India sudah ‘pintas’ Malaysia, masanya untuk terbuka kepada perubahan: Hafiz Hashim

Malaysia perlu memperkuatkan sistem kelab untuk memastikan skuad kebangsaan sentiasa mendapat 'bekalan' pemain terbaik

9:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pahit untuk ditelan, namun hakikat yang harus diterima, badminton India sudah mengatasi Malaysia, terutama wanita.

Genap setahun bergelar jurulatih di India, bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim berpengalaman untuk berada sendiri dalam sistem yang telah berjaya menaikkan pemain mereka.

Ahad lalu, skuad wanita India melakar kejutan di Shah Alam apabila muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama dengan mengalahkan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir.

Sepanjang setahun bergelar jurulatih di India telah membuka mata Muhammad Hafiz Hashim bagaimana negara itu berjaya menjadi kuasa badminton dunia sehingga memintas Malaysia. – Gambar Muhammad Hafiz Hashim, 21 Februari, 2024

Kejayaan tersebut menyusul tidak lama selepas pemain lelaki mereka merangkul Piala Thomas buat kali pertama pada 2022, diikuti dengan meraih pingat perak berpasukan dalam Sukan Asia di Hangzhou, tahun lalu.

Gandingan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pula melakar sensasi menjadi beregu lelaki India pertama meraih pingat emas Sukan Asia.

Kata Hafiz, sepanjang bergelar jurulatih bersama kelab Akademi Badminton Suchitra, malah pernah melatih perseorangan wanita nombor satu negara itu, P.V Sindhu, dia melihat dua perkara yang membezakan Malaysia dan India adalah sistem serta mentaliti.

Sistem kelab dan akademi yang menjadi asas pemilihan pemain kebangsaan India sejak lebih 10 tahun lalu kunci utama yang mengangkat badminton mereka ke tahap sekarang.

India memahat sejarah memenangi Piala Thomas buat kali pertama pada 2022, sedangkan kali terakhir Malaysia bergelar juara adalah 32 tahun lalu di Kuala Lumpur 1992. – Gambar BWF, 21 Februari, 2024

“Di India, sistem utama mereka adalah kelab dan akademi persendirian. Kelab-kelab ini juga melakukan program pembangunan, dan pemain hanya akan beraksi buat skuad kebangsaan jika terpilih.

“Habis kejohanan, pemain akan kembali ke kelab masing-masing. BAI (Persatuan Badminton India) dan SAI (Badan Induk Sukan India) hanya memberi sokongan (kewangan) kepada pemain serta jurulatih, yang lain dilakukan oleh kelab.

“Kita di Malaysia berbeza. Semua yang terbaik diletakkan di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) atau ABM (Akademi Badminton Malaysia). BAM/ABM yang akan buat program pembangunan untuk badminton negara.

“Bila saya berada di sini dan melihat sistem badminton yang digunakan di negara ini, saya percaya sebenarnya sangat praktikal dan banyak faedahnya jika pemain utama skuad kebangsaan datang dari kelab serta akademi,” kata juara All England 2003 itu ketika dihubungi Scoop.

Menurut Hafiz, sistem badminton di India umpama liga bola sepak profesional, di mana pemain beraksi untuk kelab masing-masing termasuk ketika menyertai kejohanan di luar negara.

Hanya yang terbaik akan dipanggil mewakili skuad kebangsaan pada temasya seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, selain Kejohanan Dunia, Piala Thomas/Uber, Piala Sudirman serta Kejohanan Asia.

Di India pemain terbaik negara itu dibekalkan oleh kelab atau akademi persendirian, tetapi di Malaysia pemain terbaik diletakkan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia atau Akademi Badminton Malaysia. – Azim Rahman/Scoop, 21 Februari, 2024

“Bagaimanapun di India, insentif yang ditawarkan sangat memuaskan. Dalam kata lain, menang kejohanan boleh jadi kaya raya,” kata Hafiz.

Menurut Hafiz, sejak lebih 10 tahun lalu, semua pemain yang bagus dilahirkan oleh kelab atau akademi persendirian, dan mereka akan bersaing mendapatkan kedudukan terbaik dalam All India Senior Ranking.

“Sepanjang tahun ada tiga hingga empat kejohanan diadakan untuk mengenal pasti bakat serta potensi dari seluruh negara. Pemain-pemain yang bagus atau menjadi juara dalam setiap kejohanan di India akan diberi peluang mewakili negara.

“Insentif yang bagus apabila memenangi kejohanan atau berada di ranking yang baik membuatkan persaingan antara kelab untuk melahirkan lebih ramai pemain hebat sangat kompetitif. Thailand pun sudah menggunakan sistem seperti ini, selain beberapa negara di Eropah.

“Sukan utama India adalah kriket tetapi selepas mereka memperkenalkan sistem ini..kalau tidak silap saya sejak 2013 atau 2014, badminton semakin popular dan meningkat, sekarang saya boleh kata, India sudah pun mengatasi Malaysia, terutama wanita,” katanya.

Ketika pasukan wanita India berjaya memahat sejarah muncul juara Kejohanan Berpasukan Asia buat kali pertama, skuad wanita negara sebaliknya gagal ke suku akhir. – Alif Omar/Scoop, 21 Februari, 2024

Ketika skuad wanita India melakar sejarah di BATC 2024, pasukan wanita negara pula gagal melepasi suku akhir, manakala skuad lelaki tewas 0-3 kepada China di final.

“Saya rasa masalah utama badminton Malaysia, BAM tidak buat banyak perubahan dalam sistem mereka. Dari zaman saya remaja, berusia 13 tahun sampai sekarang menggunakan sistem yang sama.

“Bayangkan sekarang umur saya sudah 42 tahun, ia tempoh yang sangat lama.

“Daripada segi mentaliti pemain pun kena ambil kira. Bawalah ‘dewa’ sekali pun (menjadi jurulatih), jika mentaliti pemain sekadar hendak menjadi terkenal dan mendapat pengikut yang ramai di media sosial, badminton kita tidak akan ke mana.

“Seperkara lagi, pemain remaja berusia 16 dan 17 tahun masih dibiarkan bermain di sirkit remaja kebangsaan. Apa salahnya ketengahkan mereka yang berpotensi ke peringkat senior,” kata juara perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2002 itu. – 21 Februari, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Dangdut star Baby Shima, lampoonist Zunar unite to expose religious hypocrisy in new single

In an unexpected collaboration, local dangdut star Baby Shima and political cartoonist Zunar have teamed up for a new music single titled Cari-Cari Salah (Finding Faults).

Related