDUNG.

“One stop centre ini juga bertindak sebagai platform Direktori Online untuk menghimpunkan profil semua penggiat seni. Dengan adanya direktori ini, ia memudahkan lagi mana-mana produksi untuk mencari penggiat seni.

“Ia juga bertindak sebagai platform Jobstreet untuk industri perfileman. Jadi, kita akan selaraskan kepada semua produksi untuk meletakkan iklan peluang pekerjaan di sini.

“Begitu juga dengan agensi ‘casting’. Sekarang ini, semua agensi casting buat kerja sendiri-sendiri. Tapi, bila sudah ada one stop centre ini, mereka juga kena masuk dan iklankan peluang uji bakat itu di platform ini,” katanya.

Perkara lain yang turut diberikan penekanan oleh GAFEMA adalah melaksanakan kontrak yang standard melalui ‘Production Standard Agreement’ serta menyelaraskan ‘Ratecard’ atau kadar bayaran untuk penggiat seni.

“Production Standard Agreement’ ini boleh digunapakai untuk semua tenaga kerja dalam sesebuah produksi iaitu daripada penulis skrip, pengarah, pelakon sehingga kepada kru produksi.

“Sebelum Production Standard Agreement’ ini ditetapkan, kita akan keluarkan dahulu garis panduan yang boleh dipersetujui gabungan persatuan di dalam GAFEMA ini dan semua orang.

“Setakat ini, agreement ini hanya melibatkan majikan untuk sesebuah produksi sahaja. Untuk TV, kita akan bincangkan pada fasa yang lain. Sebab kita mahu selesaikan hal-hal yang berkaitan dengan industri terlebih dahulu.

“Bagi pelaksanaan ‘Ratecard’ pula, kita mahu membantu penggiat seni sama ada penulis, pelakon mahu pun kru produksi untuk mendapatkan garis panduan terhadap bayaran yang sepatutnya mereka terima untuk sesuatu tempoh bekerja.

“Secara tidak langsung, ini juga akan membantu pelakon tambahan serta artis veteran untuk mendapatkan bayaran setimpal,” jelasnya lagi.

GAFEMA diwakili 11 persatuan utama iaitu sembilan persatuan dengan keahlian induk iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM); Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN); Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM); Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Pesatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MIEWA).

Turut serta Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM); Persatuan Pasca Produksi, Animasi dan Kandungan Kreatif Malaysia (POSTAM); Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) serta Persatuan Tinta Karya Malaysia (TINTA KARYA).

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan Pertubuhan Pencipta Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM) pula adalah persatuan dengan keahlian bersekutu. – 26 Disember, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[WATCH] Just what the doctor ordered: prescriptions for a better Malaysia

In the face of attempts to sow discord among the various races in the country, cardiothoracic surgeon Datuk Dr Venugopal Balchand stands ready to staunchly defend national unity and harmony in a heartbeat.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related