HEADLINES

Finas teliti, perhalusi cadangan tambah baik Skim Wajib Tayang

Antara cadangan penambahbaikan adalah menerusi suntikan dana dalam pembangunan skrip dan pelan pemasaran

10:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang meneliti beberapa cadangan bagi menambah baik Skim Wajib Tayang sebagai usaha meningkatkan kualiti penghasilan filem tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata antara cadangan penambahbaikan adalah menerusi suntikan dana dalam pembangunan skrip dan pelan pemasaran.

“… untuk kita labur dalam satu produksi, perkara pertamanya adalah skrip… jadi kita akan uar-uarkan mengenai insentif untuk pembangunan skrip dalam masa terdekat.

“Tentang pemasaran pula, kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya stesen televisyen dan syarikat swasta mengenai peranan mereka dalam mempromosikan filem tempatan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyampaian Insentif Tayangan Filem Cereka 2.0 (ITFC 2.0) di sini hari ini.

Beliau berkata Finas juga mengadakan kerjasama dengan pawagam sebagai usaha memajukan lagi industri khususnya langkah menarik penonton ke pawagam untuk membantu penggiat industri tempatan bersaing dengan pasaran luar.

“Kita akan perhalusi dari segi jadual skim wajib tayang mengenai cadangan pawagam yang mahu memilih beberapa lokasi pawagam tertentu dalam menayangkan filem bukan komersial, yang masih mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta agar Finas meneliti dan mengkaji penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap Skim Wajib Tayang bagi meningkatkan kualiti penghasilan filem tempatan.

Beliau dilaporkan berkata terdapat sedikit masalah dengan skim sedia ada yang menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan menyiapkan filem-filem mereka sekadar cukup syarat.

Sementara itu, Azmir Saifuddin ketika berucap pada majlis berkenaan berkata Finas akan mengumumkan beberapa strategi bagi membawa karya tempatan menembusi pasaran lebih luas melalui pelbagai kerjasama serantau dalam pembikinan sesebuah naskhah sekali gus mewujudkan pelbagai jenis peluang pekerjaan dalam sektor kreatif negara.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan ITFC 2.0 berjumlah lebih RM1.3 juta kepada 20 tajuk filem cereka yang berdaftar di bawah Skim Wajib Tayang menerusi kutipan tiket di pawagam seluruh negara melalui 19 syarikat produksi.

ITFC 2.0 ialah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Finas dalam memupuk pengeluaran filem tempatan yang kaya budaya, berimpak tinggi serta berkualiti.

“Kita juga berharap lebih banyak kandungan filem bermutu tinggi dapat dihasilkan pada masa akan datang bagi membina ekosistem filem yang dinamik, mempromosikan kepelbagaian budaya seterusnya meningkatkan penglibatan negara dalam industri filem antarabangsa,” katanya. – 15 Februari, 2024

Topics

 

Popular

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related