The Masked Singer 4: Walau berjaya kelirukan juri dan penonton, Stacy Anam akui gagal bohong peminatnya

Stacy juga akui mengenakan topeng Bunga Matahari ibarat seperti mengangkat anak kecilnya

4:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun berjaya mengelirukan sebahagian juri dan penonton, namun penyanyi Stacy Anam, yang telah dinobatkan sebagai The Masked Singer musim keempat mengakui dia tidak dapat membohongi peminat tegarnya di sebalik identiti Bunga Matahari.

Stacy ketika memaklumkan kepada Scoop berkata, kebanyakan juri hanya berjaya meneka identitinya pada minggu ketiga berbeza dengan peminatnya yang sudah dapat meneka sejak minggu pertama lagi.

Peminatnya, kata Stacy sudah mengikuti kerjaya seninya sejak dia menyertai Akademi Fantasia (AF) Musim Keenam pada 2008.

“Mungkin saya berjaya mengelirukan penonton atau juri tetapi bukan peminat saya kerana mereka tetap mengenali vokal saya walaupun saya menukar suara menjadi kartun atau apa sahaja malah ibu saya pun baru perasan saya pada minggu kedua atau ketiga.

“Waktu juri Sherry Al Hadad menyatakan apa perasaan apabila saya membawakan lagu ciptaan sendiri iaitu Cinta pada persembahan final ini, saya tidak tahu hendak cakap apa atau bagi reaksi apa.

“Tapi saya hanya ketawa, bukan pada minggu final ini sahaja, tetapi juga pada minggu-minggu sebelum ini.

“Lebih-lebih lagi kalau melihat mereka semua bertelagah atau bertekak. Sungguh melucukan sehingga sakit-sakit perut saya ketawa,” katanya.

Menurut Stacy lagi, dia juga sudah tidak mampu menyembunyikan suaranya pada semi final The Masked Singer Musim Keempat.

Menurut Stacy, dia juga sudah tidak mampu menyembunyikan suaranya pada separuh akhir. – Ellyna Ali/Scoop, 19 Februari, 2024

“Awal-awalnya ada juga yang saya tak sembunyikan. Tapi, pada waktu yang sama pihak produksi telah mengubah vokal saya. Ada masa vokal menjadi ‘penyet’ dan ada ketika menjadi ‘bulat’.

“Masa kita rakamkan lagu, kita cuba kecilkan vokal tapi bila beraksi di atas pentas, vokal kita dibesarkan. Bila kita nyanyi besar, vokal kita dikecilkan pula sehingga membuat saya menjadi bingung tetapi saya ‘salute’ dengan peminat yang mengenali suara saya,’’ katanya.

Jelas Stacy lagi, dia juga berasa seolah-olah seperti kembali ke zaman AF apabila terpaksa menyembunyikan identiti tetapi semua individu yang terlibat di dalam program berkenaan melakukannya ‘for fun’.

Namun Stacy mengakui dia kadang kala terkena migrain atau sakit di bahagian urat belikat tatkala mengenakan kostum Bunga Matahari yang berat itu.

Stacy kadangkala terkena migrain atau sakit di bahagian urat belikat tatkala mengenakan kostum Bunga Matahari yang berat itu. – Gambar media sosial, 19 Februari, 2024

“Kostum itu sangat-sangat berat dan ia umpama mengangkat anak saya, yang berusia setahun enam bulan kerana kedua-duanya mempunyai berat 12kg.

“Sama berat macam topeng Bunga Matahari. Berat topeng itu umpama seperti mengangkat anak sendiri. Sebab itulah, waktu saya buat persembahan, saya tidak terlalu tertumpu kepada koreografi lagu-lagu yang saya bawakan.

“Sebab kalau kita melakukannya dengan dengan bersungguh-sungguh kita tidak akan dapat ikut koreografi lagu tersebut,” katanya.

Stacy yang membawakan dua lagu iaitu Lathi nyanyian Genius ft Sara Fajira serta lagu ciptaannya, Cinta yang dipopularkan Marsha Milan meraih undian tertinggi sebanyak 68.08% disusuli dengan Nami (Mat Helang) – 75.72%; Danial Zaini (Sang Kancil) – 72.66%; Adinda Tasya (Biskut Ais Krim) – 72.01% dan Nabila Razali (Teratai) – 68.08%.

Sembilan juri mengadili final The Masked Singer Musim Keempat ini iaitu Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Rozita Che Wan, Michael Ang, Zizan Razak, Nabila Huda, Sherry Al Hadad, Angah Raja Lawak dan Elly Mazlein.

Rancangan yang bersiaran selama 10 minggu itu dihoskan pengacara terkenal Datuk AC Mizal. – 19 Februari, 2024

Topics

Popular

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

‘Non-Bumiputera doctors don’t even want to enrol at UiTM,’ says Umno’s Akmal

Umno Youth chief says certain quarters with ‘political interests’ are harping on the issue to disrupt racial harmony

Related