Drama Melayu dilabel sampah: Ini pandangan Fauziah Nawi dan Sheila Mambo, ‘Masyarakat perlu adil memberikan kritikan’

Ironinya, golongan pelakon pula yang terpaksa menelan kecaman dan penghinaan daripada mereka ini

5:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Drama Melayu sampah! Drama Melayu klise! Kata-kata ini memang acap kali didengar terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Bahkan, ada yang mengakui cukup alergik sekali menonton drama-drama Melayu tempatan dengan memberikan alasan plot dan jalan ceritanya yang klise dan dapat dijangka, dialog yang teruk dan tidak membina serta watak-watak yang stereotaip serta banyak lagi.

Ironinya, golongan pelakon pula yang terpaksa menelan kecaman dan penghinaan daripada mereka ini sehingga membuatkan Jasmin Hamid terpanggil untuk tampil meluahkan perasaannya baru-baru ini.

Walhal, sesebuah karya drama tidak akan wujud tanpa adanya produser dan syarikat produksi serta harus melalui kelulusan daripada stesen televisyen selaku penyiar terlebih dahulu.

Bayaran ciput yang diterima daripada stesen televisyen adalah antara kekangan dihadapi produser untuk menghasilkan drama Melayu yang out of the box (di luar kotak) serta punya kelainan dari sudut genre serta jalan cerita, plot, watak serta dialog yang dipersembahkan.

Seperkara lagi, stesen televisyen juga dikatakan ‘penentu’ kepada jalan cerita atau jenis drama apa yang mereka inginkan. Alasannya, itu yang sasaran penonton mereka mahukan berdasarkan kajian kepada demografik penonton yang mereka lakukan.

Scoop cuba mendapatkan pandangan dua pelakon senior yang kerap membintangi drama-drama Melayu, iaitu Datuk Fauziah Nawi dan Sheila Mambo untuk mengulas hal ini dengan lebih lanjut.

Fauziah Nawi berkata, tidak dinafikan drama Melayu memang ada kekurangannya (tidak semua) dari sudut pembikinan, tetapi kita juga harus berlaku adil dalam melontarkan kritikan atau kecaman.

Drama Indonesia, Gadis Kretek yang ditayangkan di Netflix kini menjadi perbualan hangat. – Gambar ihsan Netflix, 16 Januari, 2024

“Berapa pula bayaran yang diterima produser daripada stesen televisyen untuk menghasilkan sesebuah drama jika dibandingkan dengan drama bersiri, Gadis Kretek dari Indonesia.

“Kadang kasihan juga produser sebab mereka dapat untung tidak seberapa. Lepas tuh berapa pula bayaran yang pelakon dapat. Tapi, sebab ia sudah jadi mata pencarian kita, jadi kita buat jugalah,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Jelas Fauziah lagi, memang cukup menyedihkan bila dengar orang mengata atau menghina karya drama Melayu kita.

“Tapi, masing-masing ada pendapat mereka dan penonton juga punya hak untuk bersuara. Bagi saya, lantaklah. Kita tidak perlu ambil kira apa orang nak cakap. Kalau fikir apa orang cakap pasal kita memang kita takkan boleh hidup,” katanya.

Sementara itu, Sheila Mambo menjelaskan, babak stereotaip yang ditampilkan dalam drama Melayu adalah perlakuan semasa yang diamalkan zaman berzaman.

Menurut Sheila Mambo, watak yang sering ditunjukkan dalam drama Melayu adalah realiti sebenar yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat. – Gambar Facebook, 16 Januari, 2024

“Kalau babak itu pasal orang yang suka mengata, memang perkara itu berlaku dalam kalangan kehidupan orang kita. Yang buat geli itu, sama-sama orang Melayu kita juga.

“Sebagai pelakon, kami cuma terima naskhah skrip dan cuba lakonkan balik karaktor mengikut situasi yang pernah berlaku.

“Mungkin orang akan kata, sebagai pelakon kita mungkin boleh tolak untuk melakonkannya. Dah itu permintaan skrip. Kalau orang suruh buat kek pakai tepung, telur dan butter, kita pakai itu sajalah, Takkan nak buat cekodok pulak.

“Bagi saya dalam hal ini, janganlah terlampau sangat nak kritik. Daripada mengkritik, lebih baik bagi respons membina supaya kandungan dan jalan cerita kita boleh jadi lebih baik lagi. Kalau tak suka, buang sahaja Melayu tu dalam diri, tengok cerita lain.

“Masalahnya, Mat Salleh pun ada jugak kutuk cerita diaorang. Orang Korea pun ada kutuk drama diaorang. Kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang sebab masing-masing punya citarasa yang berbeza,” katanya. – 16 Januari, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[WATCH] Just what the doctor ordered: prescriptions for a better Malaysia

In the face of attempts to sow discord among the various races in the country, cardiothoracic surgeon Datuk Dr Venugopal Balchand stands ready to staunchly defend national unity and harmony in a heartbeat.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related