Piala Thomas: Tembok Besar China pernah dirobohkan 22 tahun lalu, tidak mustahil boleh tumbang lagi

Pada 2002 di Guangzhou, Malaysia yang tidak diberi harapan dan membariskan skuad kedua mengejutkan China 3-1 di depan 15,000 penyokong mereka untuk mara ke final

10:00 AM MYT

 

PERTEMBUNGAN dengan China pada separuh akhir Piala Thomas di Chengdu hari ini mengimbau kembali aksi 22 tahun lalu, iaitu kali terakhir Malaysia menumpaskan negara tembok besar itu di laman mereka sendiri.

Ketika itu, tiada harapan besar diberikan kepada pasukan negara untuk melayakkan diri ke final selepas ditemukan dengan tuan rumah pada separuh akhir.

China membariskan pemain handalan seperti Xia Xuanze yang bergelar juara dunia 2003, selain bintang sedang meningkat yang juga juara remaja dunia, Bao Chunlai serta Lin Dan yang merupakan jaguh dalam pembikinan.

Sedangkan barisan perseorangan Malaysia dianggap ‘biasa-biasa’ diketuai, Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Muhammad Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng dan Roslin Hashim.

Harapan Malaysia untuk mencuri mata ketika itu dilihat lebih terarah kepada beregu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng.

Memandangkan itu adalah pengalaman pertama penulis membuat liputan Piala Thomas di luar negara, penulis amat teruja untuk mengetahui lebih mendalam bagaimana situasi kem negara menjelang perlawanan besar.

Bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Misbun Sidek pernah mendedahkan, keadaan pemain apabila beraksi dalam perlawanan penting pada kejohanan besar ibarat ‘berperang’ dengan diri sendiri. – Gambar Scoop, 4 Mei, 2024

Suasana begitu ‘tegang’ sehari sebelum perlawanan biarpun barisan jurulatih ketika itu, terutama Datuk Misbun Sidek sentiasa cuba kelihatan tenang.

Misbun ketika ditanya tentang barisan skuad yang akan diturunkan berkata, untuk menentukan pemain yang akan beraksi, selain daripada prestasi dan rekod, kena tengok kaki siapa paling ‘tidak sejuk’.

Beliau mula bercerita tentang perkara pelik yang sering terjadi dalam perlawanan penting pada kejohanan besar. Pemain yang awalnya sihat dan ceria tiba-tiba boleh demam teruk bagaikan diserang ‘demam kepialu’.

Pemain yang tidak banyak bercakap pula tiba-tiba bertukar menjadi ‘hyperactive’ hanya kerana mahu menenangkan diri apabila mengetahui diri tersenarai, malah ada yang mengadu tidak boleh tidur malam kerana terlalu gelisah.

Katanya, psikologi serta mental pemainlah yang sebenarnya menentukan sama ada mereka kuat untuk berdepan perlawanan itu, dan ketika Malaysia mengalahkan China 3-1 pada separuh akhir, ternyata pemain tuan rumah yang rata-rata masih muda lebih ‘ganjiong’ (gemuruh) berbanding pemain negara.

Pada separuh akhir Piala Thomas 2002, Muhammad Hafiz Hashim membuktikan, merobohkan Tembok Besar China bukan mustahil apabila menumpaskan Bao Chunlai, sekali gus membantu Malaysia menyingkirkan tuan rumah 3-1. – Gambar Facebook Hafiz Hashim, 4 Mei, 2024

Hafiz yang ketika itu baru berusia 19 tahun diturunkan sebagai perseorangan kedua, risiko besar yang diambil jurulatih negara kerana memikirkan Malaysia ‘nothing to lose’ dan jika turunkan skuad terbaik sekali pun belum tentu boleh mengalahkan China.

Pada kedudukan 1-1, selepas Xia Xuanze menewaskan Choong Hann dan Chong Ming-Choon Eng menumpaskan Zhang Jun-Wang Wei, Hafiz dengan tenang masuk ke gelanggang, memadam sorakan padu 15,000 penyokong tuan rumah untuk mengalahkan Bao Chunlai.

Kejayaan tidak diduga pemain muda itu membakar semangat Tan Fook-Wan Wah yang kemudian mengesahkan kemenangan negara dengan mengalahkan Zhang Wei-Chen Qiqiu. Tsuen Seng yang sudah bersedia diturunkan sebagai perseorangan ketiga, akhirnya tidak perlu menentang Lin Dan.

Malangnya, ketika keyakinan Hafiz berada di tahap tertinggi, dia disahkan tidak dapat beraksi di final akibat kecederaan tapak kaki. Berita itu bagaikan menyentap semangat seluruh pasukan pada malam sebelum perlawanan akhir.

Bagaimanapun berdepan Indonesia yang mempunyai kekuatan ‘dalaman’ lebih hebat, pasukan negara tetap memberikan tentangan sengit untuk mengheret permainan 2-2. Dalam aksi penentuan, abang Hafiz, Roslin tewas kepada bekas juara dunia yang kini menjadi jurulatih negara, Hendrawan.

Ketika itu, badminton menggunakan format tujuh mata, lima set terbaik dan Roslin kalah straight-set 7-8, 2-7, 1-7.

Itu kali terakhir Malaysia mengalahkan China dalam Piala Thomas, dan pada pukul 5 petang ini kedua-dua negara akan berentap lagi di pentas separuh akhir. Seperti 22 tahun lalu, di atas kertas semua kelebihan memihak kepada China.

Menggalas tugas perseorangan pertama, Lee Zii Jia mampu membakar semangat rakan-rakan sepasukan jika menghadiahkan mata sulung Malaysia hari ini. – Gambar Alif Omar/Scoop, 4 Mei, 2024

Mereka bukan sahaja membariskan skuad lebih kuat dengan diketuai pemain nombor dua dunia, Shi Yu Qi; juara Sukan Asia, Li Shi Feng serta beregu ranking pertama dunia, Liang Wei Keng-Wan Chang, malah akan menerima sorakan padu ribuan penonton tuan rumah.

Tidak hanya itu, Malaysia juga kalah dalam semua empat pertemuan terakhir dengan China di Piala Thomas sejak 2010, rekod yang nyata sangat ‘menggerunkan’.

Begitupun kejayaan mengejutkan juara 2014, Jepun 3-1 pada separuh akhir kelmarin menaikkan keyakinan pemain negara, tiada yang mustahil untuk dilakukan jika mereka memberi aksi terbaik dan mempunyai mental yang kental.

Keterujaan peminat untuk melihat kejutan dilakukan pasukan negara juga semakin melonjak, dan hari ini 15 skrin gergasi akan dipasang untuk membolehkan mereka menonton perlawanan beramai-ramai di beberapa lokasi di seluruh tanah air.

Tidak dinafikan, untuk menumbangkan China adalah misi getir buat Malaysia, namun jika Lee Zii Jia dan rakan-rakannya mampu menyerap semangat 2002, tembok ampuh boleh dirobohkan, yang mustahil mampu menjadi kenyataan. – 4 Mei, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related