Erry Putra nafi ciplak lagu Kelly Azman, ‘ada seseorang mesej di Instagram berikan lagu tersebut’

Menurut Erry, dia langsung tidak tahu lagu No No No pernah dinyanyikan Kelly biarpun sudah lima tahun lagu itu dilancarkan

5:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Erry Putra menafikan tuduhan Kelly Azman bahawa dia menciplak lagu berjudul No No No yang pernah dinyanyikan oleh Kelly lima tahun lalu.

Menurut Erry atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Hamzah Ahmad, 46, dia sendiri tidak tahu lagu tersebut pernah dinyanyikan oleh Kelly.

“Saya dapat lagu tersebut daripada seseorang. Dia merupakan seorang penyanyi buskers yang tinggal di Kedah.

“Dia mesej saya di Instagram untuk berikan lagu tersebut. Judul asal lagu tersebut adalah Oh No Sayangku.

“Tetapi apabila Kelly menuduh saya menciplak lagu tersebut, sudah tentu saya terkejut. Sedangkan lagu tersebut diberikan kepada saya lima tahun lalu.

“Tetapi baru kini saya keluarkan kerana ingin kembali aktif dalam bidang seni selepas hampir lapan tahun saya terlibat dengan kerja belakang tabir, ” katanya kepada Scoop.

Kata Erry lagi, dia juga tidak tahu siapa benar dan siapa yang salah dalam isu ini kerana Kelly mendakwa lagu tersebut adalah ciptaannya.

“Saya mahu berjumpa dengan kedua-duanya untuk mendapatkan kepastian mengenai isu ini. Saya hanya mahukan kebenaran mengenai siapa sebenarnya pencipta asal lagu ini.

“Reputasi saya tercalar gara-gara dituduh menciplak lagu Kelly. Tak mungkin saya nak ciplak lagu dia.

“Lebih baik saya ciplak lagu Aliff Aziz atau Alif Satar yang lebih ‘catchy’.

“Kalau betul saya nak ciplak, baik saya tukar lirik sikit-sikit supaya tak kedengaran sama,” jelasnya.

Ditanya mengenai ada pihak yang mendakwa bahawa ini semua adalah gimik untuk menaikkan namanya semula, kata Erry mencari populariti bukan lagi apa yang diingininya.

“Kalau orang kata saya nak buat gimik atau ‘marketing’, untuk apa? Untuk popularkan lagi lagu No No No nyanyian Kelly?

“Di usia sebegini saya tidak ada sasaran untuk mengejar populariti. Kalau dulu waktu saya mula-mula berlakon mungkin saya ada sasaran untuk menjadi pelakon popular,” ujarnya.

Erry juga sudah menghubungi Kelly untuk berbincang mengenai isu itu, namun katanya masing-masing belum berkesempatan untuk bertemu empat mata kerana dia sibuk menjalani penggambaran filem dan Kelly pula berada di Singapura atas urusan kerja.

“Saya harap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana saya tidak suka apabila dituduh sebagai menciplak karya orang.

“Saya merupakan artis di bawah syarikat rakaman Rusa Music. Lepas ini kalau saya nak keluar lagu baru, takut mereka mempersoalkan adakah lagu saya lagu ciplak.

“Saya geram apabila ditipu. Kalau benar lagu itu milik Kelly, saya harap individu yang memberikan lagu ini kepada saya berterus terang. Dan jika Kelly yang menciplak lagu berkenaan, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka atau saya akan saman dia,” katanya.

Terdahulu, Kelly mendakwa Erry menciplak lagu nyanyian dan ciptaannya yang berjudul No No No edaran Indigital Music yang dikeluarkan pada 2018. – 7 Februari 2024

Topics

Popular

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related