HEADLINES

Hanya Sarawak setuju tukar rumput Zeon Zoysia, negeri lain masih kaji kos selenggara

Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur pula akan terus mengekalkan rumput sedia ada jenis Cowgrass di stadium masing-masing

11:45 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan hanya Sarawak bersetuju untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia di stadium negeri itu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tiga lagi negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur akan terus mengekalkan rumput sedia ada jenis Cowgrass di stadium masing-masing.

Menurutnya, KBS ada menawarkan penanaman rumput Zeon Zoysia tetapi kebanyakan negeri masih lagi menunggu hasil kajian berkaitan kos penyelenggaraan bulanan sekiranya menggunakan rumput tersebut.

“KBS mencadangkan supaya stadium di semua negeri mempertimbangkan penggunaan rumput Zeon Zoysia atau yang setaraf dengannya.

“Sehingga kini hanya Sarawak sahaja yang menyatakan persetujuan untuk gunakan rumput tersebut manakala negeri yang tidak bersetuju adalah Terengganu, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Pahang kerana mahu mengekalkan rumput sedia ada.

“Negeri-negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga mereka betul-betul yakin bahawa kos penyelenggaraan rumput tersebut tidak membebankan untuk jangka masa panjang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Hannah menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahudddin Abas mengenai cadangan penggunaan rumput Zeon Zoysia di stadium selain Stadium Nasional Bukit Jalil memandangkan kualitinya yang baik dan tahan lasak.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, tawaran KBS hanya melibatkan pemberian rumput manakala kos penyelenggaraan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.

“Tawaran yang kami beri kepada setiap kerajaan negeri adalah memilih satu stadium dahulu untuk terima sumbangan rumput Zeon Zoysia daripada KBS.

“Tawaran ini terhad untuk rumput (sahaja) tapi naik taraf stadium tersebut, masing-masing kerajaan negeri kena usahakan kerana setiap stadium yang dipilih oleh mereka mempunyai keadaan berbeza,” katanya.

Rumput jenis Zeon Zoysia adalah jenis rumput tahan lasak dengan cuaca hujan dan panas serta sangat sesuai digunakan di padang bola sepak.

Kebanyakan negara di Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia sudah mengaplikasikan penggunaan rumput jenis ini di stadium masing-masing.

Malah, Malaysia turut menggunakan Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditaja sepenuhnya oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – 24 Oktober,2023 

Topics

 

Popular

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related