Scammer AI: Wajah artis, pempengaruh media sosial jadi ‘umpan’ jerat mangsa

Malah ada artis yang menjadi mangsa peniaga dalam talian yang menggunakan wajah dan suaranya untuk menjual seluar dalam

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Taktik scammer termasuk ‘penjenayah siber’ menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengaut keuntungan haram semakin berleluasa dan terkini wajah serta suara artis dijadikan ‘umpan’ dalam menjerat mangsa.

Malah beberapa pempengaruh media sosial juga turut menjadi ‘wajah penghias’ iklan haram yang dijana scammer tersebut.

Ketika dihubungi Scoop, Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi mahu kerajaan khususnya Kementerian Digital untuk mewujudkan akta bagi mencegah penyalahgunaan teknologi AI selepas terdapat berapa artis mengadu kepadanya wajah dan suara mereka digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Malah beliau mendedahkan ada artis yang menjadi mangsa peniaga dalam talian yang menggunakan wajah dan suara selebriti itu untuk menjual seluar dalam. 

Zed Zaidi mahu kerajaan mengambil langkah tegas bagi membendung teknologi AI daripada disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab. – Gambar Zed Zaidi, 8 Januari, 2024

“Saya lihat situasi ini sangat berbahaya. Teknologi AI pada hari ini telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ada artis yang mengadu pada saya wajah dan suara mereka disalahgunakan. Bila saya periksa rupanya ada ramai lagi artis jadi mangsa.

“Saya sebagai Presiden Seniman hanya boleh bantu menghebahkan perkara ini kepada orang ramai. Saya tidak boleh lakukan apa-apa. Artis yang terlibat itu sendiri yang perlu laporkan kepada pihak polis seandainya wajah dan suara mereka digunakan.

“Saya sangat berharap perkara ini akan mendapat perhatian Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Sebagai seorang peguam, pihaknya pasti tahu tentang kesalahan ini,” katanya.

Tambahnya, perkara itu akan menjadi lebih parah dari hari ke hari kerana teknologi pada zaman ini bergerak pantas dan semakin canggih.

“Jika perkara ini tidak dibendung dari sekarang, saya takut ia akan menjadi semakin teruk pada masa depan dan menjadi kes jenayah siber kerana pihak yang tidak bertanggungjawab ini mereka sangat kreatif. Perkara ini bukan sahaja boleh berlaku dalam kalangan selebriti ataupun ‘public figure’, tetapi boleh terjadi dalam kalangan orang awam juga.

“Bayangkan kalau ada yang menggunakan teknologi AI ini untuk tujuan menculik, menipu wang dan sebagainya. Silap-silap suami isteri boleh bercerai gara-gara perkara ini. Sistem keselamatan juga boleh tergugat kerana ada peranti yang menggunakan sistem pengesanan wajah dan suara,” jelasnya.

Kata Zed, mungkin teknologi AI pada masa ini dilihat sangat memudahkan kerja dan menghiburkan, namun kesannya di masa akan datang tiada siapa yang dapat menduga.

“Artis-artis di Hollywood sudah lama menentang teknologi ini. Mereka boikot kerana AI akan mengganggu gugat peluang pekerjaan mereka. Perkara yang sama akan berlaku di negara kita jika kita tidak mengawal perkara ini,” katanya.

Ditanya apa nasihatnya kepada artis-artis yang telah menjadi mangsa penyalahgunaan AI, kata Zed, dia berharap agar sesiapa sahaja yang telah menjadi mangsa untuk terus buat laporan polis.

“Kepada artis-artis yang telah menjadi mangsa, terus buat laporan polis dan kemukakan semua bukti agar pihak polis dapat menjalankan siasatan. Jangan biarkan perkara ini berlarutan dan tunggu sehingga pesalah itu sedar bahawa anda telah tahu wajah anda digunakan. Nanti mereka akan padam semua bukti sebelum sempat anda berbuat apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon popular, Fizo Omar turut berkongsi isu sama kepada Scoop apabila ramai yang menghubunginya bertanyakan mengenai ‘produk’ yang menggunakan wajahnya yang telah disunting konon bagi melariskan jualan jam berjenama.

Ramai yang menghubungi Fizo Omar, bertanyakan mengenai ‘produk’ yang menggunakan wajahnya yang telah disunting konon bagi melariskan jualan jam berjenama – Instagram Fizo Omar, 8 Januari, 2024

“Ramai yang tanya, ada yang dah terkena dengan ‘produk palsu’ tersebut. Ini perlu dihentikan, kita kena bersama buat laporan kepada pihak berkuasa.

“Dan, kerajaan kena pandang serius serta mencari satu mekanisme macam mana nak hentikan sebab terlalu berleluasa. Ramai selebriti dah terkena dan berapa banyak mereka (scammer) kutip duit dengan kerja-kerja macam ini.

“Cuba baca betul-betul ayat dia, sah-sah bukan orang kita dan mereka guna Google Translate ke Bahasa Melayu, entah dari negara mana dan hanya gunakan Facebook untuk approach dan scam kita semua.

“Ramai yang DM (mesej) saya tanya mengenai ini (iklan haram) dan ada yang sudah beli (jam tangan berjenama) tapi barang tak dapat. Maaf, saya tak dapat nak tolong dalam hal ini,” katanya.

Fizo berkata, dia tidak pernah bekerjasama dengan jenama yang diiklankan itu tetapi scammer menggambarkanya konon sebagai duta bagi memberi diskaun sehingga 80 peratus.

“Kalau tengok betul-betul, wajah saya disunting dan diletakkan pada badan orang lain. Hati-hati ya semua. Taktik mereka sekarang ini guna gambar selebriti dan edit bersama dengan produk mereka. Jadi kalau tengok gambar macam pelik dan ayat serta perkataan ditulis, jika jenis bahasa skema, terjemahan secara bulat-bulat, itu kira scammer,” katanya. – 8 Januari, 2024

Topics

Popular

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

‘Non-Bumiputera doctors don’t even want to enrol at UiTM,’ says Umno’s Akmal

Umno Youth chief says certain quarters with ‘political interests’ are harping on the issue to disrupt racial harmony

Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

Penyanyi Ning Baizura menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak sensitif mengenai isu Palestin atau tidak cakna tentang All Eyes on Rafah sewaktu melakukan video live di Instagram (IG) miliknya pada Selasa lalu.

Related