HEADLINES

Badi 33 tahun berterusan, sepak takraw berpasukan gagal lengkapkan hatrik Piala Dunia

Kali terakhir Malaysia menumpaskan Thailand dalam final acara berpasukan adalah pada Sukan SEA 1991 di Filipina

7:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penantian Malaysia untuk menamatkan badi 33 tahun ke atas musuh tradisi, Thailand dalam acara berpasukan terus berpanjangan selepas tumpas 1-2 pada perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Sorakan lebih 2,000 penyokong yang hadir gagal membantu skuad negara melengkapkan hatrik selepas merangkul kejuaraan beregu dan regu pada Rabu lalu.

Regu utama Thailand yang diwakili oleh Poramet Siriswat, Siriwat Sakha dan Varayut Jantarasena bermula garang dengan mencuri set pertama.

Begitupun regu negara dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi dan Azlan Alias kembali bangkit dipacu servis tajam Syahir dan libasan padu, Azlan yang menghadiahkan mata pertama negara dengan kemenangan 9-15, 15-11, 15-13.

Trio Farhan Adam, Syahir Rosdi dan Azlan Alias memulakan langkah kanan buat Malaysia apabila menghadiahkan mata pertama tetapi ia tidak cukup untuk membantu kemenangan skuad negara. – Alif Omar/Scoop, 26 Mei, 2024

Kemudian tiba giliran Amirul Zazwan Amir, Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Nordin pula turun ke gelanggang menentang Wichan Temkort, Kritsanapong Nontakote dan Pichet Pansan.

Trio negara bermula garang dengan mendahului 7-3, tetapi regu Thailand tidak berputus asa hasil rejaman tajam Pansan memberikan mereka kemenangan di set pertama.

Servis Haziq serba tidak menjadi dan rejaman Noraizat pula senang dihadang lawan sehingga memberi peluang mudah kepada Thailand untuk menyamakan kedudukan 1-1 dengan kemenangan 15-8, 15-4.

Misi negara kemudian dipikul oleh Aidil Aiman Azwawi, Zuhri Muhammad Zain dan Baihakki A’ripin yang bertemu Marukin Phanmakon, Pornthep Tinbangbon dan Tanaphon Sapyen.

Regu negara mendahului 5-1 di set pertama sebelum jurulatih Thailand, Prawet Intra membawa masuk tekong Sittipong Khamchan mengantikan Tinbangbon.

Percaturan itu menampakkan hasil apabila Thailand pantas mengikat kedudukan.

Menamatkan kempen selaku naib juara berpasukan Piala Dunia 2024 bermakna Malaysia terus kempunan untuk mengalahkan skuad Gajah Perang dalam saingan berpasukan selepas 33 tahun. – Alif Omar/Scoop, 26 Mei, 2024

Thailand terus unggul mendahului 10-8 dan Ahmad Jais kemudian membuat dua pertukaran apabila menggantikan Zuhri dengan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican manakala Muhammad Shahalril Aiman Halim diturunkan untuk posisi apit kanan.

Namun pertukaran itu gagal menjinakkan Thailand untuk mempertahankan kejuaraan berpasukan Piala Dunia buat kali ketiga dengan kemenangan 15-12.

Kali terakhir Malaysia menumpaskan Thailand dalam final acara berpasukan adalah pada Sukan SEA 1991 di Filipina.

Malaysia menundukkan Thailand 2-1 di Blue Eagle Gym, Ateneo de Manila University di Quezon City.

Baharum Jahar, Mohamad Noor Abdullah dan Rosli Abdul Rahman menghadiahkan mata kemenangan negara untuk merangkul pingat emas ketika itu. – 26 Mei, 2024

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related