Pawagam Coliseum diubah jadi panggung nasional? Ini pandangan Aziz M Osman dan Rashid Sibir

Aziz M Osman dan Rashid Sibir juga menyatakan andai saranan itu menjadi kenyataan, pemuliharaan serta pemeliharaan bangunan ikonik itu dapat dilakukan secara berterusan

3:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Karyawan filem tempatan menyambut baik saranan pengarah filem dan ahli akademik, Profesor Mahadi J Murat agar kerajaan mengambil alih pawagam Coliseum untuk diubah menjadi panggung nasional serta hab perfileman.

Namun pada masa yang sama, mereka berharap andai saranan itu menjadi kenyataan, pemuliharaan serta pemeliharaan bangunan ikonik yang sudah menjadi warisan sejarah negara itu dapat dilakukan secara berterusan.

Sutradara, Aziz M Osman ketika dihubungi Scoop memberitahu, dia bersetuju serta tidak mempunyai masalah dengan saranan yang dikemukakan Mahadi, namun ada beberapa perkara lain yang perlu diambil kira.

“Kalau tanya saya, memang saya setuju dan bagi saya idea itu memang cukup cantik. Cuma kita ada satu permasalahan bila melibatkan hal-hal seperti ini di Malaysia.

Aziz M Osman bersetuju agar Coliseum dijadikan panggung nasional dan hab perfileman namun ia perlu diurus tadbir pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mereka yang tidak punya kepentingan dalam kerajaan – Gambar ihsan Aziz M Osman, 6 Mei, 2024

“Bila kita sudah mengimplementasi sesuatu idea, kita sering berdepan masalah dari sudut aspek promosi serta penyelenggaraan.

“Aspek promosi dan penyelenggaraan sering diabaikan dan apabila keadaan ini berlaku, apa yang kita sudah usahakan itu akhirnya gagal untuk mencapai matlamatnya,” katanya.

Aziz menyatakan, dia lebih bersetuju agar saranan menjadikan Coliseum panggung nasional dan hab perfileman itu diurus tadbir pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mereka yang tidak punya kepentingan dalam kerajaan.

“Kalau ia diserahkan kepada pihak yang ada kepentingan dalam kerajaan, ia mungkin akan menjadi sekadar tugas dan tanggungjawab biasa yang dilakukan tanpa keghairahan untuk benar-benar membudayakan seni filem dalam kalangan masyarakat kita.

“Dilema kita selalunya itu. Kita buat sesuatu tugasan tetapi tidak punya ‘passion’. Itu yang saya selalu risau tentang ‘attitude’ orang kita.

“Kalau kita serah kepada pihak swasta, mereka mungkin akan fikir soal keuntungan. Tapi, saya percaya kalau ia terpimpin dengan tangggungjawab sosial dan semangat patriotisme, ia mungkin akan jadi satu misi perniagaan yang punya matlamat dan hala tuju dan tidak semata-mata keuntungan,” katanya.

Sementara itu, sutradara Rashid Sibir turut setuju kerana Coliseum sudah lama menayangkan filem-filem Melayu tempatan dan ia perlu menjadi monumen yang dikekalkan.

Rashid Sibir turut setuju kerana Coliseum sudah lama menayangkan filem-filem Melayu tempatan dan ia perlu menjadi monumen yang dikekalkan – Gambar ihsan Rashid Sibir, 6 Mei, 2024

“Selain jadikan ia panggung nasional dan hab perfileman, ia juga boleh kembalikan nostalgia menonton wayang cara lama sebab sekarang ini kebanyakan pawagam berada di dalam pusat beli-belah.

“Sudah tidak ada lagi pawagam yang punya bangunannya sendiri seperti mana Coliseum dan seharusnya kerajaan ambil alih semula pawagam Odeon (berdepan dengan Pertama Kompleks) serta dan Federal (Chow Kit).

“Saya juga berharap jika bangunan-bangunan yang punya nostalgia ini diambil alih, kerajaan juga haruslah komited serta 100 peratus menitikberatkan penyelanggaraan serta pemuliharaannya,” katanya.

Namun begitu, kata Rashid Sibir, dia lebih bersetuju jika pawagam Coliseum atau pawagam lain yang berkaitan diurus tadbir oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Terdahulu, Mahadi, yang juga seorang pensyarah Komunikasi dan Pengajian Filem di Universiti Malaya-Wales mencadangkan kerajaan mengambil alih bangunan ikonik Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan mengubahnya menjadi pawagam nasional serta hab perfileman.

Cadangan itu dibuatnya susulan laporan bangunan bersejarah itu disenaraikan untuk dijual.

Terdahulu, Prof. Mahadi J Murat mencadangkan kerajaan mengambil alih bangunan ikonik Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan mengubahnya menjadi pawagam nasional serta hab perfileman – Gambar Facebook Mahadi J Murat, 6 Mei, 2024

Mahadi, ketika dihubungi Scoop juga berharap kawasan sekitar Coliseum dapat dibangunkan dan dijadikan tempat untuk mengetengahkan suasana, budaya, wajah, signature dan keharmonian Malaysia dari pelbagai aspek kehidupan. – 6 Mei, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Dangdut star Baby Shima, lampoonist Zunar unite to expose religious hypocrisy in new single

In an unexpected collaboration, local dangdut star Baby Shima and political cartoonist Zunar have teamed up for a new music single titled Cari-Cari Salah (Finding Faults).

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Related