Jun Hao pegang ‘kunci’ utama menentang China: Hafiz Hashim

Biarpun China turun sebagai pasukan pilihan dan memiliki banyak kelebihan, namun bermain di depan penyokong sendiri sebenarnya memberi tekanan hebat buat mereka

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Muhammad Hafiz Hashim yang memegang watak penting ketika kali terakhir Malaysia mengalahkan China dalam Piala Thomas, 22 tahun lalu, percaya, Leong Jun Hao akan menjadi kunci utama apabila pasukan negara menentang juara 10 kali itu pada separuh akhir di Chengdu hari ini.

Kata Hafiz, jika pemain nombor 37 dunia itu mampu mengejutkan pemenang pingat emas Sukan Asia yang menghuni ranking keenam dunia, Li Shi Feng dalam perseorangan kedua, ia mampu merubah perjalanan perlawanan.

Biarpun di atas kertas Shi Feng tampak ampuh, termasuk memenangi gelaran All England 2023, namun dia percaya peluang tetap seimbang kerana kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini.

Hafiz juga memberi semangat kepada pemain berusia 24 tahun itu bahawa tiada apa yang mustahil untuk dilakukan kerana situasi Jun Hao ada persamaan dengannya ketika membantu Malaysia menumpaskan China di Guangzhou pada 2002, iaitu ‘mengisi kasut’ perseorangan kedua pada saat akhir.

Biarpun memiliki reputasi lebih besar selaku juara Sukan Asia dan pemain nombor enam dunia, Li Shi Feng dan Jun Hao tidak pernah bertemu, menjadikan peluang mereka seimbang. – Gambar ihsan BWF, 4 Mei, 2024

“Situasi Jun Hao hampir sama seperti saya pada 2002. Ketika itu, saya diturunkan sebagai perseorangan kedua menentang China pada separuh akhir kerana jurulatih memikirkan, sekalipun kita turunkan skuad utama, peluang untuk menang sukar, jadi mereka beri peluang kepada pemain baharu seperti saya dan Lee Tsuen Seng (perseorangan ketiga).

“Jun Hao pula menjadi perseorangan kedua ekoran kecederaan Ng Tze Yong tetapi setakat ini dia menggalas tugas dengan baik, jadi harap mentalnya kekal kuat apabila menentang China. Jangan fikir tentang perkara lain, fikir hendak menang sahaja, main tanpa rasa takut.

“Sebagai perseorangan kedua, dia sebenarnya memegang peranan yang amat penting, boleh menentukan kita menang, membuka ruang atau kalah. Jadi, dia harus betul-betul kuat dan ingat, memang China ada banyak kelebihan tapi sebenarnya mereka juga memikul tekanan hebat kerana semua orang mengharapkan mereka menang,” katanya kepada Scoop.

Dalam aksi suku akhir menentang Jepun kelmarin, pada kedudukan 1-1, Jun Hao berjaya memberi kelebihan buat Malaysia apabila menumpaskan Koki Watanabe 21-13, 21-10 untuk pasukan negara mendahului 2-1 sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan kemenangan, menewaskan Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-15, 21-12.

Sejurus tamat perlawanan, Sze Fei mengakui, kemenangan Jun Hao mengurangkan tekanan mereka berbeza jika Malaysia ketinggalan 1-2.

Nur Izzuddin Rumsani (depan) dan Goh Sze Fei ketika meraikan kemenangan Malaysia ke atas Jepun pada suku akhir kelmarin dengan menewaskan Akira Koga-Taichi Saito. – Gambar Bernama, 4 Mei, 2024

Kata Hafiz, yang juga juara All England 2003, seandainya Lee Zii Jia kalah dalam perseorangan pertama, peluang masih ada dalam empat perlawanan lain, tetapi jika Malaysia ketinggalan 0-2, maka di situlah Jun Hao akan menjadi penentu sama ada peluang pasukan negara masih boleh diteruskan atau tidak.

Sekiranya Malaysia mendahului 2-0, dia boleh menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan tetapi jika kedudukan 1-1, Jun Hao akan membuka ruang kepada rakannya untuk mengheret saingan ke perlawanan seterusnya.

Ketika ditanya situasi pasukan negara ketika ini dengan skuad yang mengalahkan China pada 2002, Hafiz mengakui, keadaan hampir sama kerana tuan rumah menjadi pilihan untuk menang, turun dengan barisan lebih kuat dan mendapat sokongan padu 12,000 penonton di stadium tertutup Pusat Sukan Zon High-Tech.

Begitupun dia dan rakan-rakannya telah membuktikan 22 tahun lalu, dengan semangat juang tinggi, mereka mampu melakar kejutan, apatah lagi China yang menggalas harapan besar penyokong tuan rumah sebenarnya berada di bawah tekanan hebat.

Muhammad Hafiz Hashim yang memainkan watak penting ketika kali terakhir Malaysia mengalahkan China pada 2002 mahu pemain-pemain muda negara menggunakan peluang beraksi untuk membuktikan kemampuan dan bukan menganggapnya sebagai tekanan. – Gambar Facebook Hafiz Hashim, 4 Mei, 2024

“Siapa pun yang diturunkan menentang China, mereka harus ingat satu perkara, ini peluang kepada mereka untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia, membalas kepercayaan jurulatih, terutama buat Jun Hao dan Justin Ho yang masih muda serta baharu.

“Ini peluang terbaik mereka untuk mengutip mata dan membuktikan keajaiban boleh berlaku. Jangan letak tekanan yang tidak perlu kerana kita dalam situasi ‘nothing to lose’, sebenarnya China yang lebih tertekan ketika ini biarpun mereka adalah pilihan,” katanya.

Dalam perlawanan yang akan bermula pada pukul 5 petang ini, Malaysia yang kali terakhir merangkul Piala Thomas pada 1992 akan mempertaruhkan bekas juara All England, Zii Jia sebagai perseorangan pertama menentang Shi Yu Qi. Rekod pertemuan memihak pemain nombor dua dunia, Yu Qi 4-1.

Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka bertemu beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang, Sze Fei-Nur Izzuddin mungkin berdepan He Ji Ting-Ren Xiang Yu, manakala Justin menentang Lu Guangzu.

Berdasarkan rekod, Malaysia hanya menang tiga kali daripada 11 pertemuan menentang China pada Piala Thomas, malah pasukan negara tumpas dalam empat perlawanan terakhir mereka sejak 2010.

Satu lagi separuh akhir hari ini akan menemukan juara 14 kali, Indonesia menentang Taiwan yang mengejutkan Denmark pada suku akhir semalam. – 4 Mei, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Controversy continues: Akmal detained upon arrival at Kota Kinabalu airport

Announcing his detention on Facebook today, Umno Youth chief Dr Muhamad Akmal Saleh said he will not budge from his stand over the “Allah”-printed sock issue.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Related