HEADLINES

Profima gesa kerajaan wajibkan pelaksanaan caruman Perkeso, KWSP kepada pekerja produksi filem, TV

Gesaan itu antara terkandung dalam usul berkaitan hak dan kebajikan pekerja-pekerja filem tempatan diserahkan kepada kerajaan

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) mahu kerajaan mewajibkan pelaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja produksi filem dan televisyen sebagai prasyarat bagi permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas).

Gesaan itu merupakan salah satu daripada tujuh usul terkandung dalam Memorandum Kru Filem Malaysia yang diserahkan Profima kepada kerajaan berkaitan hak dan kebajikan pekerja-pekerja filem tempatan.

Ia diserahkan kepada Kementerian Komunikasi dan agensinya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bersempena sambutan Hari Pekerja 2024.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Profima, Khalil Salleh berkata, usul lain adalah mewajibkan keahlian persatuan pekerja dan penerbit bagi permohonan SPP Khas dan pelaksanaan kontrak kerja bagi semua kerja-kerja produksi filem serta kreatif negara.

Profima turut menuntut supaya tempoh kerja maksimum 12 jam sehari ditetapkan bagi kerja-kerja penggambaran.

Selain itu Profima memohon kerajaan menambah dana bagi pelbagai program pendidikan dan latihan filem (modal insan) dalam kalangan sektor pekerja filem malaysia.

Jelas Khalil, memorandum itu dihantar kerana pihaknya mahukan tindakan dan respons yang segera daripada kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Finas dalam usaha menyelesaikan pelbagai kemelut dan masalah yang dihadapi golongan pekerja filem selama ini.

“Banyak masalah lama yang tertangguh dan perlu diselesaikan. Bila tak diselesaikan, ia menyebabkan sistem dan ekosistem di dalam industri perfileman ini tidak dapat berjalan serta berfungsi dengan betul.

“Dengan tindakan dan respons daripada pihak kementerian dan Finas, kami yakin ia akan mampu meningkatkan serta memartabatkan kerjaya dan profesionalisme mereka.

“Harapan kami sangat besar untuk melihat satu perubahan berlaku dan kesemua tujuh usul ini merupakan keputusan sepakat yang dicapai Kumpulan Majlis Tertinggi Profima melalui mesyuarat yang diadakan baru-baru ini,” katanya.

Selaku badan dan organisasi yang menjaga kerjaya, kebajikan dan pendidikan kru filem Malaysia, Khalil berkata, Profima sentiasa berbangga dengan pencapaian dan peranan ahlinya dalam membantu menjayakan sesebuah karya sama ada filem atau kandungan televisyen tempatan.

Katanya, Profima berharap semua pekerja filem tempatan mampu meningkatkan tahap profesionalisme dalam kerjaya dengan berusaha menambahkan ilmu pengetahuan, pendidikan dan hubungan antarabangsa dalam bidang kepakaran penerbitan filem.

Antaran usul lain dalam memorandum itu adalah mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya kepada sektor pekerja filem dan kreatif serta pemerkasaan pemantauan di lokasi penggambaran yang melibatkan produksi luar negara. – 1 Mei, 2024

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related